14 JUN 2022
FILIPINA
Mubaligh yang Pertama sampai di Filipina 75 Tahun yang Lalu
Pada 14 Jun 1947, sebuah kapal yang membawa tiga orang saudara, iaitu Saudara Lorenzo Alpiche, Earl Stewart, dan Victor White, sampai di Manila. Ketibaan mereka menandakan bermulanya kerja mubaligh di Filipina. Mubaligh keempat, Saudara Nick Skelparick, yang juga merupakan lulusan Sekolah Gilead, menyertai mubaligh lain di Filipina sekitar sebulan kemudian.
Para saudara yang bersemangat ini tidak sabar-sabar untuk memulakan tugas mereka. Pada masa itu, terdapat sekitar 2,400 penyiar di seluruh Filipina. Hanya 11 tahun kemudian, pada tahun 1958, bilangan penyiar bertambah hampir 10 kali ganda kepada lebih daripada 23,000 orang. Hari ini, 75 tahun selepas ketibaan mubaligh yang pertama, ada lebih daripada 230,000 orang Saksi-Saksi Yehuwa di Filipina.
Ketibaan para mubaligh di Filipina tidak berlaku secara kebetulan. Kurang daripada tiga bulan sebelum ketibaan mereka, dari 31 Mac hingga 2 April 1947, sebuah konvensyen yang bersejarah telah diadakan di Manila. Saudara Nathan H. Knorr, iaitu presiden Watch Tower Society pada masa itu, memberitahu hadirin bahawa tidak lama lagi, mubaligh daripada Sekolah Gilead akan dihantar ke Filipina untuk mengaturkan semula kerja penyebaran yang tergendala semasa Perang Dunia Kedua.
Pada hari terakhir konvensyen itu, 151 orang saudara saudari telah dibaptis di Teluk Manila, yang mempunyai kapal yang karam semasa perang. Pada hari yang sama, Saudara Knorr memberikan ceramah umum yang bertajuk, “Sukacita Segala Bangsa” kepada 4,200 orang hadirin. Ceramahnya juga disiarkan melalui radio kepada ribuan pendengar di seluruh Filipina. Saudara Knorr dan Saudara Milton Henschel, yang juga dari ibu pejabat sedunia, memberikan galakan berdasarkan Bible supaya saudara saudari meneruskan kerja penyebaran dengan teratur.
Mengenang kembali kerja penyebaran sejak 75 tahun yang lalu, Saudara Denton Hopkinson, seorang mubaligh yang berkhidmat di Filipina sejak tahun 1954, berkata, “Para mubaligh yang tiba pada tahun 1947 memainkan peranan penting untuk mengaturkan dan mempersiapkan sidang-sidang untuk perkembangan pesat yang bakal menyusul.”
Kita bersyukur kepada Yehuwa, Bapa kita yang di syurga, kerana memberkati usaha gigih hamba-hamba-Nya di Filipina dan di serata dunia.—Yesaya 60:22.