Lompat ke kandungan

Bible Mengubah Hidup

Bible Mengubah Hidup

BAGAIMANAKAH seorang wanita yang hidup mewah dan tidak berminat terhadap Tuhan menjumpai tujuan hidup yang sebenar? Bagaimanakah ajaran Bible tentang kematian membantu seorang lelaki Katolik mengubah hidupnya? Apakah yang menggerakkan seorang lelaki yang kecewa dengan hidup untuk mula belajar tentang Tuhan dan berkhidmat kepada-Nya? Bacalah kisah hidup mereka.

“Saya Selalu Bertanya, ‘Apakah Tujuan Hidup Kita?’”​—ROSALIND JOHN

  • TAHUN LAHIR: 1963

  • NEGARA ASAL: BRITAIN

  • LATAR BELAKANG: KERJAYA YANG BAIK

KISAH SILAM SAYA:

Saya lahir di Croydon, London Selatan. Saya ialah anak yang keenam daripada sembilan adik-beradik. Ibu bapa saya berasal dari St. Vincent di Kepulauan Caribbean. Ibu menghadiri gereja Methodist, tetapi saya tidak berminat tentang Tuhan. Saya lebih suka menimba pengetahuan dan biasanya meminjam buku-buku dari perpustakaan. Semasa cuti sekolah, saya suka membaca di tepi tasik.

Beberapa tahun selepas tamat sekolah, saya berhasrat untuk membantu orang yang lemah dan tidak berdaya. Jadi saya membantu orang yang tinggal di jalanan dan orang yang kurang upaya. Kemudian, saya menceburi kursus sains kesihatan di universiti. Selepas tamat pengajian, saya mendapat tawaran kerja yang baik. Akhirnya, saya bekerja sebagai pakar perunding pengurusan dan penyelidik sosial persendirian (freelance). Semasa bekerja, saya hanya perlukan komputer riba dan Internet. Saya juga dapat terbang ke luar negara selama beberapa minggu, menginap di hotel kegemaran saya, menggunakan khidmat spa dan gim, dan menikmati pemandangan yang indah. Hidup saya mewah dan saya sangat menikmatinya. Tetapi jauh di lubuk hati saya, saya masih berhasrat untuk membantu orang yang serba kekurangan.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Selama bertahun-tahun, saya selalu bertanya, “Apakah tujuan hidup kita, dan mengapa manusia diciptakan?” Tetapi saya tidak pernah terfikir bahawa Bible mempunyai jawapannya. Pada tahun 1999, adik saya Margaret yang merupakan seorang Saksi melawat saya dengan seorang lagi Saksi. Saudari itu sangat mengambil berat tentang saya, dan saya setuju untuk belajar Bible bersamanya. Namun, saya tidak buat banyak kemajuan kerana saya lebih mengutamakan kerjaya dan gaya hidup yang mewah.

Pada musim panas 2002, saya berpindah ke barat daya England. Di sana, saya mengikuti kursus lepasan ijazah dalam bidang penyelidikan sosial. Tujuan saya adalah untuk mendapat ijazah kedoktoran. Pada masa yang sama, saya juga menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa dengan lebih tetap bersama anak saya yang masih kecil. Biarpun saya menikmati kursus ijazah saya, pembelajaran Bible telah menjawab soalan-soalan saya tentang kehidupan. Saya juga mula setuju dengan kata-kata di Matius 6:24 bahawa kita tidak dapat menjadi hamba kepada dua tuan. Saya harus memilih sama ada untuk mengejar kekayaan atau mengutamakan Tuhan.

Pada tahun sebelumnya, saya selalu menghadiri kumpulan pembelajaran Bible para Saksi. Pada masa itu, kami mempelajari buku “Pencipta” (Is There a Creator Who Cares About You?) * Saya yakin bahawa hanya Pencipta kita, Yehuwa, dapat menyelesaikan semua masalah manusia. Tetapi, kursus universiti sering menegaskan bahawa kita tidak memerlukan Tuhan untuk memahami maksud kehidupan. Hal ini membuat saya sangat marah. Jadi dua bulan kemudian, saya menarik diri dari kursus itu agar dapat meluangkan lebih banyak masa untuk hal rohani.

Ayat Bible yang menggerakkan saya untuk mengubah hidup saya ialah Amsal 3:5, 6. Ayat itu kata, “Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu, dan janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan Dia dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan meluruskan jalan hidupmu.” Walaupun saya memiliki kekayaan dan kemasyhuran, saya hanya mendapat kepuasan sejati selepas belajar tentang Tuhan kita yang pengasih. Pengetahuan tentang tujuan Tuhan bagi bumi dan pengorbanan Yesus demi kita mendorong saya untuk membaktikan diri kepada Tuhan. Pada April 2003, saya telah dibaptis. Selepas itu, saya beransur-ansur menyederhanakan kehidupan saya.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Apa yang paling berharga bagi saya sekarang ialah hubungan saya dengan Yehuwa. Saya menikmati kedamaian dan sukacita yang sejati kerana mengenali Tuhan. Saya juga rasa sangat gembira kerana dapat bergaul dengan rakan seiman.

Saya masih suka menimba pengetahuan. Melalui perjumpaan Kristian dan pembelajaran Bible, saya dapat memuaskan keinginan saya ini. Saya juga gembira kerana dapat membantu orang lain memperoleh kehidupan yang lebih baik sekarang dan harapan masa depan yang menakjubkan. Bermula Jun 2008, saya menjadi penginjil sepenuh masa. Saya benar-benar gembira dan puas hati kerana telah menemui tujuan hidup. Saya amat bersyukur kepada Yehuwa kerana memimpin saya ke jalan kebenaran.

“Kematian Kawan Saya Telah Menghantui Saya Selama Bertahun-tahun.”​—ROMAN IRNESBERGER

  • TAHUN LAHIR: 1973

  • NEGARA ASAL: AUSTRIA

  • LATAR BELAKANG: KAKI JUDI

KISAH SILAM SAYA:

Saya membesar di Braunau, sebuah pekan kecil di Austria. Penduduk di sini kaya-raya dan kadar jenayah agak rendah. Saya dibesarkan dalam keluarga Katolik.

Pada tahun 1984 semasa saya berumur 11 tahun, sesuatu telah berlaku yang mengubah hidup saya. Pada suatu hari, saya dan kawan baik saya bermain bola sepak. Tetapi pada petang itu, dia ditimpa kemalangan jalan raya dan telah meninggal dunia. Kematian kawan saya telah menghantui saya selama bertahun-tahun dan membuat saya asyik berfikir tentang keadaan orang selepas mati.

Selepas tamat sekolah, saya bekerja sebagai juruelektrik. Saya juga menjadi kaki judi dan sering mempertaruhkan banyak wang. Biarpun begitu, saya tidak pernah ada masalah kewangan. Saya meluangkan banyak masa untuk bersukan dan menggemari lagu heavy metal dan punk rock. Saya selalu pergi disko dan parti, dan gaya hidup saya pun tidak bermoral. Saya fikir semua ini akan buat saya gembira, tetapi sebenarnya saya rasa hidup saya sangat kosong.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Pada 1995, seorang Saksi yang lanjut usia telah mengunjungi rumah saya. Dia menawarkan sebuah buku yang menjelaskan jawapan kepada soalan, “Apakah keadaan orang mati?” Itulah soalan yang telah lama bermain di fikiran saya sejak kematian kawan baik saya. Maka saya menerima buku itu dan terus membacanya dari mula sampai akhir.

Saya sangat teruja kerana menemui jawapan kepada soalan saya! Bukan itu saja, saya juga belajar banyak kebenaran lain. Sebagai orang Katolik, saya hanya belajar tentang Yesus. Tetapi selepas mengkaji Bible, saya mengenali Bapa Yesus, iaitu Tuhan Yehuwa. Saya sedar bahawa Yehuwa bukanlah Tuhan yang mustahil dikenali, tetapi Dia mahu kita mencari-Nya dan menjadi sahabat-Nya. (Matius 7:7-11) Saya juga belajar bahawa perbuatan kita dapat membuat Yehuwa sedih atau gembira, dan bahawa Dia selalu menepati janji-Nya. Saya pun mula mengkaji nubuat Bible dan melihat bagaimana semua nubuat itu telah menjadi kenyataan. Hasilnya, iman saya kepada Tuhan menjadi semakin kukuh.

Saya sedar bahawa hanya Saksi-Saksi Yehuwa yang ingin membantu orang memahami Bible. Saya sering membandingkan ayat-ayat dalam buku Saksi-Saksi Yehuwa dengan Bible Katolik saya. Semakin saya menyelidiki ajaran Bible, saya semakin yakin saya telah menemui kebenaran.

Saya juga sedar bahawa saya perlu menyelaraskan kehidupan saya dengan piawaian Yehuwa. Contohnya, Efesus 4:22-24 membantu saya faham bahawa saya perlu membuang “keperibadian lama” saya yang ‘dibentuk menurut kelakuan saya dahulu.’ Selain itu, saya perlu “mengenakan keperibadian baharu yang diciptakan menurut kehendak Tuhan.” Maka, saya mengubah gaya hidup yang tidak bermoral dan berhenti berjudi. Saya bertekad untuk tidak lagi bersikap tamak dan mengejar kekayaan. (1 Korintus 6:9, 10) Untuk buat perubahan itu, saya harus berhenti bergaul dengan sahabat lama saya dan mencari sahabat baharu yang juga ingin menyenangkan hati Tuhan.

Memang semua ini tidak senang. Tetapi, saya mula menghadiri perjumpaan Saksi dan berusaha mencari kawan-kawan di sana. Saya juga mengkaji Bible secara peribadi. Lambat laun, saya dapat mengubah pilihan hiburan, matlamat hidup, dan penampilan saya. Pada 1995, saya dibaptis sebagai seorang Saksi.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Dulu saya cepat naik marah, tetapi sekarang saya tidak lagi begitu. Saya juga tidak terlalu khuatir tentang masa depan. Selain itu, saya mempunyai pandangan yang seimbang terhadap wang dan harta benda.

Saya gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada persaudaraan Kristian antarabangsa. Seperti orang lain, semua umat Yehuwa juga menghadapi masalah. Tetapi kesetiaan mereka ketika menghadapi cabaran sangat menggalakkan saya. Saya rasa bahagia kerana tidak lagi hidup untuk diri sendiri, tetapi dapat menggunakan masa dan tenaga untuk menyembah Yehuwa dan membantu orang lain.

“Akhirnya, Hidup Saya Mempunyai Makna.”​—IAN KING

  • TAHUN LAHIR: 1963

  • NEGARA ASAL: ENGLAND

  • LATAR BELAKANG: DIBELENGGU RASA KECEWA

KISAH SILAM SAYA:

Saya lahir di England. Ketika saya berumur tujuh tahun, keluarga saya berpindah ke Gold Coast di Queensland, Australia. Walaupun kami tidak kaya, kami mempunyai segala yang diperlukan.

Meskipun demikian, saya tidak bahagia dan sering rasa kecewa dengan hidup. Bapa saya seorang kaki botol dan layan ibu dengan teruk. Jadi saya tidak pernah menyayanginya. Pada kemudian hari, baru saya sedar bahawa bapa bersikap begitu kerana pengalaman pahit yang dialaminya semasa menjadi askar di Malaya.

Ketika saya di sekolah menengah, saya minum banyak alkohol. Apabila berumur 16 tahun, saya berhenti bersekolah dan menyertai tentera laut. Pada masa itu, saya mengambil dadah, dan ketagihan rokok dan alkohol. Mula-mula, saya hanya minum pada hujung minggu. Tetapi secara beransur-ansur, saya minum setiap hari.

Ketika saya berumur sekitar 20 tahun, saya mula fikir sama ada Tuhan benar-benar wujud atau tidak. Saya tanya diri, “Jika Dia wujud, mengapakah Dia membiarkan orang menderita dan mati?” Dalam puisi saya, saya selalu menyalahkan Tuhan atas kejahatan yang berlaku di dunia ini.

Semasa saya berumur 23 tahun, saya berhenti bekerja sebagai tentera laut. Selepas itu, saya mencuba pelbagai jenis kerja dan bahkan mengembara ke luar negara selama setahun. Tetapi tiada apa-apa yang dapat mengubati hati saya. Hidup saya tiada matlamat. Saya tiada keinginan untuk membeli rumah, mendapat kerja yang tetap, atau pangkat yang tinggi. Apa yang dapat melegakan saya ialah arak dan muzik.

Titik perubahan dalam kehidupan saya ialah semasa saya berada di Poland. Saya telah melawat kem konsentrasi yang terkenal di Auschwitz. Saya pernah baca tentang hal kejam yang berlaku di kem itu. Tetapi semasa saya berdiri di sana dan memikirkan betapa ramai orang yang telah diseksa, hati saya sangat pilu. Saya tidak boleh faham mengapa manusia sanggup bertindak begitu kejam terhadap satu sama lain. Semasa mengelilingi kem itu, saya menangis sambil tertanya-tanya, “Mengapa?”

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Pada 1993, iaitu selepas saya balik dari luar negara, saya mula membaca Bible. Tidak lama kemudian, dua orang Saksi-Saksi Yehuwa menginjil kepada saya dan menjemput saya ke konvensyen yang diadakan di sebuah stadium yang berdekatan. Jadi, saya pun pergi.

Beberapa bulan sebelum itu, saya pernah pergi ke sana untuk menonton perlawanan sukan. Tetapi suasana semasa konvensyen itu jauh berbeza. Semua orang sangat sopan dan berpakaian kemas, dan anak-anak pun sangat baik. Semasa tengah hari, mereka berkumpul di padang stadium untuk makan. Apabila mereka balik ke tempat duduk, saya tidak nampak secebis sampah pun! Saya sangat terkejut. Hal yang paling menyentuh hati saya ialah ketenangan yang terpapar di wajah mereka. Itulah yang saya cari-cari selama ini. Walaupun saya langsung tidak ingat tentang ceramah yang disampaikan, kelakuan para Saksi pada hari itu telah terpahat di hati saya.

Pada petang itu, saya teringat tentang sepupu saya yang suka mengkaji agama dan membaca Bible. Beberapa tahun sebelum itu, dia beritahu saya bahawa kita dapat mengenali agama sejati melalui perbuatan penganutnya. (Matius 7:15-20) Saya ingin tahu mengapa para Saksi begitu berbeza, jadi saya memutuskan untuk mengkaji lebih banyak tentang mereka. Buat kali pertama, saya rasa hidup saya ada harapan dan saya lebih gembira.

Pada minggu berikutnya, dua Saksi yang pernah mengunjungi saya datang lagi. Mereka menawarkan pembelajaran Bible dan saya pun terima. Saya juga mula menghadiri perjumpaan bersama mereka.

Setelah saya belajar Bible, pandangan saya terhadap Tuhan berubah sama sekali. Saya sedar bahawa Dia bukanlah penyebab penderitaan di dunia ini. Sebaliknya, Dia kecewa dan sakit hati apabila melihat orang berbuat jahat. (Kejadian 6:6; Mazmur 78:40, 41) Maka, saya bertekad untuk menggembirakan Yehuwa dan tidak menyakiti hati-Nya. (Amsal 27:11) Saya tidak lagi merokok, minum berlebihan, atau melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Pada Mac 1994, saya dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Sekarang, saya benar-benar gembira dan puas hati. Saya tidak lagi bergantung pada alkohol untuk menyelesaikan masalah saya. Sebaliknya, saya berpaut pada Yehuwa dan melemparkan kekhuatiran saya kepada-Nya.—Mazmur 55:22.

Saya juga telah berkahwin dengan Karen, seorang Saksi yang sangat baik. Saya mempunyai seorang anak tiri yang bernama Nella. Selama 10 tahun ini, kami hidup bahagia. Kami menikmati kerja menginjil dan gembira kerana dapat membantu orang mengenali Tuhan Yehuwa. Akhirnya, hidup saya mempunyai makna.

^ per. 11 Diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.