BAB 92
Hanya Seorang Pesakit Kusta yang Bersyukur
-
YESUS MENYEMBUHKAN 10 ORANG PESAKIT KUSTA
Majlis Orang Yahudi berkomplot untuk membunuh Yesus, maka dia pergi ke Efraim dan tinggal di situ bersama murid-muridnya. (Yohanes 11:54) Tetapi Perayaan Paska tahun 33 M akan berlangsung tidak lama lagi, jadi Yesus membuat perjalanan melalui Samaria dan Galilea. Inilah perjalanannya yang terakhir ke kawasan ini sebelum kematiannya.
Semasa dalam perjalanannya, Yesus terserempak dengan 10 orang pesakit kusta. Sesetengah orang yang menghidap penyakit ini akan kehilangan anggota tubuh badan, seperti jari dan telinga. (Bilangan 12:10-12) Menurut Hukum Tuhan, pesakit kusta harus berseru, “Najis! Najis!” dan tidak boleh tinggal bersama orang lain.—Imamat 13:45, 46.
Apabila 10 orang pesakit kusta itu nampak Yesus dari jauh, mereka berseru kepadanya dengan suara yang lantang, “Yesus, Guru, kasihanilah kami!” Yesus nampak mereka dan berkata, “Pergilah berjumpa dengan para imam.” (Lukas 17:13, 14) Tindakan Yesus ini menunjukkan bahawa dia menghormati Hukum Tuhan, kerana hukum itu menyatakan bahawa para imam harus memeriksa seorang pesakit kusta untuk memastikan bahawa orang itu sudah sembuh atau tidak. Setelah itu, barulah orang itu boleh menghampiri orang lain.—Imamat 13:9-17.
Kesemua 10 pesakit kusta itu beriman kepada Yesus. Maka biarpun mereka masih belum sembuh, mereka pergi berjumpa dengan para imam. Semasa dalam perjalanan, mereka sembuh. Ya, mereka diberkati kerana iman mereka!
Sembilan orang daripada mereka meneruskan perjalanan, tetapi seorang daripada mereka berpatah balik dan pergi kepada Yesus. Dia amat bersyukur kerana dia telah disembuhkan. Meskipun dia orang Samaria, dia “memuliakan Tuhan dengan suara yang lantang” kerana dia tahu bahawa Tuhanlah yang telah menyembuhkannya. (Lukas 17:15) Apabila dia menemui Yesus, dia bersujud di depan kakinya dan mengucapkan terima kasih.
Yesus berkata kepada orang di sekelilingnya, “Ada 10 orang yang disembuhkan, bukan? Di manakah sembilan orang yang lain? Tidak adakah orang lain yang kembali untuk memuliakan Tuhan selain lelaki bangsa asing ini?” Kemudian dia berkata kepada lelaki Samaria itu, “Bangunlah dan pulanglah. Kamu sembuh kerana kamu beriman.”—Lukas 17:17-19.
Dengan menyembuhkan 10 orang pesakit kusta itu, Yesus menunjukkan bahawa dia mendapat sokongan Yehuwa. Salah seorang daripada mereka bukan sahaja disembuhkan, tetapi dia juga akan mendapat hidup abadi. Meskipun Yesus tidak menyembuhkan orang pada masa sekarang, kita juga dapat memperoleh hidup abadi jika kita beriman kepadanya. Tidakkah kita patut bersyukur seperti lelaki Samaria itu?