Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB EMPAT

Cara Menguruskan Sebuah Rumah Tangga

Cara Menguruskan Sebuah Rumah Tangga

1. Dewasa ini, mengapakah sukar untuk menguruskan sebuah rumah tangga?

HARI berlalu, musim berganti. Kehidupan keluarga dewasa ini sedang dilanda arus perubahan. Tradisi atau kebiasaan yang diterima 40 atau 50 tahun dahulu tidak laku lagi. Akibatnya, banyak cabaran timbul dalam hal menguruskan rumah tangga. Namun, anda dapat mengatasi cabaran-cabaran itu jika anda mengikut nasihat Bible.

BERBELANJA MENGIKUT KEMAMPUAN

2. Jelaskan keadaan ekonomi hari ini yang menyebabkan tekanan dalam keluarga.

2 Hari ini ramai orang tidak lagi berpuas hati dengan kehidupan sederhana yang berpusat pada keluarga. Dunia perdagangan berlumba-lumba menghasilkan dan mengiklankan pelbagai produk untuk mengumpan masyarakat. Akibatnya, jutaan ibu bapa menghabiskan banyak masa bekerja agar dapat membeli barangan tersebut. Jutaan orang lain kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka perlu bekerja lebih masa, atau memegang dua kerja yang berlainan, semata-mata untuk menampung keperluan hidup. Ada pula yang menerima apa sahaja kerja yang ditawarkan kerana susah mendapat kerja. Ya, kehidupan keluarga hari ini bukanlah seperti yang diidamkan, tetapi prinsip Bible boleh membantu kita.

3. Apakah prinsip yang dinyatakan oleh Paulus? Bagaimanakah prinsip ini dapat membantu kita menguruskan rumah tangga dengan berjaya?

3 Rasul Paulus pernah menghadapi tekanan ekonomi. Semasa menangani masalah ini, dia mempelajari sesuatu yang dikongsi dengan kawannya, Timotius. Dia menulis, “Adakah kita membawa sesuatu ke dalam dunia ini? Tidak! Dapatkah kita membawa sesuatu ke luar dunia ini? Tidak! Oleh itu, cukuplah jika kita mempunyai pakaian dan makanan.” (1 Timotius 6:7, 8, ABB) Memang, selain pakaian dan makanan, sebuah keluarga juga memerlukan tempat tinggal. Anak-anak memerlukan pendidikan. Dan kos perubatan serta perbelanjaan lain harus ditanggung. Namun, prinsip di sebalik kata-kata Paulus boleh diterapkan. Jika kita berpuas hati dengan keperluan hidup dan tidak hanya menurut kemahuan, hidup kita akan menjadi lebih senang.

4, 5. Bagaimanakah perancangan awal membantu suami isteri mengurus rumah tangga?

4 Satu lagi prinsip terkandung dalam sebuah perumpamaan Yesus. Katanya, “Jika seorang daripada kamu hendak membina sebuah menara, dia akan duduk dahulu lalu mengira perbelanjaannya, supaya dia tahu sama ada wangnya cukup untuk menyudahkan pekerjaan itu.” (Lukas 14:28, ABB) Di sini, Yesus menggalakkan perancangan awal. Di Bab 2 buku ini, kita belajar bagaimana nasihat ini dapat membantu pasangan muda yang ingin berkahwin. Setelah berkahwin, nasihat ini juga boleh membantu suami isteri mengurus rumah tangga. Mereka perlu membuat perancangan awal agar dapat berbelanja dengan bijak. Dengan ini, mereka dapat mengawal perbelanjaan, memperuntukkan wang untuk keperluan asas setiap hari atau setiap minggu, dan tidak boros.

5 Di sesetengah negara, suami isteri yang merancang perbelanjaan tidak meminjam wang dengan kadar faedah yang tinggi untuk membeli barangan yang tidak diperlukan, ataupun mereka mengawal penggunaan kad kredit. (Amsal 22:7) Mereka juga tidak membeli barangan mengikut gerak hati tanpa berfikir sama ada mereka benar-benar memerlukannya atau tanpa mengambil kira akibatnya. Selain itu, dengan merancang perbelanjaan, setiap orang dibantu untuk sedar bahawa tabiat seperti berjudi, merokok, dan meminum alkohol secara berlebihan, bukan sekadar membazirkan wang dan menyusahkan keluarga malahan bercanggah dengan prinsip Bible.​—Amsal 23:20, 21, 29-35; Roma 6:19; Efesus 5:3-5.

6. Apakah ayat-ayat Bible yang dapat melegakan hati orang miskin?

6 Bagaimana pula dengan mereka yang terpaksa hidup miskin di serata dunia? Mereka boleh berasa lega kerana masalah ini hanyalah sementara. Di dunia baru yang kian mendekat, Yehuwa akan membasmi kemiskinan serta segala kefasiqan yang menimpa manusia sejagat. (Mazmur 72:1, 12-16) Sementara itu, orang Kristian sejati, termasuk mereka yang sangat miskin, tidak perlu hilang harapan kerana Yehuwa berjanji, “Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu.” Maka, penyembah Yehuwa boleh berkata dengan yakin, “Tuhan Penolongku, aku tidak akan takut.” (Ibrani 13:5, 6) Pada masa yang susah ini, Yehuwa banyak menyokong umat-Nya apabila mereka hidup menurut prinsip-Nya dan mendahulukan Kerajaan-Nya. (Matius 6:33) Ramai yang bersetuju dengan kata-kata rasul Paulus: “Aku mengetahui rahsianya untuk menghadapi berbagai-bagai keadaan. Aku berpuas hati baik ketika kenyang ataupun lapar, baik ketika hidup mewah ataupun berkekurangan. Dengan kuasa yang diberikan oleh [Tuhan], aku berdaya menghadapi segala macam keadaan.”​—Filipi 4:12, 13, ABB.

BERAT SAMA DIPIKUL

7. Apakah nasihat Yesus yang dapat membantu kita menguruskan rumah tangga dengan berjaya?

7 Menjelang penghujung aktiviti penyebarannya di bumi, Yesus berkata, “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Matius 22:39) Nasihat ini banyak membantu keluarga untuk menguruskan rumah tangga. Fikirlah, siapakah yang paling rapat dengan kita? Sudah tentu, suami, isteri, ibu bapa, dan anak-anak kita. Jadi, bagaimanakah ahli keluarga boleh saling mengasihi?

8. Bagaimanakah ahli keluarga boleh saling mengasihi?

8 Setiap ahli keluarga boleh membantu memikul tanggungjawab di rumah. Anak-anak perlu diajar cara menyimpan pakaian atau alat mainan selepas menggunakannya, serta mengemaskan katil setiap pagi. Meskipun masa dan usaha diperlukan, rumah akan kelihatan kemas dan terurus. Kadangkala rumah memang berselerak, tetapi semua ahli keluarga boleh berganding bahu untuk mengemaskan rumah atau mencuci pinggan mangkuk selepas makan. Orang yang malas, mementingkan diri, dan tidak sudi membantu boleh menyusahkan seluruh keluarga. (Amsal 26:14-16) Sebaliknya, sikap suka membantu akan menyumbang kepada kebahagiaan keluarga kerana ‘Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.’​—2 Korintus 9:7.

9, 10. (a) Apakah tanggungjawab berat yang sering dipikul oleh isteri? Bagaimanakah bebannya boleh diringankan? (b) Berkenaan kerja di rumah, apakah pandangan seimbang yang patut kita miliki?

9 Sikap bertimbang rasa dan kasih akan membantu keluarga untuk mengelakkan masalah serius yang mungkin timbul. Biasanya ibu bertanggungjawab menguruskan hal-hal rumah tangga. Dia menjaga anak, membersihkan rumah, mencuci pakaian, serta membeli dan memasak makanan. Di sesetengah negara, wanita lazimnya bekerja di ladang, menjual hasil tanaman di pasar, atau berusaha dalam cara lain untuk menambah pendapatan keluarga. Di tempat lain pula, wanita yang berkahwin dahulunya tidak perlu keluar mencari kerja, tetapi kini keadaan hidup memaksa jutaan wanita untuk berbuat demikian. Seorang isteri dan ibu yang memikul semua tanggungjawab ini wajar dipuji. Seperti ‘isteri cekap’ yang disebut dalam Bible, dia sangat tekun dan “sentiasa rajin bekerja.” (Amsal 31:10, 27) Tetapi hal ini tidak bererti bahawa hanya wanita yang boleh membuat kerja rumah. Selepas suami isteri bekerja sehari suntuk di luar, patutkah isteri sahaja yang menanggung kerja rumah sedangkan suami dan ahli keluarga lain berpeluk tubuh? Tentu tidak. (Bandingkan 2 Korintus 8:13, 14.) Katakan ibu sedang memasak, ahli keluarga lain boleh membantunya di dapur, membeli barangan keperluan, atau mengemas rumah. Ibu tentunya menghargai bantuan mereka. Ya, semua boleh bekerjasama.​—Bandingkan Galatia 6:2.

10 Ada yang mungkin berkata, “Di negara saya, kaum perempuan saja yang buat kerja ini.” Hal ini mungkin benar, tetapi fikirlah: Semasa Tuhan Yehuwa mengasaskan institusi keluarga, Dia tidak mengamanahkan tugas tertentu kepada wanita sahaja. Pernah sekali, semasa Abraham dikunjungi utusan khas daripada Yehuwa, dia sendiri membantu menyiapkan dan menghidangkan makanan kepada tetamu. (Kejadian 18:1-8) Menurut Bible, “Suami harus mengasihi isteri seperti mengasihi tubuh sendiri.” (Efesus 5:28) Jika suami letih dan ingin berehat selepas bekerja sehari suntuk, isteri pun mungkin berasa begitu. Dia bahkan lebih penat kerana dia “kaum yang lebih lemah.” (1 Petrus 3:7) Jadi, bukankah wajar jika suami menunjukkan kasih dengan membantu isterinya di rumah?​—Filipi 2:3, 4.

11. Mengapakah Yesus ialah teladan terbaik bagi semua ahli keluarga?

11 Yesus ialah teladan terbaik bagi kita. Dia menyenangkan hati Tuhan dan menggembirakan sahabat-sahabatnya. Biarpun dia tidak berkahwin, Yesus merupakan teladan baik bagi suami, isteri, serta anak-anak. Katanya, ‘Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; dia datang untuk melayani orang.’ (Matius 20:28) Alangkah bagusnya jika setiap ahli keluarga memupuk sikap Yesus!

KEBERSIHAN​—MENGAPA BEGITU PENTING?

12. Apakah yang dikehendaki oleh Yehuwa daripada umat-Nya?

12 Satu lagi prinsip Bible yang boleh membantu kita mengurus rumah tangga tercatat di 2 Korintus 7:1: “Kita harus menyucikan diri daripada segala yang menajiskan jiwa dan raga kita.” Mereka yang mematuhi kata-kata terilham ini mendapat perkenan Yehuwa kerana Dia menghendaki “ibadat yang murni dan sejati.” (Yakobus 1:27) Dan seisi keluarga juga meraih manfaatnya.

13. Mengapakah keluarga mesti menjaga kebersihan?

13 Sebagai contoh, Bible menjamin bahawa pada suatu hari penyakit akan lenyap. Pada masa itu, ‘tiada sesiapa yang akan mengeluh kerana sakit.’ (Yesaya 33:24; Wahyu 21:4, 5) Sementara itu, setiap keluarga masih perlu menghadapi serangan penyakit. Paulus dan Timotius pun pernah jatuh sakit. (Galatia 4:13; 1 Timotius 5:23) Namun, pakar perubatan mengatakan bahawa banyak penyakit boleh dicegah. Keluarga yang bijak dapat menghindari sesetengah penyakit jika mereka bersih dari segi jasmani dan rohani. Mari kita lihat caranya.​—Bandingkan Amsal 22:3.

14. Bagaimanakah kebersihan moral melindungi keluarga daripada penyakit?

14 Kebersihan rohani merangkumi kebersihan moral. Seperti yang diketahui umum, Bible menetapkan taraf moral yang tinggi dan mengutuk semua bentuk seks luar nikah. ‘Orang yang berbuat cabul, atau yang berzina, atau yang bersemburit, tidak akan menikmati Pemerintahan Tuhan.’ (1 Korintus 6:9, 10) Dunia hari ini mengalami keruntuhan akhlak, jadi orang Kristian mesti mematuhi taraf Bible dengan sepenuh hati. Dengan ini mereka dapat menyenangkan hati Tuhan dan melindungi keluarga daripada penyakit kelamin seperti AIDS, sifilis, gonorea, dan chlamydia.​—Amsal 7:10-23.

15. Banyak orang sakit kerana gagal menjaga kebersihan jasmani. Berikan contoh.

15 Seseorang yang ‘menyucikan diri daripada segala yang menajiskan raga,’ atau tubuh, dapat melindungi keluarga daripada penyakit lain. Banyak orang jatuh sakit kerana gagal menjaga kebersihan jasmani. Contoh utama ialah tabiat merokok. Merokok bukan sahaja mencemari peparu, pakaian, dan udara, malah membuat orang sakit. Setiap tahun, jutaan orang mati kerana merokok atau menggunakan tembakau. Fikirlah: Setiap tahun jutaan orang tidak akan sakit dan mati awal jika mereka menghindari perbuatan ini yang ‘menajiskan raga’!

16, 17. (a) Apakah peraturan yang melindungi orang Israel daripada sesetengah penyakit? (b) Bagaimanakah keluarga boleh menerapkan prinsip di Ulangan 23:12, 13?

16 Perhatikan contoh lain. Kira-kira 3,500 tahun dahulu, Tuhan menurunkan Hukum-Nya kepada bangsa Israel. Hukum ini berkaitan dengan ibadat mereka dan juga menyentuh sedikit sebanyak tentang kehidupan seharian. Hukum ini menggariskan beberapa peraturan asas tentang kebersihan untuk melindungi mereka daripada penyakit. Misalnya, najis manusia harus ditanam di luar perkhemahan agar kawasan tempat tinggal tidak tercemar. (Ulangan 23:12, 13) Peraturan ini masih berguna kerana sampai hari ini orang yang tidak mematuhinya jatuh sakit dan mati. *

17 Selaras dengan prinsip di Ulangan 23:12, 13, bilik mandi dan tandas keluarga​—baik di dalam mahupun di luar rumah​—harus bersih dan dicuci dengan pembasmi kuman. Jika kawasan tandas tidak bersih dan tertutup, lalat yang hinggap di situ akan membawa kuman ke bahagian lain rumah, termasuk makanan yang kita makan! Selanjutnya, kanak-kanak dan orang dewasa harus mencuci tangan selepas menggunakan tandas. Kalau tidak, kuman akan hinggap di kulit mereka. Menurut seorang doktor Perancis, mencuci tangan “masih merupakan cara yang baik bagi mencegah sesetengah penyakit yang berjangkit melalui makanan, udara, atau sentuhan.”

Menjaga kebersihan lebih murah daripada membeli ubat

18, 19. Nyatakan cara-cara menjaga kebersihan rumah di kawasan kejiranan yang miskin.

18 Memang, tidak mudah mengekalkan kebersihan di kawasan kejiranan yang miskin. Seorang yang pernah hidup dalam keadaan sebegini menjelaskan, “Cuaca yang panas terik menyukarkan kerja pembersihan. Ribut kuat meniup debu sehingga setiap penjuru rumah diliputi serbuk perang yang halus. . . . Ledakan penduduk di bandar, serta di sesetengah kawasan luar bandar, juga membahayakan kesihatan. Sistem pembetungan yang terbuka, timbunan sampah sarap, tandas awam yang kotor, tikus pembawa penyakit, lipas, dan lalat ada di mana-mana saja.”

19 Usaha menjaga kebersihan dalam persekitaran sebegini amat sukar tetapi berbaloi. Sabun dan air serta sedikit usaha lebih murah daripada membayar bil perubatan dan bil hospital. Jadi, cubalah sedaya upaya untuk memastikan rumah dan halaman rumah anda bersih dan bebas daripada najis binatang. Jika jalan ke rumah anda berlumpur semasa hujan, bolehkah anda menurapnya dengan batu kelikir agar rumah anda tidak kotor? Jika anda memakai kasut atau selipar, bolehkah anda menanggalkannya sebelum memasuki rumah? Selain itu, pastikan bekalan air tidak tercemar. Menurut anggaran, setiap tahun sekurang-kurangnya dua juta orang jatuh sakit dan mati akibat air yang tercemar dan persekitaran yang kotor.

20. Siapakah yang bertanggungjawab menjaga kebersihan rumah?

20 Di Kenya, seorang ibu yang mempunyai lapan orang anak berkata, “Semua orang pandai menjalankan tugas masing-masing.” Ya, semua orang​—ibu, bapa, anak-anak, dan tetamu​—bertanggungjawab menjaga kebersihan rumah. Rumah yang bersih dan kemas mengharumkan nama seisi keluarga. Menurut peribahasa Sepanyol, “Kemiskinan bukanlah penghalang kebersihan.” Tidak kira sama ada kita tinggal di rumah yang besar, pangsapuri, rumah yang kecil, atau rumah papan, kebersihan ialah kunci kepada keluarga yang sihat.

PUJIAN MENAIKKAN SEMANGAT

21. Selaras dengan Amsal 31:28, apakah yang dapat menyumbang kepada kebahagiaan rumah tangga?

21 Buku Amsal menyatakan bahawa isteri yang cekap “dihargai oleh anak-anaknya dan dipuji oleh suaminya.” (Amsal 31:28) Bilakah kali terakhir anda memuji keluarga anda? Sememangnya, kita semua memerlukan pujian yang menyentuh hati. Isteri perlu tahu bahawa suami menghargai kasih dan usaha yang dicurahkan demi keluarga. (Amsal 15:23; 25:11) Suami yang bekerja keras juga gembira apabila menerima pujian daripada isteri. Begitu juga, anak-anak menjadi lebih bersemangat apabila ibu bapa memuji usaha mereka di rumah, di sekolah, dan di sidang Kristian. Selain itu, tunjukkanlah penghargaan. Ucapan ringkas seperti “Terima kasih” dapat menyemarakkan semangat seisi keluarga.

22. Rumah tangga yang kukuh harus berasaskan apa? Bagaimanakah kita boleh memperolehnya?

22 Ya, memang tidak mudah untuk menguruskan sebuah rumah tangga. Namun, kita boleh berjaya. Sebuah pepatah Bible menyatakan, “Rumah tangga didirikan di atas asas hikmat dan pengertian.” (Amsal 24:3, ABB) Hikmat dan pengertian boleh diperoleh jika semua dalam keluarga berusaha mempelajari kehendak Tuhan dan menerapkannya dalam kehidupan. Usaha mewujudkan keluarga yang bahagia memang berbaloi!

^ per. 16 Dalam sebuah buku panduan yang menyatakan cara menghindari cirit-birit (penyakit biasa yang selalu mengakibatkan kematian bayi), Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan, “Jika tiada tandas, buang air besar jauh dari rumah, dan jauh dari tempat kanak-kanak bermain, dan sekurang-kurangnya 10 meter dari sumber air; tutup tinja dengan tanah.”