Lompat ke kandungan

Saudari Pushpa Ghimire (kiri) dan Tirtha Maya Ghale (kanan) digari bersama, sejenak sebelum mereka dibebaskan dari penjara di Nepal pada 4 November 2019

15 NOVEMBER 2019
NEPAL

Dua Saksi-Saksi Yehuwa di Nepal Dijatuhkan Hukuman Tanpa Melakukan Kesalahan, Dibebaskan Sementara Menunggu Keputusan Rayuan

Dua Saksi-Saksi Yehuwa di Nepal Dijatuhkan Hukuman Tanpa Melakukan Kesalahan, Dibebaskan Sementara Menunggu Keputusan Rayuan

Pada 4 November 2019, dua saudari iaitu Tirtha Maya Ghale dan Pushpa Ghimire, dibebaskan dari penjara dengan bersyarat, setelah dipenjarakan selama sebulan. Mereka telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan semata-mata kerana mengamalkan kepercayaan mereka, suatu amalan yang sah di sisi undang-undang Nepal mahupun antarabangsa.

Pada setahun yang lalu, Saudari Ghale dan Ghimire telah ditahan kerana bercakap tentang Bible dengan orang yang berminat di tepi jalan. Setelah menghabiskan 13 hari di lokap, saudari kita dibebaskan setelah membayar jaminan yang sangat tinggi, iaitu sebanyak 100,000 rupee Nepal (kira-kira 930 dolar Amerika). Namun, mereka tetap disiasat atas tuduhan melakukan jenayah.

Pada 10 Disember 2018, kes saudari kita mula dibicarakan di mahkamah dan perbicaraan itu berlangsung selama sepuluh bulan. Pada 25 September 2019, Mahkamah Daerah Rupandehi menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan dan denda sebanyak 2,500 rupee Nepal (kira-kira 23 dolar Amerika) ke atas kedua-dua saudari kita.

Hakim Mahkamah tersebut memutuskan bahawa saudari kita bersalah kerana mencuba mengubah agama orang lain, padahal mereka cuma memiliki dan mengedarkan bahan bacaan agama. Nepal merupakan ahli kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan telah menyertai Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, maka kerajaan Nepal bertanggungjawab untuk memastikan bahawa rakyatnya bebas untuk mengubah kepercayaan dan mengamalkannya baik di rumah mahupun di tempat awam. Lagipun, Saudari Ghale dan Ghimire tidak memaksa sesiapa pun untuk mengubah agama. Mereka hanya memberikan bahan bacaan agama kepada sesiapa yang sudi menerimanya. Atas dasar ini, peguam saudari kita telah membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2019. Mahkamah Tinggi memutuskan agar dua saudari ini dibebaskan sementara menunggu keputusan muktamad ke atas rayuan mereka.

Kita berdoa agar Yehuwa terus memberi Saudari Ghale dan Ghimire kuasa suci-Nya, kekuatan, sukacita, dan kedamaian, seraya mereka menantikan keputusan muktamad daripada mahkamah rayuan.—Roma 15:13.