Adakah Menjadi Orang yang Baik Menjamin Masa Depan Kita?
Selama ratusan tahun, ramai orang berasa bahawa jika mereka menjadi orang yang baik dan hidup bermoral, mereka akan memiliki masa depan yang baik. Misalnya, ramai orang di Asia setuju dengan kata-kata Confucius (551-479 SM), seorang ahli falsafah yang terkenal: “Jangan lakukan kepada orang lain apa yang tidak ingin kamu lakukan kepada dirimu sendiri.”
RAMAI YANG MEMILIH HALUAN HIDUP INI
Ramai orang percaya bahawa jika mereka mengamalkan kelakuan yang terpuji, mereka akan memiliki masa depan yang baik. Oleh itu, mereka berusaha untuk bersikap hormat, bersopan santun, melaksanakan tanggungjawab dengan baik, dan menjauhi hal yang membuat mereka berasa bersalah. Linh, seorang wanita di Vietnam berkata, “Saya selalu percaya bahawa jika saya jujur dan ikhlas, saya akan diberkati.”
Sesetengah orang berbuat baik kerana itulah yang diajarkan dalam agama mereka. Hsu-Yun, seorang lelaki di Taiwan, berkata, “Saya diajar bahawa perbuatan kita semasa hidup akan menentukan sama ada kita akan menikmati berkat atau diseksa selepas kita mati.”
APAKAH HASILNYA?
Memang benar, jika kita berbuat baik terhadap orang lain, kita akan mendapat banyak manfaat. Namun, ramai orang yang cuba berbuat baik mendapati bahawa mereka tidak selalunya mendapat balasan yang baik. Shiu Ping, seorang wanita di Hong Kong, berkata, “Saya belajar daripada pengalaman saya sendiri bahawa orang yang berbuat baik tidak semestinya diberkati. Saya cuba sedaya upaya untuk menjaga keluarga saya dan berbuat baik, tapi perkahwinan saya gagal dan suami saya meninggalkan saya dan anak saya.”
Ramai orang mendapati bahawa orang yang mempunyai agama tidak semestinya orang yang baik. Etsuko, seorang wanita yang tinggal di Jepun, berkata, “Saya menyertai sebuah gereja dan menjadi ketua untuk aktiviti orang muda. Namun, saya terkejut semasa melihat orang dalam gereja saya hidup tidak bermoral, bersaing untuk merampas kuasa, dan menyalahgunakan wang milik gereja.”
“Saya cuba sedaya upaya untuk menjaga keluarga saya dan berbuat baik, tapi perkahwinan saya gagal dan suami saya meninggalkan saya dan anak saya.”—SHIU PING, HONG KONG
Sesetengah orang yang kuat beragama dan rajin berbuat baik berasa kecewa apabila perbuatan baik mereka tidak dibalas dengan kebaikan. Itulah perasaan Van, seorang wanita di Vietnam. Dia berkata, “Setiap hari, saya mempersembahkan buah-buahan, bunga, dan makanan kepada nenek moyang yang sudah meninggal. Saya harap mereka akan memberkati saya pada masa depan. Namun, setelah rajin bersembahyang dan berbuat baik selama bertahun-tahun, suami saya diserang penyakit yang serius. Kemudian, anak perempuan saya yang sedang belajar di luar negara meninggal semasa dia berusia 20 tahun.”
Jika menjadi orang yang baik tidak dapat menjamin masa depan, apakah yang dapat membantu kita? Kita memerlukan bimbingan yang dapat dipercayai, yang dapat menjawab soalan-soalan penting dalam kehidupan dan mengajar kita cara memiliki masa depan yang baik. Dari manakah kita dapat mencari bimbingan tersebut?