Ayub 1:1-22
1 Di tanah Uz, terdapat seorang lelaki yang bernama Ayub.*+ Dia seorang yang setia dan tulus hati.+ Dia takut akan Tuhan dan menjauhi kejahatan.+
2 Dia mempunyai tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan.
3 Dia juga memiliki 7,000 ekor bebiri, 3,000 ekor unta, 1,000 ekor lembu, dan 500 ekor keldai. Selain itu, dia mempunyai banyak hamba. Ayub merupakan orang yang terhormat dalam kalangan penduduk di daerah Timur.
4 Setiap anak lelakinya akan mengadakan jamuan di rumah masing-masing secara bergilir. Mereka akan menjemput tiga orang adik perempuan* mereka untuk makan dan minum bersama-sama.
5 Selepas jamuan-jamuan itu diadakan, Ayub akan memanggil anak-anaknya agar dia dapat menyucikan mereka. Dia akan bangun awal pagi untuk mempersembahkan korban bakar+ bagi setiap anaknya. Itulah yang selalu dilakukan oleh Ayub kerana dia berkata, “Mungkin anak-anakku telah berdosa dan mengutuk Tuhan dalam hati mereka.”+
6 Pada suatu hari, malaikat-malaikat*+ menghadap Yehuwa,+ dan Syaitan*+ juga turut hadir.+
7 Yehuwa bertanya kepada Syaitan, “Dari manakah engkau datang?” Syaitan berkata kepada Yehuwa, “Aku telah mengembara ke sana sini dan menjelajahi seluruh bumi.”+
8 Yehuwa berfirman kepada Syaitan, “Adakah engkau memperhatikan hamba-Ku Ayub? Tiada seorang pun yang seperti dia di bumi. Dia setia dan tulus hati.+ Dia takut kepada-Ku dan menjauhi kejahatan.”
9 Lalu Syaitan berkata kepada Yehuwa, “Adakah Ayub akan menyembah Engkau jika dia tidak mendapat sesuatu daripada-Mu?+
10 Bukankah Engkau selalu melindunginya+ dan keluarganya serta segala miliknya? Engkau memberkati segala usahanya,+ dan ternakannya juga bertambah banyak di seluruh negeri.
11 Tetapi jika Engkau menghulurkan tangan-Mu dan mengambil segala miliknya, dia pasti akan mengutuk Engkau secara terang-terang.”
12 Maka Yehuwa berfirman kepada Syaitan, “Engkau boleh melakukan apa sahaja dengan segala miliknya. Tetapi engkau tidak boleh mencederakan Ayub.” Lalu Syaitan beredar dari hadapan Yehuwa.+
13 Pada suatu hari, anak-anak Ayub mengadakan jamuan* di rumah abang sulung mereka.+
14 Pada masa itu, seorang hamba datang kepada Ayub dan berkata, “Kawanan lembu sedang membajak dan kawanan keldai sedang meragut rumput di kawasan yang berdekatan.
15 Tiba-tiba, orang Syeba menyerang kami dan merampas semua binatang itu! Mereka juga membunuh hamba-hamba yang lain! Hanya saya seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.”
16 Sementara hamba itu masih bercakap, seorang lagi hamba datang lalu berkata, “Api daripada Tuhan* turun dari langit lalu membakar habis semua bebiri dan gembala! Hanya saya seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.”
17 Sementara hamba itu masih bercakap, seorang hamba yang lain datang lalu berkata, “Tiga pasukan orang Kasdim+ menyerang kami dan merampas unta-unta kami! Mereka juga membunuh hamba-hamba yang lain! Hanya saya seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.”
18 Sementara hamba itu masih bercakap, seorang lagi hamba datang lalu berkata, “Anak-anak tuan sedang mengadakan jamuan di rumah abang sulung mereka.
19 Tiba-tiba, angin yang kencang bertiup dari padang belantara lalu merobohkan rumah itu! Semua anak tuan terbunuh! Hanya saya seorang yang dapat melarikan diri untuk memberitahu tuan.”
20 Maka Ayub berdiri dan mengoyakkan jubahnya. Dia mencukur rambutnya lalu bersujud ke tanah.
21 Ayub berkata,
“Aku dilahirkan tanpa apa-apa,Dan aku akan mati tanpa apa-apa juga.+
Yehuwa telah memberi,+ dan Yehuwa juga telah mengambil semula.
Biarlah nama Yehuwa terus dipuji!”
22 Walaupun semua hal tersebut menimpa Ayub, dia tidak berdosa atau menyalahkan Tuhan.
Nota Kaki
^ Mungkin bermaksud “Sasaran Kebencian.”
^ Atau mungkin, “kakak.” Perkataan Ibrani yang digunakan boleh merujuk kepada adik perempuan atau kakak.
^ Atau “Si Penentang.”
^ Harfiah, “anak-anak Tuhan.”
^ Harfiah, “makan dan minum wain.”
^ Atau mungkin, “Kilat.”