Lompat ke kandungan

Istana Hofburg di Vienna, lokasi bagi Majlis Tetap Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE)

11 OGOS 2020
RUSIA

Amerika dan Eropah Mengutuk Penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia

Amerika dan Eropah Mengutuk Penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia

Pada 23 Julai 2020, sebuah mesyuarat telah diadakan oleh Majlis Tetap Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah a (OSCE). Semasa mesyuarat itu, Amerika Syarikat dan sekitar 30 buah negara Eropah telah mengutuk penganiayaan dan penyeksaan saudara saudari kita di Rusia.

Lane Darnell Bahl, seorang ahli OSCE bahagian Amerika Syarikat, berkata, “Amerika Syarikat dan ramai dalam kalangan kita telah menyuarakan bantahan atas perbuatan Rusia. Kami terima banyak laporan tentang serbuan yang tidak berasas, penyeksaan [para Saksi], dan penahanan serta pemenjaraan mereka. Ada yang bahkan dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun.”

Mereka juga amat bimbang tentang laporan terkini mengenai serbuan pihak berkuasa Rusia terhadap lebih daripada 100 buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa di Voronezh. Lane Darnell Bahl menambah, “Kumpulan agama ini tidak menimbulkan kekacauan. Jadi, kempen besar-besaran yang dilancarkan untuk menganiaya ahli agama ini sangat mengejutkan.”

Nicola Murray, timbalan ketua bagi Wakil United Kingdom (UK), juga menyatakan bahawa “jumlah serbuan besar-besaran dan yang semakin meningkat ini memberi tanggapan bahawa ini ialah kempen yang dirancang untuk menentang Saksi-Saksi Yehuwa.” Dia menyambung, “‘Bukti’ yang digunakan untuk mendakwa mereka sebenarnya merupakan kegiatan yang biasa dilakukan oleh penganut agama.”

Lane Darnell Bahl juga mengutuk pihak berkuasa Voronezh yang mendakwa bahawa para Saksi bersalah kerana “sengaja menyembunyikan maklumat.” Tuduhan pihak berkuasa dibuat kerana Saksi-Saksi Yehuwa menyimpan rekod dan dokumen lain dalam bentuk elektronik, mengatur kumpulan-kumpulan, dan menggunakan persidangan video untuk mengadakan perjumpaan. Lane Darnell Bahl berkata bahawa dakwaan ini “langsung tidak masuk akal dan memalukan.” Dia menyambung, “Saya pun melakukan kegiatan yang sama setiap hari.” Menurutnya, jika perbuatan sedemikian melanggar undang-undang, Wakil Rusia yang sedang menyertai mesyuarat OSCE secara elektronik pun harus “disabitkan bersalah.”

Dalam sebuah pernyataan, 27 negara yang menganggotai Kesatuan Eropah (EU) dan lapan negara yang bukan anggota EU berkata, “Wakil Rusia berulang kali mengatakan di hadapan Majlis Tetap bahawa Saksi-Saksi Yehuwa bebas menjalankan kegiatan agama mereka. Mereka berkata bahawa kebebasan beragama dan berkepercayaan dijamin di Persekutuan Rusia. Walaupun demikian, kami terus mendapat laporan tentang serbuan, penahanan, dan siasatan jenayah terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. Perbuatan ini amat bercanggah dengan pernyataan Wakil Rusia.”

Wakil EU juga berkata, “Hak asasi semua orang, termasuk Saksi-Saksi Yehuwa, harus dilindungi. Ini merangkumi kebebasan untuk bersuara, berkumpul, mengadakan perhimpunan secara aman, dan beragama serta berkepercayaan, tanpa diskriminasi. Hak ini dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Rusia [dan] adalah selaras dengan kewajipan Rusia terhadap OSCE. Bukan itu saja, ini sebahagian daripada tuntutan undang-undang antarabangsa.”

Pada akhir pernyataannya, Nicola Murray menuntut agar Rusia berhenti menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa.

Lane Darnell Bahl pula meminta Rusia untuk: (1) hentikan siasatan jenayah terhadap Saksi-Saksi Yehuwa, (2) kembalikan hak milik ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia, dan (3) bebaskan semua Saksi yang dipenjarakan dengan serta-merta.

Ini bukanlah kali pertama organisasi antarabangsa mengutuk Rusia kerana menganiaya saudara saudari kita. Sememangnya, perbuatan Rusia telah mendapat perhatian daripada pihak antarabangsa. Kita yakin Yehuwa mengetahui segala yang dilalui oleh saudara saudari di Rusia. (Mazmur 37:18) Bapa kita yang pengasih akan terus memberkati kesetiaan, keberanian, dan ketabahan saudara saudari kita.—Mazmur 37:5, 28, 34.

a Salah satu tujuan OSCE adalah untuk melindungi hak asasi manusia. Majlis Tetap bertanggungjawab untuk membuat kebanyakan keputusan bagi OSCE.