Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Wahyu 21:4—“Dia Akan Menyapu Air Mata Mereka”

Wahyu 21:4—“Dia Akan Menyapu Air Mata Mereka”

 “Dia akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi. Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.”—Wahyu 21:4, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Dia akan menyapu air mata mereka. Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan. Perkara-perkara lama sudah lenyap.”—Wahyu 21:4, Alkitab Berita Baik.

Maksud Wahyu 21:4

 Tuhan bukan sahaja berjanji untuk melenyapkan kesakitan dan penderitaan, tetapi juga untuk menyingkirkan punca semua masalah kita.

 “Dia akan menyapu semua air mata mereka.” Kata-kata ini mengingatkan kita tentang janji Yehuwa a yang dicatatkan oleh Yesaya bahawa Tuhan akan “menghapuskan air mata daripada setiap wajah.” (Yesaya 25:8; Wahyu 7:17) Ungkapan ini menunjukkan belas kasihan Tuhan bagi semua orang yang menangis kerana terpaksa mengharungi cabaran besar atau kerana kehilangan orang tersayang dalam kematian.

 “Kematian tidak akan ada lagi.” Ungkapan ini juga boleh diterjemahkan sebagai “kematian tidak akan wujud lagi” atau “tidak akan ada maut lagi.” Tuhan berjanji bahawa “musuh terakhir yang akan dilenyapkan ialah kematian.” (1 Korintus 15:26) Namun, Dia bukan sahaja akan menyingkirkan kematian dan semua penderitaan yang dibawa oleh kematian. Tuhan juga akan membangkitkan orang yang sudah meninggal.—1 Korintus 15:21, 22.

 “Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi.” Janji ini tidak bermaksud bahawa manusia langsung tidak akan berasa sakit lagi. Kita masih akan merasai kesakitan fizikal yang membantu kita mengelakkan bahaya atau kecederaan. Apa yang dimaksudkan ialah kita tidak perlu lagi mengalami kesakitan mental, emosi, dan fizikal yang diakibatkan oleh dosa b dan ketidaksempurnaan.—Roma 8:21, 22.

 “Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.” Frasa penutup bagi ayat ini mengungkapkan perubahan besar yang akan dialami oleh manusia. Sebuah buku rujukan Bible menyatakan, “Cara hidup yang lama, di mana kematian, ratapan, tangisan dan kesakitan merupakan lumrah hidup yang tidak dapat dielakkan, akan digantikan dengan cara hidup yang baharu.” Pada masa itu, manusia akan menikmati kehidupan kekal di bumi dalam keadaan yang sempurna, sesuai dengan tujuan asal Tuhan.—Kejadian 1:27, 28.

Konteks Wahyu 21:4

 Di permulaan bab 21, Rasul Yohanes menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan apa yang dilihatnya dalam sebuah penglihatan, “Aku melihat langit baharu dan bumi baharu.” (Wahyu 21:1) Kata-kata ini menggambarkan perubahan besar yang juga dinubuatkan dalam ayat-ayat Bible yang lain. (Yesaya 65:17; 66:22; 2 Petrus 3:13) Kerajaan Tuhan di syurga, iaitu “langit baharu,” akan menggantikan semua kerajaan manusia dan memerintah “bumi baharu,” iaitu manusia yang tinggal di bumi.—Yesaya 65:21-23.

 Bagaimanakah kita tahu bahawa penglihatan ini menggambarkan keadaan di bumi? Perhatikan dua hal ini. Pertama, sebelum memberikan janji ini, Bible menyatakan, “Khemah Tuhan ada bersama manusia.” (Wahyu 21:3) Jadi, janji ini diberikan kepada manusia di bumi, bukan malaikat di syurga. Kedua, penglihatan ini menyatakan bahawa “kematian tidak akan ada lagi.” (Wahyu 21:4) Kematian tidak pernah berlaku di syurga, tetapi hanya di bumi. (Roma 5:14) Maka, kita boleh menyimpulkan bahawa ayat ini menggambarkan keadaan di bumi pada masa depan.

 Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Wahyu.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihatlah rencana “Siapakah Yehuwa?

b Dalam Bible, “dosa” ialah perbuatan, perasaan, atau fikiran yang bertentangan dengan standard Tuhan. Bible juga menyatakan bahawa jika seseorang tahu apa yang betul tetapi tidak melakukannya, dia berdosa. (1 Yohanes 3:4) Lihat rencana “Apakah Itu Dosa?