Apakah Maksud Sebenar “Mata Ganti Mata”?
Jawapan Bible
Perintah “mata ganti mata” merupakan sebahagian daripada Hukum Tuhan yang diberi kepada bangsa Israel kuno melalui Musa, dan Yesus juga pernah menyebut tentang perintah ini semasa Ceramah Di Atas Gunung. (Matius 5:38; Keluaran 21:24, 25; Ulangan 19:21) Perintah ini bertujuan untuk memastikan bahawa hukuman yang dijatuhkan kepada seorang pesalah setimpal dengan perbuatannya. a
Perintah ini digunakan apabila seseorang mencederakan orang lain dengan sengaja. Hukuman bagi orang tersebut menurut Hukum Musa ialah: “Tulang harus diganti dengan tulang, mata harus diganti dengan mata, dan gigi harus diganti dengan gigi. Ya, apa sahaja yang dilakukan seseorang sehingga mencederakan orang lain, mesti juga dilakukan terhadapnya.”—Imamat 24:20.
Apakah tujuan perintah “mata ganti mata”?
Perintah “mata ganti mata” tidak mengizinkan seseorang untuk membalas dendam. Sebaliknya, perintah ini membantu para hakim yang terlantik untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan pesalah, supaya hukuman tersebut tidak terlalu berat atau terlalu ringan.
Perintah ini juga dapat mencegah seseorang yang berniat jahat daripada mencederakan orang lain secara sengaja. Hukum Tuhan menjelaskan, “Kemudian semua orang akan mendengar hal itu [pelaksanaan hukuman menurut Hukum Tuhan] dan mereka akan menjadi takut. Dengan itu, tiada seorang pun antara mereka yang akan melakukan perkara jahat seperti itu lagi dalam kalangan kamu.”—Ulangan 19:20.
Adakah orang Kristian masih mengamalkan perintah “mata ganti mata”?
Tidak, orang Kristian tidak lagi tertakluk kepada perintah ini. Perintah ini adalah sebahagian daripada Hukum Musa yang sudah dibatalkan setelah Yesus mengorbankan nyawanya.—Roma 10:4.
Meskipun demikian, perintah ini membantu kita memahami fikiran Tuhan. Contohnya, perintah ini menunjukkan bahawa Tuhan mementingkan keadilan. (Mazmur 89:14) Perintah ini juga menyatakan piawaian keadilan Tuhan. Tuhan mendisiplinkan orang yang berbuat salah “dengan saksama.”—Yeremia 30:11.
Tanggapan yang salah tentang perintah “mata ganti mata”
Tanggapan yang salah: Perintah “mata ganti mata” terlalu ekstrem.
Kebenaran: Perintah ini sebenarnya tidak membenarkan hukuman yang kejam dijatuhkan ke atas orang yang bersalah. Sebaliknya, apabila para hakim yang berkelayakan mengikuti perintah ini, mereka akan menyiasat dengan teliti dan mengenalpasti sama ada kesalahan dilakukan dengan sengaja sebelum menjatuhkan hukuman yang sesuai. (Keluaran 21:28-30; Bilangan 35:22-25) Jadi, peraturan “mata ganti mata” dapat mencegah hukuman yang terlalu ekstrem.
Tanggapan yang salah: Perintah “mata ganti mata” menghasilkan lingkaran balas dendam yang tidak berkesudahan.
Kebenaran: Hukum Musa menyatakan, “Jangan balas dendam dan jangan menaruh dendam terhadap orang lain.” (Imamat 19:18) Hukum Tuhan menggalakkan orang untuk percaya kepada Tuhan dan sistem perundangan yang telah ditetapkan-Nya untuk menegakkan keadilan, dan bukannya membalas dendam mengikut cara sendiri.—Ulangan 32:35.
a Prinsip perundangan ini ada kalanya disebut sebagai lex talionis dalam Bahasa Latin, dan sesetengah masyarakat kuno juga mengamalkan prinsip ini dalam sistem perundangan mereka.