Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimanakah Saya Dapat Melawan Tabiat Melancap?

Bagaimanakah Saya Dapat Melawan Tabiat Melancap?

BAB 25

Bagaimanakah Saya Dapat Melawan Tabiat Melancap?

“Sejak umur lapan tahun saya sudah mula melancap. Pada kemudian hari, baru saya belajar pandangan Tuhan tentang perbuatan ini. Saya cuba melawannya tapi saya tidak selalu berjaya. Itu buat saya rasa sangat bersalah. Saya tanya diri, ‘Mana mungkin Tuhan mengasihi orang macam saya?’”​Luiz.

KETIKA akil baligh, keinginan seks sangat kuat. Akibatnya, banyak remaja mula terjebak dalam tabiat melancap. * Mereka rasa itu bukan masalah besar. Lagipun ada yang berfikir, “Saya tidak menyakiti sesiapa.” Tetapi Bible menjelaskan mengapa kita patut menjauhi tabiat ini. Rasul Paulus menulis, “Matikanlah keinginan dalam anggota tubuh kamu sehubungan dengan . . . hawa nafsu yang tidak terkawal.” (Kolose 3:5) Tabiat melancap tidak mematikan keinginan seksual, sebaliknya membangkitkannya. Selain itu, perhatikan kesan negatif tabiat ini:

● Melancap menggalakkan seseorang untuk mementingkan diri. Dia hanya berfikir untuk memuaskan keinginan seks sendiri.

● Tabiat melancap menyebabkan seseorang memandang orang lain hanya sebagai alat atau objek untuk mencapai kepuasan seks.

● Oleh sebab orang yang melancap cenderung untuk berfikir tentang diri sendiri, hal ini menjejaskan hubungan intimnya dengan pasangan hidup.

Maka, janganlah melancap untuk memuaskan nafsu seks. Sebaliknya berusahalah untuk memupuk kawalan diri. (1 Tesalonika 4:4, 5) Ikutlah nasihat Bible untuk menjauhi situasi yang mungkin membangkitkan nafsu seks. (Amsal 5:8, 9) Bagaimana pula jika kamu sudah lama melancap dan tidak berjaya membuang tabiat ini? Kamu mungkin rasa tawar hati dan ingin putus asa. Itulah perasaan seorang budak yang bernama Pedro. Dia berkata, “Saya rasa sakit hati apabila saya gagal melawan keinginan saya.” Dia menyambung, “Saya rasa Tuhan tidak mungkin mengampuni saya. Ini buat saya susah berdoa kepada-Nya.”

Adakah itu perasaan kamu? Jika ya, janganlah putus asa. Banyak orang telah berjaya membuang tabiat buruk ini, dan kamu juga dapat melakukannya!

Menangani Rasa Bersalah

Sebenarnya, perasaan bersalah kerana tabiat melancap merupakan sesuatu yang baik. Mengapa? Bible kata bahawa “kesedihan kamu yang selaras dengan kehendak Tuhan” dapat menguatkan tekad kamu untuk mengatasi tabiat buruk ini. (2 Korintus 7:11) Tetapi perasaan bersalah yang keterlaluan dapat melemahkan semangat kamu dan buat kamu ingin menyerah kalah.​—Amsal 24:10.

Jadi pupuklah pandangan yang betul. Melancap ialah perbuatan yang najis dan dapat membuat kamu mementingkan diri dan “diperhamba oleh berbagai-bagai keinginan dan nafsu.” (Titus 3:3) Pada masa yang sama, melancap tidak tergolong dalam perbuatan seks yang tidak bermoral atau perbuatan cabul. (Yudas 7) Maksudnya, jika kamu ada tabiat melancap, kamu masih dapat diampuni jika kamu berusaha melawannya dan tidak putus asa.

Sekiranya kamu sudah berusaha tetapi masih gagal, kamu mungkin rasa malu dan kecewa. Tapi selagi kamu berusaha, Tuhan tidak akan memandang kamu sebagai orang jahat. Jadi bertekadlah untuk terus melawannya. Cuba fikir apa yang telah membangkitkan nafsu kamu dan bagaimana kamu dapat mengelakkannya lain kali.

Luangkanlah masa untuk merenungkan kasih Tuhan dan belas kasihan-Nya. Raja Daud yang juga pernah menyerah kepada keinginan sendiri berkata, “Seperti seorang bapa yang berbelas kasihan terhadap anak-anaknya, begitulah Yehuwa berbelas kasihan terhadap orang yang takut kepada-Nya. Dia tahu benar bagaimana kita dibentuk. Dia ingat bahawa kita ini debu.” (Mazmur 103:13, 14) Ya, Yehuwa ingat bahawa kita tidak sempurna dan Dia rela mengampuni kita. (Mazmur 86:5) Tetapi jangan lupa, Dia masih mahu kamu berusaha sedaya upaya untuk melawan kelemahan kamu. Apakah langkah-langkah yang dapat kamu ambil untuk mengatasi tabiat buruk ini?

Fikir tentang hiburan kamu. Adakah kamu melihat wayang, program TV, atau laman web yang merangsang nafsu? Penulis mazmur berdoa kepada Tuhan, “Palingkanlah pandanganku daripada perkara yang sia-sia.”​—Mazmur 119:37.

Paksa diri untuk fikirkan hal lain. William berkata, “Sebelum tidur, bacalah sesuatu yang berkaitan dengan hal rohani. Ini sangat penting untuk membantu alihkan fikiran kamu daripada hal yang salah.”​—Filipi 4:8.

Bercakap kepada orang lain dan dapatkan bantuan mereka. Kamu mungkin rasa malu untuk bercakap tentang hal ini. Tetapi ini merupakan langkah yang penting untuk membantu kamu mengatasi tabiat melancap. Seorang lelaki bernama David kata, “Saya memberitahu masalah saya kepada bapa saya.” Dia menyambung, “Saya masih ingat apa yang dia kata. Dia dengan lembut memberitahu saya, ‘Saya sangat bangga terhadap kamu.’ Dia faham pergelutan saya dan hal itu menguatkan semangat dan tekad saya untuk melawan tabiat buruk saya.”

“Kemudian, bapa tunjuk saya beberapa ayat Bible untuk menggalakkan saya. Dia meyakinkan saya bahawa saya dapat berubah dan meninggalkan tabiat yang buruk itu. Pada masa yang sama, dia juga menunjukkan betapa serius perbuatan saya. Bapa galakkan saya untuk melawan tabiat itu buat suatu tempoh waktu. Jika saya tergoda dan melakukannya lagi, dia ingatkan saya agar tidak tawar hati. Sebaliknya, saya boleh terus berusaha menghindari tabiat itu untuk jangka masa yang lebih lama. Dia juga berjanji untuk bincang hal ini dengan saya pada masa yang lain.” Daripada pengalaman ini, David menyimpulkan, “Saya mendapat manfaat yang besar kerana meluahkan masalah saya kepada seseorang.”

[Nota kaki]

^ per. 4 Melancap tidak sama dengan keadaan apabila seseorang terangsang secara seksual tanpa sengaja. Contohnya, seorang remaja lelaki mungkin mengalami mimpi yang mengghairahkan sehingga mengeluarkan air mani. Gadis remaja pula mungkin terangsang secara seksual, terutamanya sejurus sebelum atau selepas datang haid. Tetapi, tabiat melancap adalah apabila seseorang sengaja membangkitkan nafsu sendiri.

AYAT KUNCI

“Jauhkanlah diri daripada nafsu orang muda. Sebaliknya berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk memupuk kebaikan, iman, kasih, dan kedamaian, bersama dengan mereka yang berseru kepada Tuan dengan hati yang bersih.”​—2 Timotius 2:22.

TIP

Doa bersungguh-sungguh sebelum keinginan yang salah menjadi kuat. Minta Yehuwa untuk memberi kamu “kuasa luar biasa” untuk melawan godaan.​—2 Korintus 4:7.

TAHUKAH KAMU . . . ?

Adalah mudah untuk menyerah kepada keinginan seks. Tetapi, hanya lelaki dan wanita sejati dapat mengawal diri, terutamanya semasa bersendirian.

RANCANGANKU

Saya dapat menumpukan fikiran saya kepada perkara yang bersih jika saya ․․․․․

Daripada menyerah kepada godaan, saya akan ․․․․․

Tentang topik ini, saya ingin tanya ibu bapa saya ․․․․․

APAKAH PENDAPAT KAMU?

● Mengapakah penting untuk ingat bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang “suka mengampuni”?​—Mazmur 86:5.

● Walaupun Tuhan telah memberi kamu keinginan seksual, Dia mahu kamu memupuk kawalan diri. Hal ini menunjukkan Dia yakin kamu dapat melakukan apa?

[Petikan pada muka surat 182]

“Hati nurani saya bersih sejak saya berjaya mengatasi masalah ini. Saya tahu Yehuwa gembira dengan saya dan itulah hal yang terpenting bagi saya.”​—Sarah

[Gambar pada muka surat 180]

Jika seorang pelari terjatuh semasa perlumbaan, dia masih boleh bangun dan teruskan perlumbaannya. Begitu juga, jika kamu tergoda lalu menyerah kepada tabiat lama, usaha kamu tidak sia-sia. Kamu masih dapat teruskan perjuangan untuk melawannya