AYAT BIBLE DIJELASKAN
Yeremia 33:3—“Berserulah kepada-Ku, dan Aku Akan Menjawabmu”
“Berserulah kepada-Ku, dan Aku akan menjawabmu. Aku pasti akan memberitahu engkau perkara-perkara yang tidak engkau ketahui. Aku akan memberitahu engkau banyak perkara yang hebat dan susah difahami.”—Yeremia 33:3, Terjemahan Dunia Baharu.
“Berserulah kepada-Ku, maka Aku akan menjawab; Aku akan memberitahu engkau hal-hal yang indah dan mengagumkan, yang belum engkau ketahui.”—Yeremia 33:3, Alkitab Berita Baik.
Maksud Yeremia 33:3
Tuhan menjemput orang untuk berseru kepada-Nya menerusi doa. Jika seseorang mendengar jemputan ini lalu berdoa kepada Tuhan, Dia akan memberitahu mereka perkara yang akan terjadi pada masa depan.
“Berserulah kepada-Ku, dan Aku akan menjawabmu.” Ungkapan “berserulah kepada-Ku” tidak bermaksud menyebut nama Tuhan dengan suara yang lantang. Sebaliknya, kata-kata ini bermaksud kita perlu berdoa untuk meminta bantuan dan bimbingan Tuhan.—Mazmur 4:1; Yeremia 29:12.
Nampaknya, jemputan ini ditujukan kepada bangsa Israel kuno. Mereka telah meninggalkan Tuhan dan diancam oleh tentera Babilon. (Yeremia 32:1, 2) Yehuwa a menjemput orang Israel untuk kembali kepada-Nya dan berseru kepada-Nya menerusi doa.
“Aku pasti akan memberitahu engkau perkara-perkara yang tidak engkau ketahui. Aku akan memberitahu engkau banyak perkara yang hebat dan susah difahami.” Tuhan berjanji untuk memberitahu umat-Nya perkara yang “susah difahami,” iaitu perkara yang tidak dapat diketahui manusia dengan kebolehan sendiri. Ungkapan “susah difahami” juga boleh diterjemahkan sebagai “tersembunyi.”
Apakah perkara-perkara “tersembunyi” yang akan Tuhan singkapkan? Perkara yang akan terjadi pada masa depan, iaitu kota Yerusalem akan dibinasakan dan tidak didiami untuk suatu jangka masa dan kemudian dipulihkan. (Yeremia 30:1-3; 33:4, 7, 8) Tuhan juga menyingkapkan bahawa walaupun umat-Nya yang jahat akan dibinasakan, penyembah-Nya tidak akan lenyap dari muka bumi.—Yeremia 32:36-38.
Konteks Yeremia 33:3
Nabi Yeremia menerima perkhabaran ini daripada Yehuwa pada tahun 608 SM, iaitu tahun ke-10 pemerintahan Raja Zedekia. Yeremia telah menubuatkan bahawa kota Yerusalem akan jatuh ke dalam tangan musuh dan Zedekia akan menjadi tawanan. Raja Zedekia murka setelah mendengar mesej Yeremia lalu memerintahkan agar Yeremia dikurung.—Yeremia 32:1-5; 33:1; 37:21.
Sekitar masa itu, Tuhan memberikan jemputan yang dicatatkan di Yeremia 33:3. Sedihnya, Raja Zedekia dan kebanyakan orang Israel terus memberontak terhadap Tuhan. (Yeremia 7:26; 25:4) Mereka tidak berseru kepada Tuhan ataupun meminta bimbingan-Nya. Akibatnya, satu tahun kemudian, pemerintahan Zedekia digulingkan, Yerusalem dimusnahkan, dan kebanyakan orang yang melarikan diri ditangkap dan dibawa ke Babilon.—Yeremia 39:1-7.
Kata-kata yang tercatat di Yeremia 33:3 mengingatkan pembaca hari ini bahawa Tuhan dapat memberikan “pengetahuan yang tepat mengenai [kehendak-Nya]” dan ‘kebijaksanaan yang mendalam’ kepada mereka yang berdoa kepada-Nya dan mengkaji Firman-Nya. (Kolose 1:9; 1 Korintus 2:10) Kebijaksanaan yang mendalam ini termasuklah janji Tuhan tentang masa depan.—Wahyu 21:3, 4.
Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Yeremia.
a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?”