Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | PERKAHWINAN

Pornografi Dapat Menghancurkan Perkahwinan Anda

Pornografi Dapat Menghancurkan Perkahwinan Anda

 Rahsianya diketahui oleh isterinya. Dia berkali-kali minta maaf. Dia berjanji untuk berhenti dan dia berjaya untuk seketika, tetapi belakangan dia buat lagi. Semua hal ini berlaku berulang kali.

 Adakah anda dalam situasi yang sama? Jika ya, anda harus sedar bagaimana tabiat melihat pornografi mempengaruhi pasangan anda dan bagaimana anda dapat menghentikan tabiat ini buat selama-lamanya. a

Dalam rencana ini

 Apa yang perlu anda ketahui

 Pornografi dapat menghancurkan perkahwinan. Tabiat ini dapat membuat pasangan yang tidak bersalah berasa marah dan menghancurkan kepercayaannya. b

 Jika suami melihat pornografi, isteri mungkin mengalami perasaan berikut:

  •   Rasa dikhianati. Seorang isteri yang bernama Sarah berkata, “Saya rasa seperti suami saya berzina berkali-kali.”

  •   Rasa tidak layak. Seorang isteri berkata bahawa tabiat suaminya yang melihat pornografi membuatnya berasa “tidak berguna dan malu.”

  •   Rasa curiga. “Setiap perbuatan suami saya buat saya rasa curiga,” kata seorang isteri yang bernama Helen.

  •   Rasa risau. Seorang isteri yang bernama Catherine mengaku, “Saya dibelenggu perasaan risau kerana tabiat suami saya.”

 Cuba renungkan: Bible memberitahu suami untuk mengasihi isterinya. (Efesus 5:25) Adakah dia mengasihi isterinya jika dia membuatnya berasa seperti yang dinyatakan di atas?

 Apa yang dapat anda lakukan

 Tidak mudah untuk membuang tabiat melihat pornografi. “Suami saya dapat berhenti merokok, mengambil ganja, dan alkohol. Tapi dia masih bergelut dengan pornografi,” kata seorang isteri yang bernama Stacey.

 Jika itulah situasi anda, cadangan berikut dapat membantu anda menghentikan tabiat ini buat selama-lamanya.

  •   Ketahui mengapa pornografi memudaratkan. Pornografi membuat seseorang mementingkan kepuasan diri sendiri. Perbuatan sebegini merobohkan asas perkahwinan yang bahagia, iaitu kasih, kepercayaan, dan kesetiaan. Seseorang yang melihat pornografi tidak menghormati Pengasas perkahwinan, iaitu Tuhan Yehuwa.

     Prinsip Bible: “Hendaklah perkahwinan dihormati.”—Ibrani 13:4.

  •   Bertanggungjawab atas perbuatan anda. Jangan kata, “Saya tidak akan tengok pornografi jika isteri saya tunjuk lebih banyak kasih sayang.” Adalah tidak adil untuk menyalahkan isteri anda. Jika anda berbuat demikian, anda sebenarnya sedang mencari alasan untuk melihat pornografi lagi semasa dia mengecewakan anda.

     Prinsip Bible: “Setiap orang dicubai semasa dia digoda dan diumpan oleh keinginannya sendiri.”Yakobus 1:14.

  •   Berkomunikasi secara jujur dengan pasangan anda. Seorang suami yang bernama Kevin kata, “Setiap hari, saya akan beritahu isteri saya sama ada saya melihat bahan-bahan yang kurang senonoh atau tidak. Hasilnya, dia tidak berasa saya merahsiakan sesuatu daripadanya.”

     Prinsip Bible: “Kami ingin melakukan segala sesuatu dengan jujur.”—Ibrani 13:18.

  •   Tetap berjaga-jaga. Anda mungkin kembali melakukannya biarpun anda berfikir bahawa anda sudah bertahun-tahun mengatasi tabiat buruk itu. Kevin, yang disebutkan tadi, berkata, “Saya sudah berhenti melihat pornografi untuk 10 tahun dan saya yakin masalah saya sudah berakhir. Tapi tabiat ini seperti raksasa yang bersembunyi dan menunggu masa untuk menyerang.”

     Prinsip Bible: “Jika sesiapa berfikir bahawa dia sedang berdiri dengan teguh, hendaklah dia berwaspada supaya dia tidak jatuh.”—1 Korintus 10:12.

  •   Semasa anda digoda, berhentilah sejenak. Anda mungkin tidak dapat menghalang keinginan salah daripada timbul, tetapi anda dapat memilih sama ada untuk menyerah atau tidak. Keinginan itu akan berlalu, mungkin lebih cepat daripada yang disangka, jika anda belajar untuk mengalihkan tumpuan kepada perkara-perkara lain.

     Prinsip Bible: “Kamu masing-masing harus tahu bagaimana mengawal tubuh sendiri supaya kamu tetap suci dan diperkenankan Tuhan. Kamu tidak patut . . . menuruti nafsu seks yang tidak terkawal tanpa rasa puas.”—1 Tesalonika 4:4, 5.

  •   Elakkan situasi yang dapat membuat anda kembali melakukannya. “Apabila anda dalam situasi yang dapat menggoda anda, anda seolah-olah sudah menyalakan mancis. Anda hanya perlu sedikit minyak . . . untuk memarakkan api,” kata buku Willpower’s Not Enough.

     Prinsip Bible: “Janganlah biarkan kejahatan menguasai aku.”—Mazmur 119:133.

  •   Jangan hilang harapan. Anda mungkin akan mengambil masa yang lama, bahkan bertahun-tahun, untuk mendapatkan semula kepercayaan pasangan anda. Meskipun demikian, banyak pasangan telah berjaya melakukannya.

     Prinsip Bible: “Kasih itu sabar.”—1 Korintus 13:4.

a Walaupun rencana ini menyebut tentang suami, prinsip yang dibincangkan juga dapat diterapkan oleh isteri yang melihat pornografi.

b Sesetengah pasangan yang sudah berkahwin berkata bahawa menonton pornografi bersama-sama dapat menguatkan lagi hubungan mereka. Namun, amalan ini tidak selaras dengan prinsip Bible.—Amsal 5:15-20; 1 Korintus 13:4, 5; Galatia 5:22, 23.