6 NOVEMBER 2023
BERITA GLOBAL
Mengongsi Berita Baik semasa Piala Dunia Wanita FIFA 2023
Pada 20 Julai hingga 20 Ogos 2023, lebih daripada dua juta orang telah menghadiri kejohanan bola sepak Piala Dunia Wanita FIFA. Acara ini telah diadakan di beberapa bandar di Australia dan New Zealand. Kira-kira 1,200 saudara saudari telah menyertai kempen penyebaran istimewa di sembilan bandar yang terletak di kedua-dua negara itu. Sekurang-kurangnya 18 orang telah memohon pembelajaran Bible.
Dua wanita dari India menghampiri rak mudah alih kita di Sydney, Australia. Mereka melihat poster yang menawarkan kursus perbincangan Bible yang percuma lalu bertanya di mana mereka boleh menghadiri kursus itu. Para saudari menjelaskan bahawa biasanya seseorang yang berminat akan belajar dengan seorang Saksi. Kemudian, mereka menjelaskan bahawa permohonan untuk dikunjungi boleh dibuat dengan mengimbas kod QR pada brosur Nikmati Hidup Selama-Lamanya! Kedua-dua wanita itu mengisi permohonan online dengan serta-merta dan pembelajaran Bible telah diaturkan untuk mereka.
Satu pasangan Saksi dari Brisbane, Australia, menawarkan bantuan kepada seorang wanita muda yang nampaknya sesat. Wanita itu sedang mencari lokasi hotelnya, jadi mereka pun membantunya. Wanita itu beritahu bahawa dia berasal dari Papua New Guinea, dan dia sangat teruja apabila mengetahui bahawa pasangan itu juga pernah tinggal di situ. Mereka menikmati perbualan yang menarik dan bertukar maklumat perhubungan. Kemudian, pasangan Saksi itu buat temu janji untuk membawanya bersiar-siar di kawasan bandar. Mereka juga menggunakan peluang ini untuk mengongsi kebenaran Bible dengannya. Selepas wanita itu kembali ke negara asalnya, dia mula belajar Bible dengan para Saksi.
Di Auckland, New Zealand, seorang saudari yang bernama Terina telah memulakan perbualan dengan dua pengawal keselamatan yang berbangsa Punjabi di tempat letak kereta. Tiba-tiba, seorang lagi pengawal datang dan mencelah perbualan mereka. Dia bercakap kepada dua pengawal itu dalam bahasa Punjabi. Terina menyangka bahawa dia marah dengan mereka kerana berbual semasa bekerja. Tapi dia terkejut apabila mendapat tahu bahawa pengawal itu sebenarnya sedang menterjemahkan apa yang dikatakannya. Pengawal itu kata, “Mereka tanya saya apa itu Bible, dan saya beritahu mereka Bible ialah buku daripada Tuhan. Betulkah apa yang saya cakap?” Selepas Terina kata bahawa apa yang dikatakan pengawal itu betul, dia menunjukkan kepada mereka cara untuk memohon pembelajaran Bible dalam bahasa mereka melalui jw.org.
Nicholas, yang berasal dari Colombia, menghampiri rak mudah alih para Saksi di Brisbane, Australia. Dia bertanya tentang perjumpaan Kristian kita. Dia menjelaskan bahawa ibu dan datuk neneknya ialah Saksi-Saksi Yehuwa, dan mereka telah menggalakkannya untuk menghadiri perjumpaan. Jadi, para saudara membuat aturan agar Nicholas dihubungi oleh seorang Saksi dari sidang bahasa Sepanyol. Dalam masa sejam, seorang saudara yang menuturkan bahasa Sepanyol telah menghubunginya. Aturan juga dibuat agar Nicholas dapat menghadiri Konvensyen Serantau “Teruslah Bersabar!” pada hujung minggu tersebut.
Kita sangat bersyukur bahawa saudara saudari kita di Australia dan New Zealand mempunyai peluang untuk “bersinar seperti cahaya” melalui kempen penyebaran istimewa ini.—Filipi 2:15.