Bilakah Akhir Dunia Tiba?
Jawapan Bible
Untuk mengetahui bila akhir dunia tiba, kita perlu memahami bagaimana Bible menggunakan ungkapan “dunia.” Kata Yunani bagi perkataan koʹsmos biasanya diterjemahkan sebagai “dunia.” Perkataan ini sering merujuk kepada umat manusia, terutamanya orang yang tidak melakukan kehendak Tuhan. (Yohanes 15:18, 19; 2 Petrus 2:5) Ada kalanya, perkataan koʹsmos merujuk kepada struktur kehidupan masyarakat manusia, misalnya agama, dunia perniagaan, dan sistem politik.—1 Korintus 7:31; 1 Yohanes 2:15, 16. a
Apakah erti “akhir dunia”?
Ungkapan “akhir dunia” yang digunakan dalam banyak terjemahan Bible juga boleh diterjemahkan sebagai “penghujung sistem.” (Matius 24:3) Ungkapan ini bukan merujuk kepada pembinasaan bumi atau semua umat manusia, tetapi merujuk kepada pembinasaan struktur kehidupan masyarakat manusia.—1 Yohanes 2:17.
Bible mengajarkan bahawa “orang yang jahat akan lenyap,” agar orang yang baik dapat menikmati kehidupan di bumi. (Mazmur 37:9-11) Pembinasaan ini akan berlaku semasa “kesengsaraan besar,” dan akan mencapai kemuncaknya semasa perang Armagedon.—Matius 24:21, 22; Wahyu 16:14, 16.
Bilakah akhir dunia akan tiba?
Yesus berkata, “Tiada seorang pun yang tahu hari atau waktunya, baik malaikat di syurga mahupun Anak. Hanya Bapa yang tahu.” (Matius 24:36, 42) Kemudian, Yesus juga mengatakan bahawa hari itu akan datang secara tiba-tiba, “pada waktu yang tidak kamu jangkakan.”—Matius 24:44.
Walaupun kita tidak tahu hari dan waktunya, Yesus memberitahu kita “tanda” atau peristiwa-peristiwa yang akan berlaku dalam suatu jangka waktu sebelum akhir dunia tiba. (Matius 24:3, 7-14) Dalam Bible, jangka waktu ini disebut “akhir zaman” atau “hari-hari terakhir.”—Daniel 12:4; 2 Timotius 3:1-5.
Semasa akhir dunia, adakah semua umat manusia dan bumi akan dibinasakan?
Tidak. Bumi masih tetap ada kerana Bible berkata, “Bumi tidak akan bergerak dari tempatnya buat selama-lamanya.” (Mazmur 104:5, NW) Bumi juga akan dipenuhi dengan manusia seperti yang dinyatakan dalam Bible, “Orang yang salih akan memiliki negeri ini, dan tinggal di sini selama-lamanya.” (Mazmur 37:29) Selaras dengan tujuan asal Tuhan, Dia akan membawa perubahan-perubahan berikut:
Firdaus.—Yesaya 35:1; Lukas 23:43.
Kedamaian dan kemakmuran.—Mikha 4:4.
Semua orang menikmati pekerjaan yang bermakna dan yang memuaskan.—Yesaya 65:21-23.
Bebas daripada penyakit dan usia tua.—Ayub 33:25; Yesaya 33:24.
a Dalam beberapa terjemahan Bible, kata Yunani bagi ai·onʹ juga diterjemahkan sebagai “dunia.” Maksud bagi perkataan ini sama dengan koʹsmos, yang merujuk kepada struktur kehidupan masyarakat manusia.