Lompat ke kandungan

Saudara saudari sedang menyediakan bekalan bantuan

8 JUN 2021
COLOMBIA

Bantuan Kemanusiaan Menolong Saudara Saudari di Colombia

Bantuan Kemanusiaan Menolong Saudara Saudari di Colombia

Sejak akhir April 2021, pergolakan sivil tercetus di Colombia. Tiada Saksi-Saksi Yehuwa yang tercedera atau terkorban. Namun, di sesetengah kawasan, bekalan makanan dan bahan api semakin sukar didapati. Saudara saudari kita sedang tabah menghadapi keadaan yang susah ini, termasuk cabaran akibat pandemik COVID-19.

Jawatankuasa Cawangan Colombia telah melantik lima Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) untuk membantu saudara saudari yang dilanda krisis ini. DRC sedang menghulurkan bantuan praktikal sambil mematuhi langkah-langkah keselamatan COVID-19. Saudara saudari tempatan juga saling menolong, terutamanya untuk memperoleh bekalan makanan. Penatua sidang dan penyelia lawatan berganding bahu menggunakan Firman Tuhan untuk menggalakkan para penyiar.

Saudara Almond Winklaar yang membantu salah satu DRC menerangkan, “Kita sedang mengalami situasi yang mencabar. Saya bersyukur kerana Yehuwa segera bertindak untuk memelihara umat-Nya pada waktu yang sengsara ini.”

Saudara saudari kita selepas menerima bekalan makanan

Di Sidang La Loma Arena, 18 penyiar berserta keluarga mereka telah menerima bekalan makanan. Sepasang suami isteri perintis dalam sidang itu berkata, “Hati kami melimpah dengan kegembiraan semasa menerima bekalan daripada Jawatankuasa Bantuan Bencana. Ini ialah jawapan kepada doa kami. Kami amat menghargai keluarga rohani yang telah menyediakan apa yang kami perlukan. Kami bersyukur kepada Yehuwa yang telah menguatkan kami untuk bertabah.”

DRC telah membeli banyak bekalan daripada sebuah pasar raya utama. Para pekerja di situ berasa sangat terkesan dengan usaha bantuan ini. Seorang pekerja berkata, “Saya tahu Saksi-Saksi Yehuwa selalu mengongsi mesej Bible dari rumah ke rumah. Tetapi saya kagum melihat usaha mereka untuk menolong orang yang paling memerlukan bantuan.”

Biarpun berdepan dengan keadaan yang sulit ini, saudara saudari yang dikasihi tetap menyembah Yehuwa. Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus menyediakan keperluan rohani dan fizikal saudara saudari kita yang ‘bukan sebahagian daripada dunia.’—Yohanes 17:16.