Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Tuhan Memiliki Sifat Empati?

Adakah Tuhan Memiliki Sifat Empati?

PENGAJARAN DARIPADA CIPTAAN

Empati ialah “kebolehan untuk membayangkan diri dalam keadaan orang lain dan mendalami perasaan atau pengalaman mereka.” Dr. Rick Hanson, seorang pakar kesihatan mental, menyatakan bahawa kita dilahirkan dengan keupayaan untuk menunjukkan empati.

FIKIRKAN: Mengapakah manusia sahaja yang dikurniai kebolehan ini? Bible menjelaskan bahawa Tuhan menciptakan manusia menurut gambaran-Nya. (Kejadian 1:26) Maksudnya, kita dapat mencerminkan keperibadian Tuhan dan sifat-sifat-Nya sehingga tahap tertentu. Maka apabila seseorang terdorong untuk membantu orang lain kerana sifat empati, dia sedang mencerminkan sifat empati Penciptanya, Tuhan Yehuwa.​—Amsal 14:31.

AJARAN BIBLE TENTANG SIFAT EMPATI TUHAN

Tuhan berasa empati terhadap kita dan tidak mahu kita menderita. Orang Israel kuno telah ditindas di Mesir dan perlu hidup susah di padang belantara selama 40 tahun. Bible menjelaskan, “Semasa mereka menderita, Tuhan juga berasa sedih.” (Yesaya 63:9) Ya, Tuhan bukan sahaja tahu akan kesusahan mereka, malah Dia dapat merasai kepedihan mereka. Dia berfirman, “Aku tahu benar kesakitan mereka.” (Keluaran 3:7) “Sesiapa yang menyentuh kamu, menyentuh biji mata-Ku,” kata Tuhan. (Zakharia 2:8) Semasa kita disakiti, Tuhan turut menderita bersama kita.

Meskipun kita mungkin memandang rendah pada diri sendiri dan berasa tidak layak menerima empati Tuhan, Bible menjamin, “Tuhan lebih besar daripada hati kita dan mengetahui segala sesuatu.” (1 Yohanes 3:19, 20) Tuhan lebih memahami kita berbanding kita memahami diri sendiri. Dia faham sepenuhnya keadaan, fikiran, dan perasaan kita, dan Dia berasa empati terhadap kita.

Yakinlah bahawa Tuhan akan membantu orang yang menderita dan memberi mereka kelegaan, kebijaksanaan, dan sokongan

Bible meyakinkan kita

  • “Aku, Yehuwa, akan mendengar semasa kamu berseru meminta tolong. Ketika kamu berseru, Aku akan menjawab, ‘Aku di sini!’”​—YESAYA 58:9.

  • “‘Aku sendiri tahu apa yang akan Aku lakukan untuk kamu,’ firman Yehuwa, ‘Aku akan memberi kamu kedamaian, bukannya malapetaka. Ya, Aku akan memberi kamu harapan dan masa depan yang baik. Kamu akan berseru kepada-Ku. Kamu akan datang untuk berdoa kepada-Ku, dan Aku akan mendengar doa kamu.’”​—YEREMIA 29:11, 12.

  • “Aku tahu bahawa segala penderitaanku tercatat dalam kitab-Mu. Ya Tuhan, tolonglah simpan semua air mataku di dalam kirbat-Mu.”​—MAZMUR 56:8.

TUHAN MEMPERHATIKAN KITA DAN MEMAHAMI PERASAAN KITA

Bagaimanakah sifat empati Tuhan membantu kita semasa kita menghadapi kesusahan? Fikirkan pengalaman Maria:

“Anak lelaki saya yang berumur 18 tahun telah meninggal setelah memerangi kanser selama dua tahun. Saya rasa hidup ini susah dan tidak adil. Saya marah dengan Yehuwa kerana Dia tidak sembuhkan anak saya!

“Enam tahun kemudian, saya meluahkan perasaan saya kepada seorang sahabat yang penyayang dan berbelas kasihan di sidang. Selama berjam-jam, saya memberitahunya bahawa saya rasa Yehuwa tidak mengasihi saya. Setelah mendengar luahan saya tanpa mencelah, dia memetik satu ayat yang menyentuh hati saya, iaitu 1 Yohanes 3:19, 20 yang berbunyi, ‘Tuhan lebih besar daripada hati kita dan mengetahui segala sesuatu.’ Dia menjelaskan bahawa Yehuwa memahami kesusahan kita.

“Meskipun begitu, saya masih marah dengan Tuhan. Kemudian saya membaca Mazmur 94:19, ‘Apabila aku dilanda kekhuatiran, Engkau menenangkan dan melegakan jiwaku.’ Saya rasa ayat itu ditulis khas untuk saya! Akhirnya, saya berasa sangat selesa untuk memberitahu Yehuwa tentang kesusahan saya, kerana saya sedar bahawa Dia akan dengar dan faham perasaan saya.”

Betapa leganya kita kerana Tuhan memahami perasaan kita! Namun, mengapakah ada begitu banyak penderitaan sekarang? Adakah Tuhan sedang menghukum kita? Adakah Dia akan mengakhiri semua penderitaan kita? Rencana seterusnya akan menjawab soalan-soalan itu.