Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda Terus Bertumpu kepada Yehuwa?

Adakah Anda Terus Bertumpu kepada Yehuwa?

“Ya Tuhan, aku menengadah ke langit, ke arah takhta-Mu di syurga.”​—MZM. 123:1.

LAGU: 143, 124

1, 2. Apakah maksud bertumpu kepada Yehuwa?

KITA hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi,” dan masalah hidup akan semakin bertambah sebelum dunia lama ini digantikan dengan dunia baharu yang aman damai. (2 Tim. 3:1) Maka kita perlu tanya diri, “Daripada siapakah saya mencari bantuan dan bimbingan?” Kita mungkin segera menjawab, “Yehuwa,” dan itulah jawapan yang terbaik.

2 Namun, untuk mendapat bantuan Yehuwa, kita mesti bertumpu kepada-Nya. Apakah maksud bertumpu kepada Yehuwa? Bagaimanakah kita dapat terus berbuat demikian semasa menghadapi masalah hidup yang rumit dan mencabar? Berabad-abad dahulu, pemazmur menegaskan pentingnya bertumpu kepada Yehuwa semasa kita memerlukan bantuan. (Baca Mazmur 123:1-4.) Dia menulis bahawa kita berharap atau bertumpu kepada Yehuwa, sebagaimana seorang hamba berharap kepada tuannya. Apakah maksudnya? Seorang hamba bukan sahaja berharap kepada tuannya untuk mendapat makanan dan perlindungan, tetapi juga sentiasa peka terhadap kehendak tuannya dan bertindak untuk melaksanakan kehendak itu. Begitu juga, kita perlu mendalami Firman Tuhan setiap hari untuk mengetahui kehendak Yehuwa bagi kita. Kemudian, kita harus bertindak mengikut kehendak-Nya. Barulah Yehuwa akan membantu kita ketika kita memerlukan pertolongan-Nya.​—Ef. 5:17.

3. Apakah yang dapat menghalang kita daripada bertumpu kepada Yehuwa?

3 Kita tahu akan pentingnya bertumpu kepada Yehuwa. Namun ada kalanya perhatian kita mungkin tersimpang. Itulah yang berlaku kepada Marta, sahabat baik Yesus. Dia “tidak dapat menumpukan perhatiannya kerana dia sibuk menguruskan banyak kerja.” (Luk. 10:40-42) Jika hal itu dapat berlaku kepada orang yang setia seperti Marta semasa Yesus berada bersamanya, kita pun tidak terkecuali. Jadi, apakah yang dapat menghalang kita daripada bertumpu kepada Yehuwa? Rencana ini akan membincangkan bagaimana perbuatan orang lain dapat mengalihkan perhatian kita, dan bagaimana kita dapat terus bertumpu kepada Yehuwa.

SEORANG LELAKI YANG SETIA KEHILANGAN PELUANG ISTIMEWANYA

4. Mengapakah kita mungkin tidak sangka bahawa Musa akan kehilangan peluang untuk memasuki Tanah yang Dijanjikan?

4 Musa ialah seorang yang bergantung pada bimbingan Yehuwa. Dia “tetap teguh seolah-olah dia dapat melihat Tuhan yang tidak kelihatan.” (Baca Ibrani 11:24-27.) Bible juga menyatakan bahawa “tidak ada nabi lain seperti Musa di Israel; Yehuwa mempunyai hubungan yang begitu akrab dengannya.” (Ul. 34:10) Meskipun begitu, Musa kehilangan peluang untuk memasuki Tanah yang Dijanjikan. (Bil. 20:12) Apakah yang terjadi?

5-7. Apakah masalah yang timbul tidak lama selepas orang Israel meninggalkan Mesir? Apakah yang dilakukan Musa?

5 Tidak sampai dua bulan setelah orang Israel meninggalkan Mesir, sebelum mereka tiba di Gunung Sinai, masalah yang besar timbul. Orang Israel mula mengadu kerana kekurangan air. Mereka bersungut-sungut terhadap Musa dan begitu marah sehingga Musa berseru kepada Yehuwa, “Apakah yang harus aku lakukan terhadap umat ini? Tidak lama lagi mereka akan merejam aku!” (Kel. 17:4) Yehuwa memberi Musa arahan yang jelas. Musa harus memukul batu di Horeb dengan tongkatnya, lalu air akan memancar keluar. Bible menyatakan, “Musa berbuat demikian di hadapan para pemimpin orang Israel.” Kemudian, umat itu minum sehingga puas, maka selesailah masalah itu.​—Kel. 17:5, 6.

6 Bible menyatakan bahawa Musa “menamakan tempat itu Masah dan Meriba kerana orang Israel bertengkar dengannya, dan kerana mereka menguji Yehuwa dengan bertanya, ‘Adakah Yehuwa menyertai kita atau tidak?’” (Kel. 17:7) Dua nama itu memang sesuai kerana bermaksud “Ujian” dan “Bertengkar.”

7 Apakah perasaan Yehuwa terhadap peristiwa di Meriba? Bagi Yehuwa, orang Israel bukan sekadar memberontak terhadap Musa, malah mereka mencabar kedudukan-Nya sebagai Tuhan. (Baca Mazmur 95:8, 9.) Orang Israel telah melakukan kesalahan besar. Namun, Musa mengambil tindakan yang betul. Dia bertumpu kepada Yehuwa dan mengikut arahan-Nya dengan teliti.

8. Apakah masalah yang timbul pada penghujung perjalanan orang Israel di padang belantara?

8 Kira-kira 40 tahun kemudian, apabila perjalanan orang Israel di padang belantara hampir tamat, masalah yang serupa timbul lagi. Orang Israel berada di Meriba, tetapi Meriba ini terletak berhampiran Kades di sempadan Tanah yang Dijanjikan. * Sekali lagi, mereka mengadu kerana kekurangan air. (Bil. 20:1-5) Tetapi kali ini, Musa melakukan kesilapan besar.

9. Apakah arahan yang diberikan kepada Musa? Namun, apakah yang dilakukannya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

9 Apakah reaksi Musa terhadap pemberontakan itu? Sekali lagi, dia bertumpu kepada Yehuwa dan menantikan arahan-Nya. Namun kali ini, Yehuwa tidak menyuruhnya memukul batu. Musa disuruh mengambil tongkatnya, mengumpulkan umat Israel di depan bukit batu, dan bercakap kepada bukit batu itu. (Bil. 20:6-8) Tetapi Musa tidak bercakap kepada bukit batu itu. Sebaliknya dia melepaskan geram dan berteriak kepada umat Israel, “Dengarlah, hai pemberontak! Haruskah kami mengeluarkan air daripada bukit batu ini untuk kamu?” Kemudian, Musa memukul bukit batu itu, bukan sekali tetapi sebanyak dua kali.​—Bil. 20:10, 11.

10. Apakah reaksi Yehuwa terhadap perbuatan Musa?

10 Yehuwa sangat murka dengan Musa. (Ul. 1:37; 3:26) Mengapa? Beberapa faktor mungkin terlibat. Seperti yang disebut tadi, Yehuwa mungkin murka kerana Musa tidak mematuhi arahan baharu yang diberikan.

11. Dengan memukul batu itu, bagaimanakah Musa mungkin menyebabkan orang Israel berfikir bahawa Yehuwa tidak melakukan mukjizat?

11 Terdapat satu lagi kemungkinan. Batu-batu di Meriba yang pertama merupakan batu granit yang keras. Tidak kira bagaimana batu granit dipukul, air tidak mungkin keluar daripadanya. Namun, batu-batu di Meriba yang kedua kebanyakannya batu kapur yang lebih lembut. Batu kapur mempunyai liang, maka kawasan bukit batu kapur biasanya mempunyai takungan air di bawah tanah. Jadi dengan memukul batu itu sebanyak dua kali dan bukannya bercakap kepada batu itu, adakah Musa mengurangkan unsur keajaiban daripada mukjizat yang dilakukan Yehuwa? Adakah dia membuat orang Israel fikir bahawa air itu keluar dengan semula jadi dan bukannya kerana Yehuwa? * Kita tidak pasti.

CARA MUSA MEMBERONTAK

12. Apakah satu lagi sebab yang mungkin menyebabkan Yehuwa murka terhadap Musa dan Harun?

12 Ada satu lagi sebab yang mungkin menyebabkan Yehuwa murka terhadap Musa dan Harun. Perhatikan kata-kata Musa kepada orang Israel, “Haruskah kami mengeluarkan air daripada bukit batu ini untuk kamu?” Dengan menggunakan perkataan “kami,” Musa mungkin merujuk kepada dirinya dan Harun. Kata-katanya menunjukkan bahawa dia tidak menghormati Yehuwa sebagai Sumber mukjizat itu. Mazmur 106:32, 33 mengesahkan hal ini dengan menyatakan, “Mereka membuat Tuhan marah di Sumber Air Meriba, dan Musa ditimpa kesusahan kerana perbuatan mereka itu. Mereka membuat Musa begitu marah, sehingga dia bercakap tanpa berfikir.” * (Bil. 27:14) Musa tidak memberi Yehuwa kemuliaan yang patut diterima-Nya. Maka Yehuwa memberitahu Musa dan Harun, “Kamu berdua tidak mematuhi perintah yang Kuberikan.” (Bil. 20:24) Ya, mereka melakukan dosa yang serius kerana memberontak terhadap Tuhan!

13. Mengapakah cara Yehuwa menghukum Musa adil dan patut?

13 Sebagai pemimpin dalam kalangan umat Yehuwa, Musa dan Harun memikul tanggungjawab yang lebih besar di hadapan Tuhan. (Luk. 12:48) Sebelum itu, Yehuwa tidak mengizinkan satu generasi orang Israel memasuki negeri Kanaan kerana mereka memberontak dan melawan-Nya. (Bil. 14:26-30, 34) Maka, memang adil dan patut bagi Yehuwa untuk memberikan hukuman yang sama apabila Musa melawan perintah-Nya. Seperti para pemberontak lain, Musa tidak dibenarkan memasuki Tanah yang Dijanjikan.

PUNCA MASALAHNYA

14, 15. Apakah yang menyebabkan Musa memberontak?

14 Apakah yang menyebabkan Musa memberontak? Perhatikan Mazmur 106:32, 33 sekali lagi: “Mereka membuat Tuhan marah di Sumber Air Meriba, dan Musa ditimpa kesusahan kerana perbuatan mereka itu. Mereka membuat Musa begitu marah, sehingga dia bercakap tanpa berfikir.” Orang Israel memberontak terhadap Yehuwa, tetapi Musa pula yang naik marah. Dia hilang kawalan diri dan bercakap dengan melulu.

15 Musa membiarkan tindakan orang lain menghalangnya daripada bertumpu kepada Yehuwa. Kali pertama orang Israel bersungut tentang air, Musa menanganinya dengan baik. (Kel. 7:6) Namun, setelah menghabiskan puluhan tahun bersama bangsa yang suka melawan itu, Musa mungkin sudah penat dan tidak tahan lagi dengan mereka. Barangkali, dia hanya bertumpu kepada perasaan sendiri dan bukannya bagaimana dia dapat memuliakan Yehuwa.

16. Mengapakah kita harus memikirkan perbuatan Musa?

16 Jika nabi yang begitu setia seperti Musa pun tersimpang dan tersandung, hal yang sama dapat menimpa kita dengan mudah. Seperti Musa, kita bakal memasuki dunia baharu yang dijanjikan Yehuwa. (2 Ptr. 3:13) Kita tidak ingin kehilangan peluang keemasan itu, jadi kita mesti terus bertumpu kepada Yehuwa dan sentiasa berusaha melakukan kehendak-Nya. (1 Yoh. 2:17) Apakah iktibar yang dapat kita ambil daripada kesilapan Musa?

JANGAN TERSIMPANG AKIBAT PERBUATAN ORANG LAIN

17. Apakah yang dapat dilakukan supaya kita tidak hilang kawalan semasa marah?

17 Jangan hilang kawalan semasa marah. Biarpun masalah yang sama asyik berulang, “teruslah berbuat baik tanpa berputus asa. Jika kita tidak berputus asa, kita akan menuai hasilnya pada waktu yang ditetapkan.” (Gal. 6:9; 2 Tes. 3:13) Jika ada sesuatu atau seseorang yang selalu membuat kita geram, adakah kita akan mengawal mulut dan perasaan sendiri? (Ams. 10:19; 17:27; Mat. 5:22) Semasa orang lain menyinggung perasaan kita, belajarlah untuk menghormati Yehuwa dan ‘membiarkan Tuhan memperlihatkan kemurkaan-Nya.’ (Baca Roma 12:17-21.) Bertumpulah kepada Yehuwa dan nantikan-Nya dengan sabar untuk bertindak pada masa yang ditentukan-Nya. Jika kita naik marah dan mencuba membalas dendam, kita tidak menghormati Yehuwa.

18. Apakah yang harus kita ingat tentang arahan yang diberikan?

18 Ikut arahan terkini dengan teliti. Adakah kita mengikut arahan terkini daripada Yehuwa dengan setia? Janganlah sekadar bertindak mengikut cara yang biasa kita gunakan dahulu. Sebaliknya, hendaklah kita rela mematuhi apa sahaja arahan baharu yang diberi Yehuwa melalui organisasi-Nya. (Ibr. 13:17) Pada masa yang sama, “janganlah lakukan sesuatu yang melebihi apa yang tertulis.” (1 Kor. 4:6) Dengan berbuat demikian, kita sedang bertumpu kepada Yehuwa.

Apakah yang dapat kita pelajari daripada reaksi Musa terhadap kesilapan orang lain? (Lihat perenggan 19)

19. Apakah yang dapat dilakukan supaya kesilapan orang lain tidak merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa?

19 Jangan membiarkan kesilapan orang lain merosakkan hubungan anda dengan Yehuwa. Jika kita terus bertumpu kepada Yehuwa, kita tidak akan membenarkan perbuatan orang lain untuk membuat kita marah atau merosakkan persahabatan kita dengan Yehuwa. Hal itu sangat penting terutamanya jika kita memikul tanggungjawab dalam organisasi Tuhan seperti Musa. Memang benar, kita masing-masing perlu ‘berusaha agar diselamatkan dan terus melakukan hal itu dengan rasa takut dan hormat.’ (Flp. 2:12) Namun, ingatlah bahawa Yehuwa tidak menetapkan syarat yang sama bagi setiap orang. Sebaliknya, semakin banyak tanggungjawab yang kita pikul, semakin banyak yang dikehendaki oleh Yehuwa daripada kita. (Luk. 12:48) Jika kita benar-benar mengasihi Yehuwa, tiada apa-apa yang akan membuat kita tersandung atau memisahkan kita daripada kasih-Nya.​—Mzm. 119:165; Rm. 8:37-39.

20. Apakah seharusnya tekad kita?

20 Sambil mengharungi waktu yang mencabar ini, semoga kita terus bertumpu kepada Yehuwa yang bertakhta di syurga, supaya kita mengetahui kehendak-Nya. Janganlah sekali-kali mengizinkan tindakan orang lain menjejaskan hubungan kita dengan Yehuwa. Biarlah pengajaran daripada kisah Musa tertanam dalam hati dan minda kita. Daripada menjadi tidak seimbang akibat ketidaksempurnaan orang lain, bertekadlah untuk ‘berharap kepada Yehuwa, Tuhan kita, dan menantikan perkenan-Nya.’​—Mzm. 123:1, 2.

^ per. 8 Meriba yang pertama terletak dekat Rafidim, dan juga dipanggil Masah. Meriba yang kedua pula terletak dekat Kades. Kedua-dua tempat itu dipanggil Meriba kerana pertengkaran yang berlaku di situ.​—Lihat peta dalam Lampiran B3 dalam Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu.

^ per. 11 Profesor John A. Beck menyatakan, “Menurut tradisi orang Yahudi, para pemberontak mengkritik Musa dengan berkata, ‘Musa tahu jenis batu ini! Jika dia ingin menunjukkan kuasanya, biarlah dia membuat air memancar daripada batu yang lain.’” Namun, itu hanyalah cerita tradisi.

^ per. 12 Lihat “Questions From Readers” dalam The Watchtower terbitan 15 Oktober 1987.