TIRULAH IMAN MEREKA | YONATAN
“Menjalin Persahabatan yang Erat”
Pertempuran sudah berakhir, ketenangan meliputi Lembah Ela. Angin sepoi-sepoi berhembus meniup ke arah perkhemahan tentera. Pada tengah hari itu, Raja Saul mengadakan perjumpaan dengan tentera-tenteranya. Anak sulungnya, Yonatan, turut hadir. Pada masa itu, seorang gembala muda menceritakan pengalamannya dengan gembira. Gembala yang penuh bersemangat itu ialah Daud. Saul mendengar setiap kata-kata Daud dengan penuh perhatian. Bagaimanakah perasaan Yonatan? Sepanjang khidmatnya sebagai tentera Yehuwa, dia telah memenangi banyak pertempuran. Namun kemenangan hari ini bukan milik Yonatan, sebaliknya milik gembala muda ini. Daud telah membunuh Goliat, gergasi itu! Adakah Yonatan berasa cemburu akan pujian yang diterima oleh Daud?
Reaksi Yonatan mungkin mengejutkan anda. Bible mengatakan: “Setelah Yonatan mendengar kata-kata Daud kepada Saul, dia dan Daud mula menjalin persahabatan yang erat. Yonatan mengasihi Daud seperti dia mengasihi dirinya sendiri.” Yonatan memberi Daud perlengkapan senjatanya, termasuklah busurnya. Hadiah ini sangat berharga kerana Yonatan ialah pemanah yang handal. Yang lebih menarik lagi, Yonatan dan Daud telah membuat suatu perjanjian persahabatan. Mereka berjanji akan sentiasa menyokong satu sama lain.—1 Samuel 18:1-5.
Inilah antara satu persahabatan yang menyentuh hati yang tercatat dalam Bible. Bagi umat Yehuwa, persahabatan adalah sangat penting. Jika kita memilih sahabat dengan bijak dan kita sendiri menjadi kawan yang setia, iman kita dapat dikuatkan pada masa yang sukar. (Amsal 27:17) Mari kita lihat, bagaimana teladan Yonatan mengajar kita erti persahabatan.
Asas Persahabatan
Bagaimanakah persahabatan mereka boleh terjalin dengan begitu cepat? Jawapannya ada kaitan dengan asas persahabatan mereka. Fikirkan latar belakang Yonatan. Dia sedang mengharungi masa yang sukar. Ayahnya, Raja Saul, sudah berubah. Dahulu Saul seorang yang rendah hati, taat dan beriman tetapi kini dia merupakan raja yang sombong dan tidak mentaati Yehuwa.—1 Samuel 15:17-19, 26.
Yonatan sangat rapat dengan ayahnya, jadi perubahan Saul tentu menyedihkan hati Yonatan. (1 Samuel 20:2) Yonatan mungkin tertanya-tanya, apakah kesan buruk yang akan menimpa bangsa pilihan Yehuwa di bawah pemerintahan ayahnya? Adakah raja yang tidak taat ini akan menyesatkan umat Yehuwa dan menyebabkan mereka kehilangan perkenan-Nya? Sudah pasti, inilah masa yang sukar bagi lelaki yang beriman, seperti Yonatan.
Situasi Yonatan membantu kita memahami sebabnya dia bersahabat dengan Daud yang muda itu. Yonatan telah melihat iman Daud yang kukuh. Askar-askar Saul berasa takut kepada Goliat kerana saiznya yang besar. Tetapi Daud tidak berasa gentar kepada Goliat. Daud berkata bahawa dia melawan demi nama Yehuwa. Oleh itu, dia jauh lebih kuat daripada Goliat yang bersenjata lengkap.—1 Samuel 17:45-47.
Beberapa tahun yang lalu, Yonatan juga mengatakan hal yang sama. Dia sangat yakin bahawa dia dan seorang hambanya dapat mengalahkan barisan tentera pihak musuh. Mengapa? Yonatan berkata, “Yehuwa dapat memberikan kemenangan kepada kita.” (1 Samuel 14:6) Maka Yonatan dan Daud mempunyai persamaan ini: iman yang kukuh dan kasih yang mendalam kepada Yehuwa. Itulah asas persahabatan mereka berdua. Yonatan merupakan anak raja dan berusia lebih kurang 50 tahun, manakala Daud pula hanyalah seorang gembala dan usianya kemungkinan besar belum mencecah 20 tahun. Namun perbezaan ini bukanlah halangan. a
Perjanjian mereka telah melindungi persahabatan mereka. Bagaimana? Daud mengetahui janji Yehuwa kepadanya bahawa dia akan menjadi raja Israel yang seterusnya. Adakah Daud merahsiakan perkara itu daripada Yonatan? Sudah pasti tidak! Persahabatan yang baik seperti mereka dapat terus bertumbuh kerana ada komunikasi yang terbuka dan bukannya dipenuhi rahsia dan penipuan. Apakah reaksi Yonatan semasa mengetahui bahawa Daud bakal menjadi raja Israel? Bagaimana pula jika Yonatan pernah berharap untuk mewarisi takhta dan membetulkan kesilapan ayahnya? Bible tidak memberitahu kita tentang pergelutan yang mungkin dialami oleh Yonatan. Bible hanya memberitahu kita apa yang penting iaitu kesetiaan dan iman Yonatan. Dia dapat melihat kuasa suci Tuhan menyertai Daud. (1 Samuel 16:1, 11-13) Maka, Yonatan berpegang pada janjinya dan terus menganggap Daud sebagai seorang kawan dan bukan sebagai musuh. Yonatan ingin melihat kehendak Yehuwa terlaksana.
Yonatan dan Daud mempunyai persamaan, iaitu iman yang kukuh dan kasih yang mendalam kepada Yehuwa
Persahabatan mereka merupakan suatu berkat. Apakah yang dapat kita pelajari daripada iman Yonatan? Sebagai umat Tuhan, persahabatan sangat penting. Sahabat kita tidak semestinya sebaya dengan kita atau memiliki latar belakang yang sama. Tetapi, mereka haruslah mempunyai iman yang sejati kerana ini akan memberi manfaat kepada kita. Yonatan dan Daud saling menguatkan dan menggalakkan satu sama lain. Hal ini sangat penting kerana persahabatan mereka bakal diuji.
Cabaran dalam Menunjukkan Kesetiaan
Pada mulanya, Saul menyayangi Daud dan menjadikannya ketua tentera. Tetapi tidak lama kemudian, perasaannya mula berubah. Tidak seperti Yonatan, Saul menjadi sangat cemburu terhadap Daud. Sebagai ketua tentera, Daud telah meraih banyak kemenangan dalam pertempurannya dengan musuh Israel, iaitu orang Filistin. Jadi Daud mendapat pujian dan sanjungan. Wanita Israel bahkan bernyanyi, “Saul membunuh beribu-ribu orang, dan Daud membunuh berpuluh-puluh ribu orang.” Saul membenci nyanyian ini. Bible mengatakan, “Sejak hari itu, Saul selalu memandang Daud dengan curiga.” (1 Samuel 18:7, 9) Saul takut Daud akan merampas takhtanya. Betapa bodohnya pemikiran Saul! Meskipun Daud tahu bahawa dia akan menggantikan Saul sebagai raja, dia tidak pernah terfikir untuk merampas takhta raja pilihan Yehuwa, selagi raja itu masih memerintah.
Dengan liciknya, Saul merancang supaya Daud terbunuh dalam pertempuran tetapi tidak berjaya. Daud terus memperoleh kemenangan dalam peperangan. Oleh itu, rakyat semakin menyayangi dan menghormatinya. Seterusnya Saul cuba meminta Yonatan dan semua hambanya untuk bersubahat dalam rancangannya untuk membunuh Daud. Bayangkan betapa sakitnya hati Yonatan melihat tindakan ayahnya itu! (1 Samuel 18:25-30; 19:1) Yonatan seorang anak yang setia, tetapi dia juga seorang kawan yang setia. Sekarang, kesetiaan Yonatan berbelah bahagi. Apakah pilihan Yonatan?
Yonatan berkata: “Ayahanda tidak patut berdosa terhadap Daud, hamba ayahanda, kerana dia tidak berbuat salah terhadap ayahanda. Malah dia telah berjasa terhadap ayahanda. Dia telah mempertaruhkan nyawanya untuk membunuh Goliat, sehingga Yehuwa memberikan kemenangan yang besar kepada semua orang Israel. Pada masa itu, ayahanda telah menyaksikannya dan turut bergembira. Jadi sekarang mengapakah ayahanda mahu membunuh Daud tanpa sebab? Mengapakah ayahanda mahu berdosa terhadap orang yang tidak bersalah ini?” Saul mendengar kata-kata Yonatan dan dia juga bersumpah tidak akan mencederakan Daud. Tetapi, Saul tidak menepati janjinya. Apabila Daud mendapat lebih banyak kejayaan, Saul begitu cemburu sehingga dia melemparkan tombak ke arah Daud! (1 Samuel 19:4-6, 9, 10) Tetapi, Daud mengelak dan melarikan diri dari istana Saul.
Pernahkah kesetiaan anda berbelah bahagi? Situasi ini pastinya mencabar. Beberapa orang mungkin menasihati anda untuk mengutamakan keluarga dahulu. Tetapi bagi Yonatan, pandangan itu salah. Daud seorang hamba Yehuwa yang taat dan setia, jadi tidak mungkin Yonatan berpihak kepada ayahnya. Kesetiaannya kepada Yehuwa membantu dia membuat keputusan yang betul. Inilah sebabnya dia mempertahankan Daud. Kesetiaan kepada Yehuwa ialah keutamaan Yonatan. Namun dia juga menunjukkan kesetiaan kepada ayahnya dengan memberikan nasihat yang jujur, bukan hanya memberitahu apa yang suka didengarinya. Kita boleh memperoleh manfaat dengan meniru cara Yonatan menunjukkan kesetiaan.
Kesetiaan Memerlukan Pengorbanan
Sekali lagi, Yonatan mencuba untuk memperbaiki hubungan Saul dan Daud tetapi tidak berjaya. Secara rahsia, Daud berjumpa dengan Yonatan dan memberitahunya bahawa nyawanya terancam. Daud berkata: “Aku akan mati tidak lama lagi!” Yonatan berjanji untuk memastikan perasaan ayahnya dahulu, sama ada dia mahu berdamai dengan Daud atau tidak. Sementara itu, Daud menyembunyikan diri. Kemudian Yonatan akan memberikan tanda dengan menggunakan busur dan anak panah. Yonatan memohon satu perkara sahaja daripada Daud: “Semoga kamu sentiasa menunjukkan kasih setia terhadap keluargaku, meskipun Yehuwa melenyapkan semua musuhmu dari muka bumi.” Daud bersetuju dan berjanji akan sentiasa menjaga keluarga Yonatan.—1 Samuel 20:3, 13-27.
Yonatan cuba membela Daud di hadapan Saul. Tetapi, raja itu menjadi sangat marah! Dia memanggil Yonatan “anak derhaka” dan mempersendakan kesetiaannya kepada Daud. Dia kata Yonatan telah memalukan keluarga. Saul cuba memujuk Yonatan untuk memikirkan kepentingannya sendiri dan berkata, “Selagi anak Isai itu hidup di muka bumi ini, kamu dan pemerintahanmu tidak akan berkekalan.” Namun Yonatan merayu sekali lagi, “Mengapa dia mesti mati? Apakah yang telah dilakukannya?” Kemarahan Saul membara! Walaupun sudah berusia, Saul masih seorang pahlawan yang gagah. Dia melemparkan tombak ke arah anaknya! Namun tersasar. Dengan hati yang terluka dan perasaan yang marah, Yonatan pun beredar dari situ.—1 Samuel 20:24-34.
Yonatan tetap setia dan tidak mementingkan diri
Keesokan paginya, Yonatan pun pergi ke padang berhampiran dengan tempat persembunyian Daud. Seperti yang dirancang, Yonatan melepaskan anak panah untuk memberitahu Daud bahawa Saul masih lagi berniat untuk membunuhnya. Kemudian Yonatan menyuruh hambanya kembali ke kota. Sekarang mereka berdua ada peluang yang singkat untuk berbual. Mereka menangis dengan pilu dan Yonatan berasa sedih melihat kawannya yang muda itu pergi dan hidup sebagai perlarian.—1 Samuel 20:35-42.
Semasa Yonatan berada dalam keadaan yang mencabar, dia tetap setia dan tidak mementingkan diri. Syaitan, musuh hamba Yehuwa, tentu gembira jika Yonatan mengikut langkah ayahnya yang mengutamakan kuasa dan kemuliaan. Ingatlah, Syaitan suka menggoda manusia agar mementingkan diri. Dia berjaya menggoda Adam dan Hawa, pasangan manusia yang pertama. (Kejadian 3:1-6) Tetapi dia gagal menggoda Yonatan. Betapa kecewanya Syaitan! Dapatkah anda melawan godaan Syaitan? Kita hidup pada zaman yang mementingkan diri. (2 Timotius 3:1-5) Bolehkah kita meniru teladan Yonatan yang setia dan tidak mementingkan diri?
“Aku Sangat Mengasihimu”
Kebencian Saul terhadap Daud semakin kuat sehingga menguasai mindanya. Yonatan hanya berupaya melihat kelakuan ayahnya yang semakin teruk dan bagaikan orang gila. Dia mengumpul tenteranya semata-mata untuk mengejar seorang lelaki yang tidak bersalah di merata tempat. (1 Samuel 24:1, 2, 12-15; 26:20) Adakah Yonatan ikut serta? Bible tidak pernah menyatakan bahawa Yonatan terlibat dalam hal yang tidak masuk akal ini. Kesetiaan Yonatan kepada Yehuwa, Daud dan perjanjian persahabatannya menghalang dia daripada menyokong bapanya.
Perasaan Yonatan terhadap sahabatnya yang muda itu tidak pernah berubah. Akhirnya, dia berpeluang berjumpa dengan Daud lagi. Mereka berjumpa di “Hores” yang bermaksud “Tempat Berhutan”. Hores ialah kawasan hutan yang bergunung-ganang, beberapa kilometer dari Hebron ke arah tenggara. Mengapakah Yonatan mengambil risiko untuk berjumpa dengan Daud yang merupakan seorang pelarian? Bible menjelaskan bahawa motifnya adalah untuk “menguatkan keyakinan Daud terhadap Yehuwa”. (1 Samuel 23:16) Bagaimanakah Yonatan melakukannya?
“Janganlah takut,” Yonatan memberitahu sahabatnya yang muda itu. Sekali lagi, dia meyakinkan Daud, “Kamu tidak akan jatuh ke dalam tangan bapaku Saul.” Apakah dasar keyakinannya? Iman Yonatan yang dalam bahawa tujuan Yehuwa pasti terlaksana. Dia berkata lagi, “Kamu akan menjadi raja atas negeri Israel.” Beberapa tahun yang lalu di bawah bimbingan Yehuwa, nabi Samuel mengatakan hal yang sama dan ini mengingatkan Daud bahawa kata-kata Yehuwa dapat dipercayai. Jadi, apakah pandangan Yonatan tentang masa depannya? Dia kata, “Aku akan mendapat kedudukan di bawahmu.” Kerendahan hati yang ditunjukkan Yonatan sangat menakjubkan! Dia rela menyokong serta berkhidmat di bawah pimpinan seorang lelaki yang 30 tahun lebih muda daripadanya. Dia mengakhiri perbualan itu dengan berkata, “Bapaku Saul juga tahu tentang hal ini.” (1 Samuel 23:17, 18) Sesungguhnya, Saul memang tahu bahawa dia tidak mungkin dapat menewaskan lelaki yang sudah dipilih Yehuwa untuk menjadi raja seterusnya!
Walaupun masa sudah berlalu, namun pertemuan mereka yang menggalakkan itu sentiasa dikenang Daud. Sayangnya, itulah pertemuan mereka yang terakhir. Harapan Yonatan untuk menyokong Daud dalam pemerintahannya tidak tercapai.
Sekali lagi, Yonatan menyertai ayahnya ke pertempuran untuk melawan musuh ketat orang Israel, iaitu orang Filistin. Dia mempunyai hati nurani yang bersih semasa berlawan di sisi ayahnya kerana dia tidak membiarkan kesalahan Saul mengganggu khidmatnya kepada Yehuwa. Seperti biasa, dia bertempur dengan berani dan setia. Tetapi, Saul menjadi semakin jahat dan dia bahkan mengamalkan spiritisme. Di bawah hukum Tuhan, kesalahan ini membawa hukuman mati. Oleh itu, Saul kehilangan perkenan Yehuwa dan orang Israel kalah dalam pertempuran itu. Ketiga-tiga anak lelaki Saul, termasuklah Yonatan, terkorban dalam pertempuran itu. Saul juga cedera parah dan akhirnya dia membunuh diri.—1 Samuel 28:6-14; 31:2-6.
“Kamu akan menjadi raja atas negeri Israel,” Yonatan berkata, “Aku akan mendapat kedudukan di bawahmu.”—1 Samuel 23:17
Hati Daud diselubungi kesedihan. Namun, dia tetap baik hati dan suka mengampuni. Dia malah berkabung untuk Saul yang banyak memberinya kesusahan. Dia juga menulis lagu ratapan untuk Saul dan Yonatan. Mengenai sahabat dan penasihat yang dikasihinya, Daud menulis lirik yang menyentuh hati ini, “Wahai saudaraku Yonatan, aku amat sedih dengan pemergianmu. Aku sangat mengasihimu. Kasih yang kamu tunjukkan kepadaku lebih mulia daripada kasih seorang wanita.”—2 Samuel 1:26.
Daud tidak melupakan janjinya kepada Yonatan. Bertahun-tahun kemudian, dia telah mencari dan menjaga Mefiboset, anak Yonatan yang kurang upaya. (2 Samuel 9:1-13) Jelaslah, Daud banyak belajar daripada teladan Yonatan. Dia setia dan rela berkorban demi sahabatnya. Bagaimana pula dengan kita? Bolehkah kita mencari sahabat yang bersifat seperti Yonatan? Bolehkah kita mencontohi Yonatan dan menjadi sahabat baik kepada orang lain? Ya. Jika kita membantu sahabat kita beriman kepada Yehuwa, mengutamakan kesetiaan kita pada Tuhan dan tidak mementingkan diri, kita sedang mencontohi Yonatan dan meniru imannya.
a Yonatan mula disebut dalam Bible pada permulaan pemerintahan Raja Saul. Yonatan merupakan ketua tentera, jadi dia mesti berusia sekitar 20 tahun. (Bilangan 1:3; 1 Samuel 13:2) Saul memerintah selama 40 tahun. Maka semasa kematian Saul, Yonatan mungkin berusia 60 tahun. Daud pula berusia 30 tahun. (1 Samuel 31:2; 2 Samuel 5:4) Jadi, Yonatan kira-kira 30 tahun lebih tua daripada Daud.