Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Masa Depan Anda, Pilihan Anda!

Masa Depan Anda, Pilihan Anda!

DAPATKAH ANDA MEMILIH MASA DEPAN SENDIRI? Sesetengah orang percaya bahawa kehidupan mereka ditentukan suratan takdir. Semasa mereka gagal mencapai cita-cita tertentu, mereka akan berkata, “Itu nasib saya.”

Yang lain pula putus harapan apabila mereka tidak menemui jalan keluar daripada penindasan dan ketidakadilan dunia ini. Mereka mungkin telah bersusah payah untuk membina hidup yang bahagia, tetapi rancangan mereka dihancurkan berkali-kali kerana peperangan, jenayah, bencana alam, dan penyakit. Jadi mereka berfikir, “Buat apa saya cuba lagi?”

Memang benar, kejadian yang tidak terduga dapat merosakkan rancangan anda. (Pengkhutbah 9:11) Tetapi masa depan anda yang kekal masih terletak dalam tangan anda. Sila lihat bagaimana Bible menunjukkan bahawa masa depan anda bergantung pada pilihan anda.

Sebelum orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, pemimpin mereka berkata, “Aku memberi kamu dua pilihan, iaitu pilihan antara kehidupan dengan kematian, dan antara berkat dengan kutukan. Kamu harus memilih kehidupan supaya kamu dan keturunan kamu dapat tetap hidup. Kamu harus mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu, dan mematuhi firman-Nya serta berpaut pada-Nya.”​—Ulangan 30:15, 19, 20.

“Aku memberi kamu dua pilihan, iaitu pilihan antara kehidupan dengan kematian, dan antara berkat dengan kutukan. Kamu harus memilih kehidupan.”​—Ulangan 30:19

Tuhan telah membebaskan orang Israel dari Mesir dan menawarkan peluang untuk hidup bebas dan bahagia di Tanah yang Dijanjikan. Tetapi berkat itu tidak akan datang bergolek. Mereka “harus memilih kehidupan.” Bagaimana? Dengan ‘mengasihi Yehuwa, mematuhi firman-Nya, dan berpaut pada-Nya.’

Anda juga diberi pilihan yang sama hari ini, dan pilihan anda akan menentukan masa depan anda. Jika anda memilih untuk mengasihi Tuhan, mematuhi firman-Nya, dan berpaut pada-Nya, anda sebenarnya sedang memilih untuk hidup selama-lamanya di bumi firdaus. Namun, apakah maksud ketiga-tiga langkah itu?

PILIHLAH UNTUK MENGASIHI TUHAN

Kasih ialah sifat utama Tuhan. Rasul Yohanes menulis, “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Itulah sebabnya, semasa ditanya apa hukum yang terbesar, Yesus menjawab, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dan dengan segenap akal.” (Matius 22:37) Kasih, dan bukannya rasa takut atau ketaatan yang membabi buta, harus menjadi dasar persahabatan kita dengan Tuhan. Namun, mengapakah kita patut memilih untuk mengasihi Tuhan?

Yehuwa mengasihi manusia sebagaimana ibu bapa mengasihi anak sendiri. Meskipun tidak sempurna, ibu bapa yang pengasih akan mengajar, menggalakkan, menyokong, dan mendisiplinkan anak, supaya anak hidup bahagia dan berjaya kelak. Apakah balasan yang diinginkan ibu bapa? Mereka mahu anak-anak mengasihi mereka dan menghargai segala ajaran mereka yang berguna. Bapa kita yang sempurna di syurga juga mahu kita mengasihi-Nya dan menghargai segala pemberian-Nya. Sudah pasti permintaan itu tidak melampau, bukan?

PATUHI FIRMAN-NYA

Apabila kita memberitahu seorang anak, “Dengar cakap ibu bapa,” kita sedang menyuruhnya mematuhi ibu bapa. Begitu juga, kita perlu mendengar cakap Tuhan, atau mematuhi firman-Nya. Memandangkan kita tidak dapat mendengar suara-Nya dari syurga, kita mematuhi-Nya dengan membaca dan mengikut nasihat Bible.​—1 Yohanes 5:3.

Untuk menunjukkan pentingnya mendengar firman Tuhan, Yesus pernah berkata, “Manusia mesti hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang keluar daripada mulut Yehuwa.” (Matius 4:4) Makanan memang penting bagi kita, tetapi pengetahuan tentang Yehuwa jauh lebih penting. Mengapa? Raja Salomo yang bijak menjelaskan, “Kebijaksanaan dapat melindungi seseorang, sebagaimana duit dapat melindungi seseorang, tetapi inilah kelebihan pengetahuan: Kebijaksanaan memelihara hidup orang yang memilikinya.” (Pengkhutbah 7:12) Pengetahuan dan kebijaksanaan yang diberikan Tuhan dapat melindungi kita sekarang dan membimbing kita untuk membuat pilihan yang bijak supaya kita menikmati kehidupan kekal pada masa depan.

BERPAUT PADA-NYA

Rencana sebelumnya menyebut bahawa Yesus pernah berkata, “Pintu yang sempit dan jalan yang susah menuju kehidupan. Hanya sedikit orang menjumpai jalan itu.” (Matius 7:13, 14) Semasa melalui sebatang jalan yang sempit, sudah pasti kita mahu mengikut seorang pembimbing yang berpengalaman dan berada dekat dengannya. Begitu juga, untuk sampai ke destinasi kita, iaitu kehidupan kekal, kita mesti mendekati Tuhan. (Mazmur 16:8) Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

Kita ada banyak urusan setiap hari, dan ada banyak hal lain yang ingin kita lakukan. Kita mungkin begitu sibuk dengan semua itu sehingga tiada masa untuk memikirkan kehendak Tuhan. Oleh itu, Bible mengingatkan kita, “Perhatikanlah kelakuan kamu dengan teliti. Janganlah hidup sebagai orang yang bodoh, sebaliknya hiduplah sebagai orang yang bijak. Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya kerana kita hidup pada hari-hari yang jahat.” (Efesus 5:15, 16) Apabila kita mengutamakan hubungan kita dengan Tuhan, kita sedang berpaut pada-Nya.​—Matius 6:33.

PILIHAN DI TANGAN ANDA

Anda tidak mampu mengubah kisah silam, tetapi anda mampu melakukan sesuatu supaya anda dapat menikmati masa depan yang cerah bersama orang yang tersayang. Bible menunjukkan bahawa Bapa kita yang di syurga, Tuhan Yehuwa, amat mengasihi kita, dan Dia memberitahu kita apa yang diingini-Nya daripada kita. Perhatikan kata-kata Nabi Mikha:

“Hai manusia, Tuhan telah memberitahu engkau apa yang baik. Apakah yang dikehendaki oleh Yehuwa daripadamu? Dia ingin engkau berlaku adil, mencintai kesetiaan, dan hidup dengan rendah hati di hadapan Tuhan.”​—Mikha 6:8.

Adakah anda akan menerima jemputan Yehuwa untuk menjalani kehidupan yang disenangi-Nya dan menikmati berkat-berkat yang disediakan-Nya? Pilihannya di tangan anda!