Apakah Pandangan Bible tentang Solekan dan Barang Kemas?
Jawapan Bible
Bible tidak mengandungi huraian yang terperinci mengenai topik ini. Meskipun demikian, Bible tidak melarang orang daripada mengenakan solekan, memakai barang kemas, atau perhiasan lain. Sebaliknya, Bible berkata, “Hiaslah batin kamu dengan sikap tenang dan lemah lembut. Itulah perhiasan yang tidak dapat musnah.” Jadi, perkara yang penting bukanlah penampilan luaran sahaja.—1 Petrus 3:3, 4.
Bible tidak melarang seseorang untuk menghiasi diri
Wanita setia pada zaman Bible juga menghiasi diri mereka. Contohnya, Ribka mengahwini anak lelaki Abraham, iaitu Ishak. Dia memakai cincin emas di hidung, gelang emas, dan banyak lagi barang kemas mahal yang diberi oleh bakal bapa mentuanya. (Kejadian 24:22, 29, 30, 53) Ester juga menerima “rawatan kecantikan” sebagai persediaan untuk menjadi calon permaisuri Empayar Persia. (Ester 2:7, 9, 12) Nampaknya, rawatan sebegini menggunakan “kosmetik,” atau “pelbagai jenis solekan.”—New International Version; Easy-to-Read Version.
Bible menggunakan barang kemas dalam sesetengah perumpamaan. Misalnya, seseorang yang memberikan nasihat baik dibandingkan dengan “cincin emas atau barang emas.” (Amsal 25:12) Semasa memperlakukan bangsa Israel, Tuhan menggambarkan diri-Nya sebagai seorang suami yang menghiasi isteri dengan gelang tangan, rantai, dan anting-anting. Perhiasan sebegini digambarkan sebagai ‘kecantikan yang luar biasa.’—Yehezkiel 16:11-13.
Tanggapan yang salah mengenai solekan dan barang kemas
Tanggapan yang salah: Menurut 1 Petrus 3:3 (Alkitab Berita Baik), Bible mengutuk ‘hiasan rambut dan barang kemas.’
Kebenaran: Menurut konteks ayat itu, Bible sedang menyebutkan kecantikan batin yang lebih bernilai berbanding perhiasan atau penampilan yang cantik. (1 Petrus 3:3-6) Dalam ayat-ayat Bible yang lain, perbandingan yang serupa juga digunakan.—1 Samuel 16:7; Amsal 11:22; 31:30; 1 Timotius 2:9, 10.
Tanggapan yang salah: Ratu Izebel menggunakan celak mata atau pembayang mata (eye shadow). Hal ini membuktikan bahawa penggunaan solekan adalah salah.—2 Raja-Raja 9:30.
Kebenaran: Ratu Izebel mengamalkan perbuatan ilmu sihir dan melakukan pembunuhan. Dia dihukum kerana perbuatannya yang jahat, bukan disebabkan penampilannya.—2 Raja-Raja 9:7, 22, 36, 37.