Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Elias Hutter dan Bible Bahasa Ibraninya

Elias Hutter dan Bible Bahasa Ibraninya

DAPATKAH anda membaca bahasa Ibrani zaman Bible? Mungkin tidak. Barangkali, anda bahkan tidak pernah melihat Bible bahasa Ibrani. Namun, setelah mengetahui sedikit sebanyak tentang dua edisi Bible bahasa Ibrani yang diterbitkan oleh Elias Hutter pada abad ke-16, anda akan lebih menghargai Kitab Suci yang anda miliki.

Elias Hutter lahir pada tahun 1553 di Görlitz, sebuah pekan kecil yang tidak jauh dari sempadan Jerman dengan Poland dan Republik Czech sekarang ini. Hutter mempelajari bahasa-bahasa negara timur tengah di Universiti Lutheran di Jena dan dilantik sebagai profesor bahasa Ibrani di Leipzig semasa dia berusia 24 tahun. Sebagai pemacu reformasi pendidikan, Hutter telah mengasaskan sebuah sekolah di Nuremberg yang membolehkan murid-murid mempelajari bahasa Ibrani, Yunani, Latin, dan Jerman, dalam masa empat tahun. Pada masa itu, tiada sekolah atau universiti yang mampu melakar kejayaan sebegitu.

“EDISI YANG MENGAGUMKAN”

Halaman pertama Bible bahasa Ibrani Hutter, edisi 1587

Pada tahun 1587, Hutter menghasilkan Perjanjian Lama dalam bahasa Ibrani yang dinamakan Derekh ha-Kodesh. Nama itu, yang bermaksud “Jalan Kesucian,” dipetik daripada Yesaya 35:8. Huruf-huruf yang cantik dalam edisi ini membuat sesetengah pihak menggambarkannya sebagai “edisi yang mengagumkan.” Namun nilai sebenar Bible ini ialah fungsinya sebagai alat bantuan untuk mempelajari bahasa Ibrani.

Untuk memahami sebabnya Bible bahasa Ibrani Hutter begitu berguna, kita perlu memahami dua cabaran yang dihadapi oleh orang yang ingin belajar membaca Bible dalam bahasa Ibrani: Pertama, mereka tidak mengenali abjad-abjad Ibrani. Kedua, imbuhan yang ditambahkan membuat kata akarnya susah dikenali. Misalnya, kata akar Ibrani untuk “jiwa” ialah נפשׁ (ne’phesh). Namun di Yehezkiel 18:4, perkataan itu mempunyai awalan ה (ha) dan ditulis sebagai הנפשׁ (han·ne’phesh). Maka bagi seorang pelajar yang baharu, הנפשׁ (han·ne’phesh) mungkin sangat berbeza daripada נפשׁ (ne’phesh).

Untuk membantu pelajar-pelajarnya, Hutter menggunakan teknik percetakan yang bijak: Kata akar Ibrani dicetak dengan huruf penuh, manakala imbuhan dicetak dengan huruf rangka. Teknik itu memudahkan pelajar mengenal pasti kata akar Ibrani dan membolehkan mereka mempelajari bahasa itu dengan lebih cepat. Bible New World Translation of the Holy Scriptures​—With References menggunakan teknik yang serupa di nota kaki. * Kata akar dicetak dengan huruf tebal, manakala imbuhan dicetak dengan huruf biasa. Bahagian teks yang diserlahkan dalam gambar menunjukkan bagaimana kaedah ini digunakan dalam Bible edisi Hutter dan nota kaki dalam Reference Bible di Yehezkiel 18:4.

TERJEMAHAN IBRANI “PERJANJIAN BAHARU”

Hutter juga telah mencetak edisi Perjanjian Baharu yang mengandungi teks dalam 12 bahasa. Edisi itu diterbitkan di Nuremberg pada tahun 1599 dan sering dikenali sebagai Poliglot Nuremberg. Hutter ingin edisi itu merangkumi Perjanjian Baharu bahasa Ibrani, tetapi dia berkata bahawa biarpun “dia sanggup membayar harga yang tinggi,” terjemahan itu tidak akan ditemui. * Maka, dia sendiri telah menterjemahkan Perjanjian Baharu daripada bahasa Yunani ke dalam bahasa Ibrani. Hutter telah mencurahkan semua masa dan tenaganya dalam projek itu, dan menyiapkannya dalam masa satu tahun sahaja!

Adakah hasil kerja Hutter terjemahan yang baik? Franz Delitzsch, seorang cendekiawan Ibrani yang terkemuka pada abad ke-19, menulis, “Terjemahan Ibrani [Hutter] mencerminkan tahap penguasaan bahasa yang luar biasa dalam kalangan orang Kristian. Karyanya memang rujukan yang bernilai, kerana ungkapan-ungkapan yang digunakannya tepat sekali.”

KESAN YANG BERKEKALAN

Terjemahan Hutter tidak membawa keuntungan besar kepadanya kerana tidak laku. Meskipun begitu, usahanya membawa kesan besar yang berkekalan. Contohnya, Perjanjian Baharu bahasa Ibrani Hutter telah dikemaskinikan dan dicetak semula oleh William Robertson pada tahun 1661 dan oleh Richard Caddick pada tahun 1798. Semasa menterjemahkan Kitab Yunani Kristian, Hutter menggantikan gelaran Kyʹri·os (Tuan) dan The·osʹ (Tuhan) dengan “Yehuwa” (יהוה, JHVH) jika teks itu merupakan petikan daripada Kitab Ibrani, atau jika Hutter berasa bahawa gelaran itu merujuk kepada Yehuwa. Hal itu menarik kerana banyak terjemahan Perjanjian Baharu tidak menggunakan nama Tuhan. Sesungguhnya, terjemahan Hutter merupakan salah satu bukti bahawa nama Tuhan patut muncul dalam Kitab Yunani Kristian.

Apabila anda membaca nama Tuhan, Yehuwa, dalam Kitab Yunani Kristian atau membaca nota kaki dalam Reference Bible, ingatlah hasil kerja Elias Hutter dan Bible bahasa Ibraninya.

^ per. 7 Lihat nota kaki kedua bagi Yehezkiel 18:4 dan Lampiran 3B dalam Reference Bible.

^ per. 9 Nampaknya Perjanjian Baharu pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Ibrani. Contohnya, Simon Atoumanos, seorang rahib Byzantine, menterjemahkannya pada tahun 1360. Seorang lagi yang menterjemahkannya ialah Oswald Schreckenfuchs, seorang sarjana Jerman, pada tahun 1565. Terjemahan-terjemahan ini tidak pernah diterbitkan dan tidak dapat ditemui lagi.