AYAT BIBLE DIJELASKAN
Kolose 3:23—“Lakukanlah Semua Tugas dengan Sepenuh Hati”
“Apa sahaja yang kamu lakukan, lakukannya dengan sepenuh jiwa, seolah-olah kamu melakukannya untuk Yehuwa dan bukannya untuk manusia.”—Kolose 3:23, Terjemahan Dunia Baharu.
“Lakukanlah semua tugas dengan sepenuh hati, seolah-olah kamu melakukannya untuk Tuhan dan bukan untuk manusia.”—Kolose 3:23, Alkitab Berita Baik.
Maksud Kolose 3:23
Seorang Kristian patut berusaha untuk bekerja keras kerana sikapnya terhadap kerja mempengaruhi penyembahannya kepada Tuhan Yehuwa.
“Apa sahaja yang kamu lakukan.” Orang yang ingin sembah Yehuwa cuba untuk ikut apa yang Bible kata dalam semua hal yang mereka lakukan. Dalam aktiviti harian, mereka berusaha untuk rajin, jujur, dan dapat dipercayai tidak kira di rumah, tempat kerja, atau sekolah.—Amsal 11:13; Roma 12:11; Ibrani 13:18.
“Lakukanlah . . . dengan sepenuh hati.” Ungkapan “dengan sepenuh hati” diterjemah daripada ungkapan Yunani yang “menggambarkan tekad seseorang untuk melakukan kehendak Tuhan dengan sepenuh tenaga.” a
Jadi, orang sedemikian menggunakan semua kebolehan fizikal dan mental dengan sebaik-baiknya semasa melakukan suatu tugas. Terjemahan Bible yang lain menggunakan ungkapan ‘sebulat hati’ (Alkitab Versi Borneo) atau ‘segenap hati’ (Alkitab Terjemahan Baru).—Lihat “ Kolose 3:23 dalam Terjemahan Lain.”
“Untuk Yehuwa dan bukannya untuk manusia.” Orang Kristian memandang serius terhadap apa jua kerja yang mereka lakukan. Ini adalah kerana mereka sedar bahawa sikap mereka terhadap kerja mempengaruhi hubungan mereka dengan Tuhan Yehuwa. Mereka terutamanya ingin menyenangkan hati Tuhan dan bukannya majikan atau orang lain. Apabila seorang Kristian bekerja keras dan bersikap positif, orang lain akan memiliki pandangan yang baik bukan sahaja terhadap dia, malahan terhadap Tuhan yang disembahnya. Dengan demikian, seorang Kristian melakukan apa yang terdaya “supaya nama Tuhan . . . tidak diburuk-burukkan sama sekali.”—1 Timotius 6:1; Kolose 3:22.
Konteks Kolose 3:23
Buku Kolose ditulis oleh Rasul Paulus kepada orang Kristian di kota kuno Kolose. b Barangkali, dia menulis buku ini pada akhir tempoh pertama dia dipenjarakan di Roma, kira-kira 60-61 Masihi.
Buku Kolose mengandungi nasihat yang bantu orang Kristian dari semua latar belakang dan keadaan untuk bersatu menyembah Tuhan. (Kolose 3:11) Ia menggalakkan mereka untuk tiru sifat-sifat Tuhan seperti kasih, kebaikan hati, dan belas kasihan. (Kolose 3:12-14) Buku itu juga menjelaskan bagaimana penyembahan kepada Tuhan patut mempengaruhi setiap aspek kehidupan seseorang.—Kolose 3:18–4:1.
Kolose 3:23 dalam Terjemahan Lain
“Lakukan segala kerja dengan sebulat hatimu untuk Tuhan, bukan untuk manusia.”—Alkitab Versi Borneo.
“Apapun juga yang kamu perbuat, perbuatlah dengan segenap hatimu seperti untuk Tuhan dan bukan untuk manusia.”—Alkitab Terjemahan Baru.
“Barang apa yang kamu perbuat, perbuatlah bersungguh-sungguh, sebagaimana kepada Tuhan dan jangan seperti kepada manusia.”—Alkitab Terjemahan Lama.
“Pekerjaan apa saja yang diberikan kepadamu, hendaklah kalian mengerjakannya dengan sepenuh hati, seolah-olah Tuhanlah yang kalian layani, dan bukan hanya manusia.”—Alkitab Kabar Baik Bahasa Indonesia Sehari-hari.
Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Kolose.