Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 5

Tuhan Memberkati Abraham dan Keluarganya

Tuhan Memberkati Abraham dan Keluarganya

Keturunan Abraham hidup makmur. Tuhan melindungi Yusuf di Mesir

YEHUWA tahu bahawa Anak-Nya yang tersayang akan menderita dan mati pada suatu hari nanti. Nubuat yang tercatat di Kejadian 3:15 memberitahu kita sedikit sebanyak tentang kebenaran ini. Dapatkah Tuhan tunjukkan kepada umat manusia betapa besarnya pengorbanan yang perlu ditanggung-Nya apabila Anak-Nya mati? Bible menggambarkan hal ini dengan menceritakan kisah tentang seorang bapa dan anaknya. Tuhan telah menyuruh Abraham untuk mengorbankan Ishak, anaknya yang dikasihi.

Abraham mempunyai iman yang kukuh. Jika anda masih ingat, Tuhan telah berjanji kepada Abraham bahawa Penyelamat, atau Benih yang telah dinubuatkan akan datang melalui keturunan Ishak. Dengan keyakinan bahawa Tuhan dapat membangkitkan anaknya jika perlu, Abraham mentaati Tuhan dan bersedia untuk mengorbankan anaknya. Tepat sebelum Abraham mengorbankan anaknya, malaikat yang dihantar Tuhan menghentikan Abraham. Tuhan memuji Abraham kerana kesanggupannya untuk mengorbankan anaknya yang dikasihi. Selepas itu, Tuhan mengulangi janji-janji-Nya kepada lelaki yang setia ini.

Kemudian, Ishak menjadi bapa kepada dua orang anak lelaki, Esau dan Yakub. Tidak seperti Esau, Yakub menghargai perkara-perkara rohani. Oleh itu, dia telah diberkati Yehuwa. Tuhan telah menukarkan nama Yakub kepada Israel. Kesemua 12 orang anak lelaki Israel menjadi ketua kepada suku-suku kaum di Israel. Tetapi, bagaimanakah keluarga Israel menjadi sebuah bangsa yang besar?

Suatu rangkaian peristiwa bermula apabila kebanyakan anak lelaki Israel menjadi cemburu akan Yusuf, adik mereka. Mereka telah menjual Yusuf sebagai seorang hamba, dan dia dibawa ke Mesir. Tetapi Tuhan telah memberkati pemuda yang setia dan berani ini. Walaupun Yusuf menghadapi banyak kesukaran, dia kemudiannya dipilih oleh Firaun, iaitu pemerintah di Mesir, dan diberikan kuasa dan tanggungjawab yang besar. Hal ini adalah suatu perkembangan yang baik kerana kebuluran yang berlaku pada masa itu memaksa Yakub untuk menghantar anak-anaknya ke Mesir bagi membeli bahan makanan. Dan sekarang, Yusuflah yang ditugaskan untuk menjaga semua bekalan makanan! Selepas pertemuan yang penuh emosi dengan abang-abangnya yang telah bertaubat, Yusuf mengampuni mereka dan mengaturkan supaya semua ahli keluarganya dibawa ke Mesir. Mereka diberi tanah yang terbaik di Mesir. Di situ bilangan mereka bertambah banyak dan mereka berkembang maju. Sekarang, Yusuf faham bahawa Tuhan telah campur tangan dalam hal-hal yang telah berlaku agar janji-janji-Nya ditunaikan.

Yakub menghabiskan baki kehidupannya di Mesir, di samping keluarganya yang makin lama makin membesar. Sebelum dia mati, dia telah bernubuat bahawa Penyelamat umat manusia, atau Benih yang telah dijanjikan, akan menjadi seorang pemerintah yang berkuasa, dan dia akan datang daripada keturunan Yehuda. Bertahun-tahun kemudian, sebelum Yusuf mati, dia telah bernubuat bahawa Tuhan akan membawa keluarga Yakub keluar dari Mesir.

—Berdasarkan Kejadian bab 20 hingga bab 50; Ibrani 11:17-22.