BIBLE MENGUBAH HIDUP
Saya Tidak Mahu Mati!
-
TAHUN LAHIR: 1964
-
NEGARA ASAL: ENGLAND
-
LATAR BELAKANG: IBU MUDA YANG BERKELAKUAN BURUK
KISAH SILAM SAYA
Saya dilahirkan di Paddington, satu kawasan di London, England, yang padat dengan penduduk. Saya tinggal bersama ibu dan tiga orang kakak. Ayah tidak selalu bersama kami kerana ketagih minuman keras.
Semasa kecil, ibu mengajar saya untuk berdoa setiap malam. Saya mempunyai Bible kecil yang hanya mengandungi buku Mazmur, dan saya menyanyikannya dengan irama sendiri. Saya pernah terbaca satu ungkapan dalam sebuah buku yang menyatakan, “Suatu hari nanti, tidak akan ada lagi hari esok.” Hal ini membuat saya terjaga pada waktu malam kerana risau tentang masa depan. Saya terfikir, “Adakah kehidupan kita begini sahaja? Mengapa saya di sini?” Saya tidak mahu mati!
Saya berminat dengan ilmu ghaib. Saya cuba berhubung dengan orang mati, melawat kuburan dengan rakan sekolah, dan menonton filem seram dengan mereka. Bagi kami, hal ini menakutkan tetapi menarik.
Semasa berumur 10 tahun, saya mula berkelakuan buruk. Saya mula merokok dan menjadi ketagih. Kemudian saya mengambil ganja dan mula minum alkohol pada umur 11 tahun. Walaupun saya tidak suka rasa alkohol, saya suka menjadi mabuk. Saya juga suka muzik dan menari serta menghadiri parti dan kelab malam. Saya selalu curi-curi keluar pada waktu malam dan balik pada waktu subuh. Pada keesokan hari, saya biasanya ponteng sekolah kerana terlalu penat. Semasa di sekolah, saya minum alkohol antara sesi kelas.
Oleh sebab kelakuan buruk saya, saya mendapat keputusan yang tidak memuaskan pada akhir tahun persekolahan saya. Ibu berasa sangat kecewa dan marah. Kami bergaduh dan saya lari dari rumah. Untuk masa yang singkat, saya tinggal dengan Tony, teman lelaki saya. Dia terlibat dengan jenayah kecil, menjual dadah, dan dikenali sebagai orang yang ganas. Kemudian saya hamil dan pada umur 16 tahun, saya melahirkan seorang anak lelaki.
BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA
Saya pertama kali bertemu dengan Saksi-Saksi Yehuwa sewaktu saya tinggal di asrama kebajikan bagi ibu yang tidak
berkahwin bersama bayi mereka. Saya diberi sebuah bilik oleh pihak berkuasa. Dua orang wanita Saksi selalu mengunjungi beberapa ibu muda di sana. Pada suatu hari, saya menyertai perbincangan mereka untuk membuktikan bahawa ajaran mereka salah. Namun, mereka menjawab setiap soalan saya daripada Bible dengan tenang dan jelas. Saya kagum dengan sifat mereka yang baik hati dan lemah lembut. Jadi, saya setuju belajar Bible dengan mereka.Tidak lama kemudian, saya belajar sesuatu daripada Bible yang mengubah hidup saya. Sejak kecil lagi, saya takut mati. Tetapi saya sekarang sudah belajar tentang ajaran Yesus mengenai pembangkitan! (Yohanes 5:28, 29) Saya juga belajar bahawa Tuhan mengambil berat terhadap saya secara peribadi. (1 Petrus 5:7) Saya tersentuh dengan kata-kata di Yeremia 29:11 (nota kaki) yang menyatakan, “Aku sendiri tahu akan rancangan-Ku untuk kamu. Rancangan itu bukan untuk mencelakakan kamu, tetapi untuk kemakmuran kamu dan untuk memberikan masa depan yang penuh harapan.” Saya mula percaya bahawa saya mempunyai harapan untuk hidup kekal di bumi Firdaus.—Mazmur 37:29.
Saksi-Saksi Yehuwa menunjukkan kasih yang tulus kepada saya. Semasa menghadiri perjumpaan pada kali pertama, mereka semua sangat mesra dan ramah! (Yohanes 13:34, 35) Layanan yang saya terima memang sangat berbeza daripada gereja. Para Saksi menerima saya dengan baik meskipun hidup saya teruk. Mereka meluangkan masa, mengambil berat, serta menghulurkan bantuan kepada saya. Saya berasa seperti berada dalam keluarga besar yang pengasih.
Setelah belajar Bible, saya sedar bahawa saya harus berubah agar dapat mencapai piawaian moral Tuhan yang tinggi. Saya berasa susah untuk berhenti merokok. Selain itu, sesetengah muzik mempengaruhi saya untuk mengambil ganja. Jadi saya mengubah jenis muzik yang saya dengar. Saya berhenti menghadiri parti dan kelab malam agar tidak tergoda untuk menjadi mabuk. Saya juga mencari sahabat yang mempunyai pengaruh positif agar dapat membantu saya mengubah cara hidup saya.—Amsal 13:20.
Pada masa yang sama, Tony belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Semasa para Saksi menjawab soalannya berdasarkan Bible, dia menjadi yakin bahawa apa yang dipelajarinya ialah kebenaran. Dia membuat perubahan besar dalam hidupnya. Dia berhenti bergaul dengan kawan-kawannya yang ganas, berhenti melakukan jenayah kecil, dan tidak lagi mengambil ganja. Untuk menyenangkan hati Yehuwa, kami harus mengubah cara hidup yang tidak bermoral dan mewujudkan suasana yang lebih baik bagi anak kami. Kami berkahwin pada tahun 1982.
“Sekarang, saya dapat tidur lena pada waktu malam tanpa risau tentang masa depan atau kematian”
Saya mencari rencana daripada majalah Menara Pengawal dan Sedarlah! * yang mempunyai kisah tentang orang yang berjaya membuat perubahan dalam hidup mereka. Teladan mereka mendorong saya untuk terus berusaha dan tidak berputus asa! Saya selalu berdoa kepada Yehuwa agar terus membantu saya membuat perubahan. Saya dan Tony dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa pada Julai 1982.
MANFAAT YANG SAYA TERIMA
Menjalin persahabatan dengan Tuhan Yehuwa telah menyelamatkan nyawa saya. Yehuwa telah menyokong saya dan Tony mengharungi masa kesusahan. Kami telah belajar untuk bergantung pada Tuhan. Kami dapat merasakan bahawa Yehuwa selalu membantu dan menjaga keluarga kami.—Mazmur 55:23.
Saya gembira dapat membantu kedua-dua anak kami untuk belajar tentang Yehuwa. Pada masa yang sama, saya menikmati sukacita kerana dapat melihat cucu kami membesar dalam kebenaran.
Sekarang, saya dapat tidur lena pada waktu malam tanpa risau tentang masa depan atau kematian. Pada setiap minggu, saya dan Tony sibuk melawat sidang Saksi-Saksi Yehuwa yang lain untuk menggalakkan mereka. Kami menyertai sidang untuk mengajar orang lain tentang kehidupan kekal yang bakal dinikmati jika mereka beriman kepada Yesus.
^ per. 18 Diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa dan boleh didapati dalam bahasa Indonesia.