Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimana jika Ibu Bapa Tidak Membenarkan Saya Guna Media Sosial?

Bagaimana jika Ibu Bapa Tidak Membenarkan Saya Guna Media Sosial?

 Nampaknya semua kawan kamu menggunakan media sosial dan mereka selalu cakap tentangnya. Mereka juga mungkin mengejek kamu kerana kamu tidak mempunyai akaun media sosial. Apakah yang patut kamu tahu tentang situasi itu? Apakah yang dapat kamu lakukan?

Apa yang perlu kamu ketahui

 Kamu tidak seorang diri. Banyak ibu bapa tidak benarkan anak mereka menggunakan media sosial. Mereka mungkin sedar bahawa media sosial boleh mengakibatkan hal-hal berikut:

  •   kemurungan dan masalah mental lain.

  •   terdedah kepada pornografi, sexting, dan pembuli siber.

  •   perselisihan faham dengan kawan.

 Banyak remaja memilih untuk berhenti menggunakan media sosial. Mereka sendiri sedar bahawa media sosial mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Fikirkan pengalaman berikut:

  •   Priscilla mendapati bahawa masa yang diluangkan untuk media sosial patut digunakan untuk hal yang lebih bermanfaat.

  •   Jeremy tidak suka kerana dia tidak dapat menghalang kandungan yang tidak baik daripada muncul di media sosialnya.

  •   Bethany mendapati bahawa menggunakan media sosial membuatnya terlalu bertumpu kepada apa yang orang lain lakukan.

 “Saya memutuskan untuk padam aplikasi media sosial saya dan saya gembira buat begitu. Saya tidak menyesal dan saya suka sebab saya ada lebih banyak masa untuk bertumpu kepada hal yang lebih penting bagi saya.”—Sierra.

 “Saya tidak suka sebab media sosial boleh buat saya ketagih dan saya ada kalanya risau tentang reaksi orang terhadap ‘post’ saya. Memang tidak senang untuk padam akaun saya, tapi saya terus rasa lega bila saya buat begitu. Saya rasa lebih tenang tanpa media sosial.”—Kate.

Apa yang dapat kamu lakukan

 Bekerjasama dengan ibu bapa kamu. Tunjukkan kepada mereka bahawa kamu cukup matang untuk hidup mengikut peraturan mereka tanpa merungut atau naik marah.

 Prinsip Bible: “Orang bodoh menunjukkan kemarahan dengan terang-terang, tetapi orang bijak bersabar dan menahan kemarahan.”—Amsal 29:11, Alkitab Berita Baik.

 Sesetengah orang mungkin menasihati kamu untuk menggunakan media sosial tanpa pengetahuan ibu bapa kamu atau buat akaun secara rahsia. Itu perbuatan yang tidak bijak! Jika kamu curi-curi buat begitu, kamu akan rasa risau dan bersalah. Selain itu, kamu akan dapat masalah jika mereka tahu perbuatan kamu dan kamu pasti akan hancurkan kepercayaan mereka terhadap kamu.

 Prinsip Bible: “Kami ingin melakukan segala sesuatu dengan jujur.”—Ibrani 13:18.

 Buat keputusan sendiri. Seperti kaum muda yang disebut di atas, kamu mungkin dapat memikirkan banyak sebab untuk tidak menggunakan media sosial. Jika kamu sedar bahawa media sosial tidak bermanfaat bagi kamu, elakkan daripada menggunakannya. Buatlah pilihan itu bukan hanya kerana mengikut keputusan ibu bapa, tetapi kerana kamu sendiri yang memutuskannya. Dengan itu, jika kawan-kawan kamu menanya tentang hal itu, kamu tidak akan berasa malu dan mereka mungkin tidak akan mengejek kamu.

 Kesimpulan: Bekerjasamalah dengan ibu bapa kamu, dan carilah hal-hal yang dapat disetujui supaya keputusan mereka juga mencerminkan keputusan kamu. Sekurang-kurangnya buat masa sekarang, kamu dapat hidup tanpa menggunakan media sosial.