Apakah Maksud Nombor-Nombor dalam Bible? Adakah Numerologi Wujud dalam Bible?
Jawapan Bible
Dalam Bible, nombor kadang-kadang digunakan untuk melambangkan sesuatu. Kita harus melihat konteks untuk mengetahui sama ada nombor itu digunakan sebagai lambang atau tidak. Pertimbangkan beberapa contoh berikut tentang nombor-nombor yang digunakan sebagai lambang dalam Bible:
1 Bersatu padu. Contohnya, Yesus berdoa kepada Tuhan agar pengikutnya “menjadi satu.” Dia berkata, “Bapa, sepertimana Engkau bersatu dengan aku dan aku bersatu dengan Engkau, mereka juga bersatu dengan kita.”—Yohanes 17:21; Matius 19:6.
2 Dalam hal perundangan atau kes mahkamah, dua orang saksi diperlukan untuk mengesahkan kebenaran sesuatu perkara. (Ulangan 17:6) Demikian juga, jika sesuatu penglihatan atau nubuat diulangi untuk kali kedua, maksudnya hal itu benar dan dapat dipercayai. Misalnya, semasa Yusuf mentafsirkan mimpi Raja Mesir, dia berkata, “Tuanku bermimpi dua kali kerana Tuhan yang benar sudah menentukan bahawa hal ini pasti berlaku.” (Kejadian 41:32) Dalam nubuat Bible, “dua buah tanduk” melambangkan pakatan dua buah kerajaan, contohnya nabi Daniel menubuatkan tentang Empayar Media dan Persia.—Daniel 8:20, 21; Wahyu 13:11.
3 Sepertimana tiga orang saksi dapat memastikan kesahihan sesuatu perkara, begitu juga pengulangan sesuatu perkara sebanyak tiga kali dapat meneguhkan atau menekankan kebenarannya.—Yehezkiel 21:27; Kisah 10:9-16; Wahyu 4:8; 8:13.
4 Nombor ini boleh melambangkan sesuatu yang mencapai tujuannya secara lengkap. Contohnya, ungkapan “keempat-empat angin bumi” bermaksud meliputi seluruh bumi.—Wahyu 7:1; 21:16; Yesaya 11:12.
6 Oleh sebab nombor tujuh sering melambangkan sesuatu yang lengkap, maka nombor enam melambangkan sesuatu yang tidak lengkap dan tidak sempurna kerana nombor ini kurang satu daripada nombor tujuh. Nombor ini juga berkaitan dengan musuh-musuh Tuhan.—1 Tawarikh 20:6; Daniel 3:1; Wahyu 13:18.
7 Nombor ini digunakan untuk melambangkan sesuatu yang lengkap. Contohnya, Tuhan memerintahkan orang Israel untuk berjalan mengelilingi kota Yerikho selama tujuh hari berturut-turut, dan hanya pada hari ketujuh tersebut, mereka mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali. (Yosua 6:15) Dalam Bible, terdapat contoh-contoh lain tentang penggunaan nombor tujuh yang membawa maksud yang sama. (Imamat 4:6; 25:8; 26:18; Mazmur 119:164; Wahyu 1:20; 13:1; 17:10) Semasa Yesus menasihati Petrus untuk mengampuni saudaranya, dia berkata, “bukan 7 kali tetapi sehingga 77 kali.” Jadi, pengulangan nombor tujuh memberi gambaran tentang sesuatu yang tiada had atau batas.—Matius 18:21, 22.
10 Nombor ini melambangkan keseluruhan sesuatu perkara.—Keluaran 34:28; Lukas 19:13; Wahyu 2:10.
12 Nombor ini nampaknya melambangkan aturan Tuhan yang sempurna dan lengkap. Misalnya, Yohanes mendapat penglihatan tentang kota di syurga yang “mempunyai 12 batu asas, dan pada batu-batu itu tertulis 12 nama, iaitu nama 12 orang rasul.” (Wahyu 21:14; Kejadian 49:28) Penggandaan bagi nombor 12 juga membawa maksud yang sama.—Wahyu 4:4; 7:4-8.
40 Nombor ini berkaitan dengan jangka masa bagi suatu hukuman atau penghakiman.—Kejadian 7:4; Yehezkiel 29:11, 12.
Numerologi dan gematria
Nombor-nombor dalam Bible yang melambangkan sesuatu tidak sama dengan numerologi. Ilmu numerologi merujuk kepada usaha untuk mencari rahsia di sebalik nombor, kombinasi nombor, atau jumlah nombor. Amalan ini berkaitan dengan ilmu sihir. Contohnya, dengan menggunakan satu teknik numerologi yang dikenali sebagai gematria, para Kabalis Yahudi telah menentukan nombor bagi setiap huruf dalam Kitab Ibrani, bagi mentafsir makna kod yang tersembunyi. Numerologi ialah sejenis ilmu ramal dan dikutuk oleh Tuhan.—Ulangan 18:10-12.