Bagaimana Pencipta Kita Memberitahu Kita Janji-Nya
Sejak manusia diciptakan, Pencipta kita telah berkomunikasi dengan manusia menerusi para malaikat dan utusan-Nya. Selain itu, Dia juga mahu mesej dan janji-Nya dicatatkan. Tuhan telah menjanjikan masa depan yang cerah untuk anda. Jadi, dari manakah anda dapat mengetahui janji-janji Tuhan?
Ayat-Ayat Suci mengandungi mesej Tuhan. (2 Timotius 3:16) Bagaimanakah Tuhan menggunakan para utusan-Nya untuk menulis mesej-Nya? Fikirkan contoh seorang bos yang menyuruh setiausahanya untuk menulis sepucuk surat. Walaupun surat itu ditulis oleh setiausaha, kandungannya berasal daripada bos itu. Begitu juga, Tuhan telah menyampaikan fikiran-Nya kepada para utusan-Nya dan menyuruh mereka mencatatkan perkhabaran-Nya. (2 Petrus 1:21) Oleh itu, walaupun Ayat-Ayat Suci ditulis oleh manusia, kandungannya berasal daripada Tuhan.
FIRMAN TUHAN TERDAPAT DALAM BANYAK BAHASA
Mesej Tuhan sangat penting, dan Dia mahu semua orang membaca dan memahaminya. Hari ini, “berita baik yang kekal” daripada Tuhan tersedia bagi orang daripada ‘setiap bangsa, suku, dan bahasa.’ (Wahyu 14:6) Dengan adanya berkat Tuhan, sebahagian atau keseluruhan Ayat-Ayat Suci telah diterjemahkan ke dalam lebih daripada 3,000 bahasa. Tiada buku lain di pasaran yang diterjemahkan ke dalam begitu banyak bahasa.