SIAPAKAH PEREKANYA?
Lidah Burung Madu
Dulu, para saintis sangka bahawa lidah burung madu mendapatkan nektar melalui proses tindakan kapilari, iaitu daya semula jadi yang menarik cecair melalui tiub-tiub halus. Namun, menurut kajian baru-baru ini, burung madu menggunakan cara yang lebih efisien yang dikenali sebagai “perangkap cecair.”
Fikirkan: Lidah burung madu mempunyai dua cabang di bahagian hujungnya. Pada setiap cabang, terdapat alur yang tertutup. Apabila lidah burung madu menyentuh nektar, alur itu akan terbuka supaya nektar dapat mengalir masuk. Kemudian, apabila lidah itu kembali ke mulut, alur di bahagian hujung lidah akan tertutup dengan nektar yang terperangkap di dalamnya. Cara ini amat berbeza dengan cara cecair disedut menggunakan straw.
Menurut tiga orang penyelidik, Alejandro Rico-Guevara, Tai-Hsi Fan, dan Margaret Rubega, ‘seluruh proses itu mengambil masa kurang daripada 0.1 saat.’ Mereka juga menyatakan, “Hujung lidah burung madu ialah alat perangkap cecair yang dinamik dan dapat mengubah . . . bentuk dengan cepat semasa mendapatkan nektar.”
Selain itu, rekaan lidah burung madu yang sangat unik membolehkannya untuk mendapatkan nektar tanpa menggunakan apa-apa tenaga. Bahagian hujung lidahnya dapat buka dan tutup akibat tindak balas daya-daya yang kompleks semasa lidah bergerak keluar masuk daripada nektar.
Rekaan lidah burung madu yang dapat memerangkap cecair dengan sangat efisien menjadi inspirasi bagi para penyelidik untuk menghasilkan rekaan baharu dalam bidang perubatan, robotik, dan lain-lain. Selain itu, rekaan lidah burung madu mungkin dapat membantu penghasilan alat-alat yang mengumpulkan cecair atau tumpahan minyak.
Lihatlah burung madu mengeluarkan lidahnya
Apakah pandangan anda? Adakah rekaan lidah burung madu yang menakjubkan wujud secara kebetulan, atau wujud kerana adanya Pencipta?