A1
Prinsip-Prinsip Menterjemah Bible
Bible yang asal ditulis dalam bahasa kuno seperti bahasa Ibrani, Aram, dan Yunani, yang tidak difahami kebanyakan orang zaman sekarang. Maka, seluruh Bible atau sebahagian daripadanya telah diterjemahkan dan diterbitkan dalam lebih daripada 3,000 bahasa. Apakah prinsip-prinsip yang harus membimbing para penterjemah Bible? Bagaimanakah prinsip-prinsip ini mempengaruhi penterjemahan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu?
Ada orang berfikir bahawa terjemahan kata demi kata adalah terbaik kerana maknanya lebih dekat dengan teks asal. Tetapi anggapan ini tidak selalunya betul. Mari kita pertimbangkan beberapa sebab:
-
Tidak ada dua bahasa yang mempunyai tatabahasa, kosa kata, dan struktur ayat yang sama sepenuhnya. Seorang profesor bahasa Ibrani, S. R. Driver, menulis bahawa setiap bahasa “bukan sahaja mempunyai tatabahasa dan asal usul tersendiri, malah . . . memerlukan susunan idea tersendiri untuk membina ayat.” Bahasa yang berbeza menyampaikan idea dalam cara yang berbeza. Maka profesor itu menyimpulkan, “Setiap bahasa mempunyai struktur ayat yang berbeza.”
-
Tiada bahasa moden yang mempunyai tatabahasa dan kosa kata yang sama sepenuhnya dengan bahasa-bahasa asal Bible. Maka, terjemahan kata demi kata mungkin membawa maksud yang tidak jelas bahkan yang salah.
-
Satu perkataan atau ungkapan boleh membawa maksud yang berbeza-beza mengikut konteks.
Dalam sesetengah keadaan, teks asal dapat diterjemahkan secara harfiah, tetapi harus dilakukan dengan cermat dan teliti.
Berikut ialah contoh masalah yang mungkin timbul sekiranya terjemahan kata demi kata dilakukan:
-
Dalam Bible, perkataan “tidur” boleh membawa maksud (1) Tidur secara harfiah, dan (2) kematian. (Matius 28:13; Kisah 7:60) Untuk mengelakkan kekeliruan, ungkapan “tidur dalam kematian” digunakan apabila sesuai dengan maksud konteksnya.—1 Korintus 7:39; 1 Tesalonika 4:13; 2 Petrus 3:4.
-
Di Efesus 4:14, Rasul Paulus menggunakan peribahasa kuno “bermain dadu manusia” untuk merujuk kepada amalan menggunakan dadu untuk menipu orang. Kebanyakan pembaca tidak memahami peribahasa itu, maka ungkapan “orang licik” digunakan supaya maksudnya lebih jelas.
-
Di Roma 12:11, ungkapan “menyemarakkan semangat” telah digunakan untuk menyampaikan maksud ungkapan asal “semangat yang mendidih.”
-
Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus menggunakan satu ungkapan yang secara harfiah berbunyi, “Berbahagialah orang yang miskin dalam roh.” (Matius 5:3, Modified Indonesian Literal Translation) Dalam sesetengah bahasa, ungkapan itu menggambarkan orang yang ada masalah mental, lemah semangat, atau kurang yakin. Namun, dalam ayat itu, Yesus sedang mengajar pendengarnya bahawa jika mereka ingin bahagia, mereka perlu sedar akan keperluan untuk dibimbing Tuhan dan bukannya mengejar keperluan fizikal. (Lukas 6:20) Maka, untuk menyampaikan maksud sebenar Yesus, ungkapan seperti “orang yang sedar akan keperluan rohani mereka” atau ‘orang yang sedar bahawa mereka memerlukan Tuhan’ digunakan.—Matius 5:3, Alkitab Berita Baik.
-
Sering kali, perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “cemburu” berkaitan dengan perasaan marah yang timbul apabila teman tidak setia, atau perasaan iri hati terhadap orang lain. (Amsal 6:34; Yesaya 11:13) Namun, perkataan Ibrani yang sama juga ada maksud positif. Contohnya, perkataan itu diterjemahkan sebagai “semangat yang membara,” untuk menggambarkan cara Yehuwa mengasihi dan melindungi umat-Nya, atau merujuk kepada tuntutan agar umat-Nya menyembah-Nya sahaja. (2 Raja-Raja 19:31; Keluaran 34:14; Yehezkiel 5:13; Zakharia 8:2) Perkataan ini juga boleh diterjemahkan sebagai ‘semangat berkobar-kobar’ yang diperlihatkan oleh hamba-hamba Tuhan yang setia dan tekad mereka untuk ‘tidak menyembah tuhan lain.’—Mazmur 69:9; 119:139; Bilangan 25:11.
-
Perkataan Ibrani yang biasanya bermaksud “tangan” juga bermaksud “kuasa,” ‘kekuasaan,’ atau “murah hati.” (Ulangan 32:27; 2 Samuel 8:3; 1 Raja-Raja 10:13) Dalam Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu bahasa Inggeris, lebih daripada 40 ungkapan digunakan untuk menterjemahkan perkataan itu mengikut konteks.
Jelaslah, penterjemah Bible tidak boleh sekadar menggantikan satu istilah bahasa asal dengan satu istilah moden. Mereka perlu menggunakan daya penilaian yang baik agar dapat memilih kata-kata yang paling tepat untuk mengungkapkan makna teks asal. Selain itu, mereka perlu memastikan teks yang diterjemahkan itu mematuhi hukum tatabahasa supaya mudah dibaca.
Namun, penterjemah tidak boleh mengubah teks dengan sewenang-wenangnya menurut tafsiran sendiri. Jika tidak, mereka mungkin memasukkan pendapat peribadi atau menggugurkan butiran penting yang terdapat dalam teks asal. Oleh itu, meskipun Bible terjemahan bebas (parafrasa) mudah dibaca, maksud sebenar teks asal ada kalanya tidak dapat disampaikan dengan tepat.
Seorang penterjemah juga mungkin dipengaruhi fahaman agama sendiri. Contohnya, Matius 7:13 menyatakan, “Jalan yang luas menuju kebinasaan.” Namun, akibat fahaman agama sendiri, sesetengah penterjemah menggunakan istilah “neraka” untuk menterjemahkan perkataan Yunani yang sebenarnya bermaksud “kebinasaan.”
Seorang penterjemah juga perlu sedar bahawa Bible ditulis dalam bahasa harian yang digunakan oleh orang biasa, seperti pekebun, gembala, dan nelayan. (Nehemia 8:8, 12; Kisah 4:13) Maka terjemahan Bible yang baik haruslah senang difahami oleh orang yang tulus hati, tidak kira latar belakang mereka. Perkataan yang jelas, biasa digunakan, dan senang difahami, lebih baik daripada perkataan yang jarang digunakan.
Lampiran A4.) Mereka menggantikan nama ini dengan gelaran seperti “TUHAN,” bahkan ada yang menyembunyikan hakikat bahawa Tuhan mempunyai nama. Contohnya, ada Bible yang menterjemahkan doa Yesus di Yohanes 17:26 dan Yohanes 17:6 seperti berikut: “Aku sudah menunjukkan Engkau kepada mereka” dan “Aku sudah menunjukkan Engkau kepada semua orang.” Tetapi, terjemahan tepat bagi doa Yesus seharusnya menyatakan, “Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada mereka” dan “Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada orang dari dunia ini.”
Banyak penterjemah telah mengeluarkan nama Tuhan, iaitu Yehuwa, daripada terjemahan Bible yang moden meskipun nama ini ditemui dalam manuskrip kuno Bible. (LihatBerikut merupakan kata-kata pendahuluan edisi pertama Terjemahan Dunia Baharu bahasa Inggeris: “Kami tidak menterjemahkan Ayat-Ayat Suci secara parafrasa. Kami berusaha untuk menterjemahkan Bible secara harfiah, tetapi pada masa yang sama, kami juga mengambil kira keperluan bahasa Inggeris. Kami akan menterjemahkan teks Bible secara harfiah jika terjemahan itu dapat menyampaikan maksud asal dengan tepat dan jelas kepada para pembaca.” Oleh itu, Jawatankuasa Terjemahan Bible Dunia Baharu mencuba menggunakan perkataan dan ungkapan yang mencerminkan teks asal, tetapi pada masa yang sama, mereka menghindari perkataan atau ungkapan yang pelik dan tidak jelas. Hasilnya, para pembaca bukan sahaja dapat menikmati pembacaan Bible mereka, malah mereka dapat yakin dengan sepenuhnya bahawa firman Tuhan telah disampaikan dengan tepat.—1 Tesalonika 2:13.