Dua Raja-Raja 25:1-30

  • Nebukadnezar mengepung Yerusalem (1-7)

  • Yerusalem dan Rumah Tuhan dimusnahkan; kali kedua tawanan dibawa ke Babilon (8-21)

  • Gedalia dilantik sebagai gabenor (22-24)

  • Gedalia dibunuh; orang melarikan diri ke Mesir (25, 26)

  • Yehoyakhin dibebaskan (27-30)

25  Pada hari ke-10, bulan ke-10, tahun kesembilan pemerintahan Raja Zedekia, Raja Nebukadnezar+ dari Babilon dan seluruh angkatan tenteranya menyerang Yerusalem.+ Mereka mendirikan khemah di sekeliling kota itu dan membina tembok untuk mengepungnya.+ 2  Kota itu dikepung sehingga tahun ke-11 pemerintahan Raja Zedekia. 3  Pada hari kesembilan, bulan keempat tahun itu, kebuluran menjadi begitu teruk+ sehingga penduduk di dalam kota itu tidak mempunyai makanan lagi.+ 4  Tembok kota ditembusi musuh,+ dan semua askar melarikan diri pada malam hari ketika orang Kasdim sedang mengepung kota itu. Askar-askar itu keluar melalui pintu gerbang di antara dua tembok yang berdekatan taman di istana, lalu raja mengambil jalan yang menuju ke Araba.+ 5  Tetapi raja dikejar oleh tentera Kasdim, dan mereka menangkapnya di padang gurun di Yerikho. Semua askarnya melarikan diri dan meninggalkannya. 6  Selepas mereka menangkap Zedekia,+ mereka membawanya kepada raja Babilon di Ribla untuk diadili. 7  Mereka membunuh anak-anak lelaki Zedekia di depan matanya. Setelah itu, Nebukadnezar membutakan mata Zedekia dan mengikatnya dengan rantai tembaga lalu membawanya ke Babilon.+ 8  Pada hari ketujuh, bulan kelima, tahun ke-19 pemerintahan Raja Nebukadnezar dari Babilon, seorang pegawainya yang bernama Nebuzaradan,+ iaitu ketua pengawal istana, datang ke Yerusalem.+ 9  Nebuzaradan membakar Rumah Yehuwa,+ istana,+ dan semua rumah di Yerusalem.+ Dia juga membakar rumah setiap orang yang terkemuka di kota itu.+ 10  Tembok yang mengelilingi Yerusalem dirobohkan oleh seluruh angkatan tentera Kasdim yang ada bersama ketua pengawal istana itu.+ 11  Nebuzaradan, ketua pengawal istana itu, menawan rakyat yang masih tinggal di kota Yerusalem, orang yang telah membelot dan memihak kepada raja Babilon, dan penduduk yang lain.+ 12  Tetapi dia meninggalkan penduduk yang paling miskin di situ supaya mereka dapat bekerja di ladang anggur dan menjadi buruh paksa.+ 13  Orang Kasdim menghancurkan tiang-tiang tembaga+ di Rumah Yehuwa dan pedati-pedati+ serta Laut Tembaga+ di Rumah Yehuwa. Lalu mereka membawa semua tembaga itu ke Babilon.+ 14  Mereka juga mengambil baldi, penyodok, alat pemadam sumbu pelita, cawan, dan semua perkakas tembaga yang digunakan di dalam Rumah Tuhan. 15  Ketua pengawal istana itu mengambil bekas perbaraan dan mangkuk-mangkuk yang diperbuat daripada emas+ dan perak tulen.+ 16  Tembaga yang digunakan oleh Salomo untuk membina dua batang tiang, Laut Tembaga, dan pedati-pedati di Rumah Yehuwa, begitu banyak sehingga tidak dapat ditimbang.+ 17  Setiap tiang berukuran 18 hasta* tinggi,+ dan kepala tiang yang diletakkan di atasnya diperbuat daripada tembaga. Kepala tiang itu berukuran tiga hasta tinggi, dan rangkaian rantai serta buah delima yang mengelilingi kepala tiang itu juga diperbuat daripada tembaga.+ Tiang yang kedua dan rangkaian rantainya sama seperti tiang yang pertama. 18  Ketua pengawal istana itu menangkap Serayah+ yang bertugas sebagai ketua imam, dan Zefanya,+ iaitu imam yang menjadi penolongnya, serta tiga orang penjaga pintu.+ 19  Dari kota itu, dia juga menangkap seorang pegawai istana yang mengetuai pasukan tentera, lima orang penasihat peribadi raja, seorang setiausaha ketua tentera yang mengumpulkan pasukan tentera, dan 60 orang rakyat biasa. 20  Nebuzaradan+ membawa mereka ke Ribla+ untuk menghadap raja Babilon. 21  Raja Babilon membunuh mereka semua. Mereka dihukum mati di Ribla yang terletak di tanah Hamat.+ Demikianlah orang Yehuda dibuang negeri.+ 22  Raja Nebukadnezar dari Babilon melantik Gedalia+ anak Ahikam,+ cucu Safan,+ menjadi gabenor untuk memimpin orang yang masih tinggal di Yehuda.+ 23  Apabila semua ketua tentera dan askar-askar mereka mendengar bahawa raja Babilon telah melantik Gedalia, mereka segera pergi ke Mizpa untuk berjumpa dengannya. Ketua-ketua itu ialah Ismael anak Netania, Yohanan anak Kareah, Serayah anak Tanhumet dari Netofa, dan Yazania, anak kepada seorang lelaki dari Maakha.+ 24  Gedalia bersumpah kepada mereka dan askar-askar mereka. Dia berkata, “Janganlah takut untuk menjadi hamba kepada orang Kasdim. Tinggallah di Yehuda dan taatilah raja Babilon. Maka kamu akan selamat.”+ 25  Pada bulan ketujuh, seorang kerabat diraja yang bernama Ismael+ anak Netania, cucu Elisama, pergi ke Mizpa bersama 10 orang yang lain untuk membunuh Gedalia. Mereka juga membunuh orang Yahudi dan orang Kasdim yang ada bersama Gedalia.+ 26  Selepas itu, semua rakyat, baik yang muda mahupun yang tua, termasuk ketua-ketua tentera, melarikan diri ke Mesir+ kerana mereka takut kepada orang Kasdim.+ 27  Selepas Ewil-merodakh menjadi raja Babilon, dia membebaskan Raja Yehoyakhin dari penjara.+ Hal ini berlaku pada hari ke-27, bulan ke-12, tahun ke-37 setelah Raja Yehoyakhin+ ditawan dari Yehuda. 28  Ewil-merodakh memperlakukan Yehoyakhin dengan baik dan memberinya kedudukan yang lebih tinggi daripada raja-raja lain yang ada bersamanya di Babilon. 29  Maka Yehoyakhin tidak lagi memakai pakaian penjara dan dia selalu makan di meja raja seumur hidupnya. 30  Sepanjang hidup Yehoyakhin, keperluan makanannya dijaga oleh raja setiap hari.

Nota Kaki