Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Eric dan Amy

Mereka Rela Berkhidmat—Di Ghana

Mereka Rela Berkhidmat—Di Ghana

ADAKAH anda mengenali rakan seiman yang telah berpindah ke negara asing yang memerlukan penyiar? Pernahkah anda menanya diri, “Apakah yang mendorong mereka? Bagaimanakah mereka membuat persediaan? Dapatkah saya melakukan hal itu?” Marilah kita menemu ramah mereka.

APAKAH YANG MENDORONG MEREKA?

Apakah yang mendorong anda untuk berkhidmat di negara asing yang lebih memerlukan bantuan? Amy, berusia pertengahan 30-an yang berasal dari Amerika Syarikat berkata, “Bertahun-tahun, saya berfikir tentang khidmat di negara asing, tetapi matlamat itu nampaknya susah dicapai.” Apakah yang mengubah pandangannya? “Pada tahun 2004, sepasang suami isteri di Belize menjemput saya untuk melawat mereka dan merintis bersama mereka selama sebulan. Saya sangat menikmatinya! Setahun kemudian, saya berpindah ke Ghana untuk berkhidmat sebagai perintis.”

Aaron dan Stephanie

Beberapa tahun yang lalu, Stephanie, kini berusia lewat 20-an juga berasal dari Amerika Syarikat, menilai keadaannya dan berfikir, “Kesihatan saya masih baik dan saya tiada tanggungjawab keluarga. Sebenarnya, saya boleh melakukan lebih banyak untuk Yehuwa.” Penilaian diri yang jujur itu telah mendorongnya untuk meluaskan khidmatnya di Ghana. Filip dan Ida, berusia awal 60-an dan berasal dari Denmark. Sebagai perintis, mereka ingin berpindah ke kawasan yang memerlukan bantuan. Mereka mencari cara untuk mencapai matlamat mereka. Apabila mereka mendapat peluang untuk berpindah, Filip berkata, “Hal ini seperti Yehuwa memberitahu kami, ‘Pergilah!’” Pada tahun 2008, mereka berpindah ke Ghana dan berkhidmat di sana lebih daripada tiga tahun.

Brook dan Hans

Hans dan Brook, yang berumur 30-an merintis di Amerika Syarikat. Pada tahun 2005, mereka membantu mangsa bencana selepas Taufan Katrina melanda. Kemudian, mereka memohon untuk membantu dalam projek pembinaan antarabangsa, tetapi tidak dijemput. Hans berkata, “Selepas itu, kami dengar sebuah ceramah konvensyen. Penceramah itu berkata bahawa Raja Daud menerima hakikat bahawa dia tidak dibenarkan untuk membina Rumah Tuhan, maka dia menukar matlamatnya. Kami sedar bahawa tidak salah untuk menukar matlamat kami.” (1 Taw. 17:1-4, 11, 12; 22:5-11) Brook berkata bahawa Yehuwa ingin mereka mencuba matlamat lain.

Selepas mendengar pengalaman daripada kawan yang berkhidmat di negara lain, Hans dan Brook didorong untuk merintis di negara asing. Pada tahun 2012, mereka membantu sidang bahasa isyarat di Ghana selama empat bulan. Walaupun mereka telah kembali ke Amerika Syarikat, pengalaman di Ghana menguatkan keinginan mereka untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan. Selepas itu, mereka berpeluang membantu membina pejabat cawangan di Micronesia.

CARA UNTUK MENCAPAI MATLAMAT

Bagaimanakah anda mempersiapkan diri untuk berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan? “Saya mengkaji rencana Menara Pengawal yang berkaitan dengan berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan,” kata Stephanie. * “Saya juga berbincang dengan penatua dan penyelia litar serta isterinya tentang keinginan saya. Yang penting sekali, saya sering berdoa kepada Yehuwa tentang matlamat saya.” Stephanie juga menyederhanakan kehidupannya agar dapat mengumpul wang untuk menyara diri semasa berkhidmat di negara asing.

Hans berkata, “Kami berdoa kepada Yehuwa kerana ingin pergi ke tempat yang dibimbing oleh-Nya. Kami juga memberitahu Yehuwa secara spesifik tentang tarikh kami ingin mula rancangan kami.” Pasangan itu menghantar surat ke empat pejabat cawangan. Selepas menerima jawapan yang positif daripada pejabat cawangan Ghana, mereka melawat ke sana selama dua bulan. Hans berkata, “Kami sangat menikmati berkhidmat di Ghana, maka kami terus tinggal di sana.”

Adria dan George

George dan Adria, merupakan pasangan berusia lewat 30-an yang berasal dari Kanada. Mereka tahu bahawa keinginan yang baik tidak mencukupi, kerana Yehuwa memberkati keputusan baik. Maka mereka bertindak untuk mencapai matlamat mereka. Mereka menanya banyak soalan kepada seorang saudari yang berkhidmat di Ghana. Mereka juga menulis surat kepada pejabat cawangan Kanada dan Ghana. Adria berkata, “Kami berusaha menyederhanakan kehidupan kami lagi.” Dengan itu, mereka dapat berpindah ke Ghana pada tahun 2004.

MENGATASI CABARAN

Apakah cabaran yang anda hadapi selepas berpindah, dan bagaimanakah anda mengatasinya? Bagi Amy, cabaran terawal ialah rindu akan keluarga. “Segalanya sangat berbeza daripada apa yang saya biasa lakukan.” Apakah yang membantunya? “Panggilan telefon daripada ahli keluarga yang menghargai khidmat saya membantu saya untuk terus berkhidmat di sini. Saya dan keluarga kemudiannya menggunakan panggilan video. Oleh sebab kami dapat melihat satu sama lain, kami seolah-olah tidak berjauhan.” Amy mengatakan bahawa berkawan dengan seorang saudari tempatan yang berpengalaman telah membantunya untuk lebih memahami budaya tempatan. “Apabila saya tidak memahami reaksi sesetengah orang, saya akan mencarinya. Dengan bantuannya, saya belajar apa yang harus dilakukan dan dielakkan. Hal ini sangat bermanfaat untuk terus bersukacita.”

Apabila George dan Adria berpindah ke Ghana, mereka berasa seperti hidup pada zaman dahulu. Adria berkata, “Kami tiada mesin cuci baju, kami menggunakan baldi. Masa untuk menyediakan makanan seolah-olah sepuluh kali lebih lama berbanding dahulu. Lama-kelamaan, keadaan yang nampaknya susah ini menjadi pengalaman yang baru.” Brook berkata, “Walaupun kami menghadapi cabaran sebagai perintis, kami berpuas hati. Semua pengalaman yang membina itu menghasilkan kenangan indah yang kami hargai.”

HASIL BAIK YANG DIRAIH

Mengapakah anda menggalakkan orang lain untuk menceburi khidmat sebegini? “Menginjil di kawasan di mana orang sangat berminat terhadap kebenaran dan ingin belajar Bible setiap hari mendatangkan sukacita. Berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan merupakan keputusan terbaik yang telah saya buat!” kata Stephanie. Pada tahun 2014, Stephanie mengahwini Aaron, dan mereka kini berkhidmat di pejabat cawangan Ghana.

“Pengalaman ini memang bagus,” kata Christine, seorang perintis dari Jerman yang berusia awal 30-an. Christine berkhidmat di Bolivia sebelum berpindah ke Ghana. Dia berkata, “Oleh sebab berjauhan dengan keluarga, saya selalu bergantung pada Yehuwa dan Dia menjadi lebih nyata. Saya juga merasai perpaduan yang luar biasa dalam kalangan umat Yehuwa. Khidmat ini membuat hidup saya lebih bermakna.” Baru-baru ini, Christine mengahwini Gideon, dan mereka masih berkhidmat di Ghana.

Christine dan Gideon

Filip dan Ida memberitahu cara mereka membantu pelajar Bible membuat kemajuan. “Kami mempunyai 15 atau lebih pelajar Bible. Namun, kami hadkan bilangannya kepada 10 supaya dapat mengajar dengan lebih teliti.” Apakah hasilnya? Filip berkata, “Saya belajar dengan lelaki muda yang bernama Michael. Oleh sebab dia belajar setiap hari dan membuat persiapan dengan baik, kami menghabiskan buku Ajaran Bible dalam masa sebulan. Selepas itu, Michael menjadi penyiar yang belum dibaptis. Kali pertama dia keluar menginjil, dia menanya saya, ‘Bolehkah kamu membantu pelajar Bible saya?’ Saya sangat terkejut. Michael menjelaskan bahawa dia telah memulakan tiga pembelajaran Bible dan memerlukan bantuan untuk mengajar mereka.” Bayangkanlah, pengajar Bible begitu diperlukan sehingga pelajar Bible juga merupakan pengajar Bible!

Ida dan Filip

Amy dapat melihat bahawa terdapat keperluan yang besar di Ghana. Amy berkata, “Setelah sampai di Ghana, kami menginjil di perkampungan kecil dan mencari orang pekak. Kami menjumpai bukan satu sahaja, tetapi lapan orang pekak dalam sebuah kampung!” Sekitar masa itu, Amy mengahwini Eric, dan mereka berdua berkhidmat sebagai perintis khas. Mereka membantu sidang bahasa isyarat. Di Ghana, terdapat lebih daripada 300 penyiar dan orang pekak yang berminat. Bagi George dan Adria, pengalaman di Ghana membantu mereka berasa seperti mubaligh. Mereka sangat gembira apabila dijemput ke Sekolah Gilead kelas yang ke-126! Kini, mereka berkhidmat sebagai mubaligh di Mozambique.

DIDORONG OLEH KASIH

Kita bersukacita melihat banyak saudara saudari dari negara lain yang bekerja keras dengan saudara saudari tempatan dalam kerja ‘tuaian.’ (Yoh. 4:35) Secara purata, 120 orang dibaptis di Ghana setiap minggu. Seperti 17 saudara saudari yang berpindah ke Ghana, beribu-ribu penginjil sedunia telah didorong oleh kasih kepada Yehuwa untuk “menolong dengan sukarela.” Mereka berkhidmat di tempat yang memerlukan penyiar. Sudah pasti, kerelaan mereka akan menyenangkan hati Yehuwa!—Mzm. 110:3; Ams. 27:11.

^ per. 9 Contohnya, lihat rencana “Bolehkah Anda ‘Datang ke Makedonia’?”—Kerja Teokratik Kita, Ogos 2011.