Lompat ke kandungan

Saudara Mark Sanderson memberikan ceramah semasa program istimewa di Warsaw, Poland

3 MEI 2022
BERITA GLOBAL

“Utamakan Hubungan Anda dengan Yehuwa”

Program Istimewa yang Menguatkan Saudara Saudari di Ukraine dan Poland

“Utamakan Hubungan Anda dengan Yehuwa”

Pada 26 April 2022, Saudara Mark Sanderson, seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa, tiba di Poland untuk menggalakkan saudara saudari yang mengalami kesan buruk akibat perang di Ukraine.

Saudara-saudara di Poland yang bertugas di Dewan Perhimpunan

Semua sidang di Poland dan Ukraine dijemput untuk mengikuti program istimewa yang diadakan pada 30 April 2022. Di Poland, para pelarian dari Ukraine dan saudara saudari yang memberikan bantuan telah dijemput untuk menghadiri program itu secara bersemuka di Dewan Perhimpunan di Warsaw. Anggaran hadirin di Poland dan Ukraine, termasuk mereka yang hadir menerusi persidangan video, adalah lebih daripada 250,000 orang.

“Saudara saudari di serata dunia berfikir tentang anda dan berdoa untuk anda,” kata Saudara Sanderson. “Di ibu pejabat sedunia, doa diucapkan setiap hari untuk saudara saudari di Rusia dan Ukraine. Doa juga diucapkan untuk anda semasa Badan Pimpinan bermesyuarat.” Dia meyakinkan para hadirin bahawa “kesusahan tidak bermaksud anda kehilangan berkat Yehuwa. Sebaliknya, Dia melihat anda, mengasihi anda, dan akrab dengan umat-Nya yang mengalami kesusahan.”

Saudara saudari dari Mariupol, Ukraine, yang terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka. Mereka sedang menonton program istimewa

Saudara Sanderson menambah, “Teruslah utamakan hubungan anda dengan Yehuwa. Kita bukan sahaja mahu mengharungi masalah kita, tetapi kita juga mahu memupuk iman yang lebih kuat dan menjadi lebih rapat dengan Yehuwa. Itulah yang Yehuwa mahu ajar kita.”

Serhiy, seorang penatua di Odessa, Ukraine, kata, “Selama beberapa minggu yang lalu, saya tidak dapat tidur lena kerana berasa sedih, risau, dan takut. Tetapi [program istimewa ini] meyakinkan saya bahawa Yehuwa bukan sahaja menjaga umat-Nya sebagai satu kumpulan. Dia juga mengambil berat terhadap kita masing-masing.”

Saudari Tatiana, seorang pelarian dari Kyiv, Ukraine, berkata, “Hari ini, saya betul-betul rasa Yehuwa mengasihi saya dan sangat dekat dengan saya. Dia seolah-olah sedang memeluk saya. Tidak kira di mana kita berada, Yehuwa selalu bersama kita.”

Kita amat mengasihi saudara saudari kita, dan kita percaya program istimewa ini telah meyakinkan mereka bahawa kasih setia Yehuwa terhadap umat-Nya kekal abadi.—Mazmur 136:1.