Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kita Milik Yehuwa

Kita Milik Yehuwa

“Berbahagialah bangsa yang mengakui Yehuwa sebagai Tuhan mereka! Berbahagialah bangsa yang dipilih sebagai milik-Nya!”​—MZM. 33:12.

LAGU: 40, 50

1. Mengapakah Yehuwa ialah Pemilik segala-galanya? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

YEHUWA memiliki segala-galanya! “Langit dan segala sesuatu di langit, serta bumi dan segala sesuatu di bumi, merupakan milik Yehuwa.” (Ul. 10:14; Why. 4:11) Yehuwa juga menciptakan manusia, jadi mereka semua pun milik-Nya. (Mzm. 100:3) Namun, sepanjang sejarah manusia, terdapat sesetengah orang yang dipilih untuk menjadi milik Tuhan dalam erti yang istimewa.

2. Menurut Bible, siapakah yang dipilih sebagai milik Yehuwa dalam erti yang istimewa?

2 Sebagai contoh, Mazmur 135 menggambarkan penyembah Yehuwa pada zaman Israel kuno sebagai “milik-Nya yang khas.” (Mzm. 135:4) Buku Hosea juga menubuatkan bahawa sesetengah orang bukan Israel akan menjadi umat Yehuwa. (Hos. 2:23) Nubuat itu berlaku ketika Yehuwa mula memilih orang bukan Yahudi untuk memerintah bersama Kristus. (Kis. 10:45; Rm. 9:23-26) Orang Kristian yang diurapi dengan kuasa suci akan hidup di syurga. Mereka merupakan sebuah “bangsa yang suci,” yang “dijadikan milik Tuhan.” (1 Ptr. 2:9, 10) Bagaimana pula dengan orang Kristian yang berpeluang hidup kekal di bumi? Yehuwa menggelar mereka sebagai “umat pilihan-Ku.”​—Yes. 65:22.

3. (a) Siapakah yang memiliki hubungan istimewa dengan Yehuwa hari ini? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Hari ini, “kawanan kecil” yang akan pergi ke syurga dan “biri-biri lain” yang akan hidup di bumi, menyembah Yehuwa sebagai “satu kawanan.” (Luk. 12:32; Yoh. 10:16) Sudah tentu kita ingin bersyukur kepada Yehuwa kerana membolehkan kita menikmati hubungan yang istimewa dengan-Nya. Rencana ini akan membincangkan beberapa cara kita dapat mengungkapkan kesyukuran itu.

KITA MEMBAKTIKAN DIRI KEPADA YEHUWA

4. Bagaimanakah kita dapat bersyukur kepada Yehuwa kerana membolehkan kita menikmati hubungan istimewa dengan-Nya? Bagaimanakah Yesus melakukan hal yang sama?

4 Kita menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa semasa kita membaktikan seluruh hidup kita kepada-Nya. Semasa dibaptis, kita menyatakan di hadapan umum bahawa kita menjadi milik Yehuwa dan rela menuruti segala kehendak-Nya. (Ibr. 12:9) Itulah yang dilakukan Yesus semasa dia dibaptis. Meskipun dia lahir dalam bangsa yang telah dibaktikan kepada Tuhan, dia telah mempersembahkan dirinya kepada Yehuwa dan seolah-olah memberitahu-Nya, “Ya Tuhanku, aku ingin melakukan kehendak-Mu.”—Mzm. 40:7, 8, nota kaki.

5, 6. (a) Apakah perasaan Yehuwa semasa Yesus dibaptis? (b) Gunakan contoh untuk menjelaskan bahawa Yehuwa menghargai pembaktian kita walaupun Dia sudah memiliki segala-galanya.

5 Apakah perasaan Yehuwa semasa Yesus dibaptis? Bible menyatakan, “Selepas Yesus dibaptis, dia segera keluar dari air. Tiba-tiba, langit terbuka, dan Yohanes nampak kuasa suci Tuhan turun seperti burung merpati ke atasnya. Kemudian kedengaran suara dari langit yang berkata, ‘Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.’” (Mat. 3:16, 17) Yesus memang milik Yehuwa sejak dahulu lagi, tetapi Yehuwa sangat gembira kerana Anak-Nya sudi menyembah-Nya sahaja. Begitu juga, Yehuwa sangat gembira semasa kita membaktikan diri kepada-Nya, dan Dia pasti memberkati kita.​—Mzm. 149:4.

6 Sebagai contoh, bayangkan seorang bapa yang mempunyai banyak bunga yang cantik di tamannya. Suatu hari, anak perempuannya memetik sekuntum bunga dari tamannya lalu menghadiahkan bunga itu kepadanya. Walaupun bunga itu diambil dari tamannya, bapa itu masih sangat gembira kerana hadiah itu ialah bukti akan kasih anaknya. Dalam matanya, bunga yang dihadiahkan anaknya jauh lebih bernilai daripada semua bunga yang lain di tamannya. Itulah perasaan Yehuwa semasa kita rela membaktikan seluruh hidup kita kepada-Nya.​—Kel. 34:14.

7. Bagaimanakah Maleakhi menggambarkan perasaan Yehuwa terhadap orang yang menyembah-Nya dengan rela hati?

7 Baca Maleakhi 3:16. Jika anda belum lagi membaktikan diri dan dibaptis, renungkanlah mengapa langkah itu penting. Memang benar, pada saat anda wujud, anda sudah menjadi milik Yehuwa, begitu juga dengan setiap insan di bumi. Namun, bayangkan betapa gembiranya Yehuwa jika anda tunduk kepada kedaulatan-Nya dan membaktikan diri untuk melakukan kehendak-Nya. (Ams. 23:15) Jika kita rela menyembah Yehuwa, Dia akan mengenali kita dan mencatatkan nama kita dalam “sebuah kitab peringatan.”

8, 9. Apakah yang mesti dilakukan jika kita ingin nama kita ditulis dalam “kitab peringatan” Yehuwa?

8 Jika kita ingin nama kita ditulis dalam “kitab peringatan” Yehuwa, catatan Maleakhi menyatakan bahawa kita mesti ‘takut akan Yehuwa dan merenungkan nama-Nya.’ Sekiranya kita menyembah sesiapa atau apa-apa selain Yehuwa, nama kita akan dihapuskan daripada kitab kehidupan Yehuwa.​—Kel. 32:33; Mzm. 69:28.

9 Oleh itu, membaktikan diri kepada Yehuwa bukan sekadar berjanji untuk melakukan kehendak-Nya dan dibaptis. Semua itu dapat dilakukan dalam masa yang singkat lalu menjadi peristiwa silam. Untuk berpihak kepada Yehuwa dan tetap menjadi umat-Nya, kita perlu mematuhi-Nya selagi kita bernyawa, baik sekarang mahupun pada masa depan.​—1 Ptr. 4:1, 2.

KITA MENOLAK KEINGINAN DUNIAWI

10. Apakah perbezaan yang mesti wujud antara orang yang menyembah Yehuwa dengan orang yang tidak menyembah-Nya?

10 Dalam rencana sebelumnya, kita telah membincangkan kisah Kain, Salomo, dan orang Israel. Mereka mengaku menyembah Yehuwa, tetapi tidak setia kepada-Nya. Contoh-contoh itu menegaskan bahawa orang yang menjadi milik Yehuwa mesti mencintai apa yang baik dan membenci apa yang jahat. (Rm. 12:9) Setelah menyebut tentang “kitab peringatan” dalam buku Maleakhi, Yehuwa menyatakan bahawa akan adanya ‘perbezaan antara orang baik dengan orang jahat, serta antara orang yang menyembah-Nya dengan yang tidak.’​—Mal. 3:18.

11. Mengapakah orang lain harus dapat melihat dengan jelas bahawa kita telah membaktikan diri dengan sepenuhnya kepada Yehuwa?

11 Terdapat satu lagi cara untuk menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa kerana memilih kita sebagai umat-Nya. Kita perlu membiarkan kemajuan rohani kita “dilihat dengan jelas oleh semua orang.” (1 Tim. 4:15; Mat. 5:16) Tanyalah diri, “Dapatkah orang lain nampak bahawa saya memiliki kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Yehuwa? Adakah saya mencari peluang untuk memberitahu orang bahawa saya ialah Saksi-Saksi Yehuwa?” Yehuwa pasti sangat sedih jika kita keberatan untuk memberitahu orang lain bahawa kita merupakan milik-Nya.​—Mzm. 119:46; baca Markus 8:38.

Adakah gaya hidup anda menunjukkan dengan jelas bahawa anda ialah Saksi-Saksi Yehuwa? (Lihat perenggan 12, 13)

12, 13. Apakah yang dilakukan sesetengah orang sehingga identiti mereka sebagai Saksi menjadi kurang jelas?

12 Sedihnya, sesetengah penyembah Yehuwa mengikut “kecenderungan mental dunia” yang bertumpu kepada ‘hal-hal yang diingini tubuh.’ (1 Kor. 2:12; Ef. 2:3) Akibatnya, perbezaan antara mereka dengan orang yang tidak menyembah Tuhan menjadi agak kabur. Contohnya, meskipun kita telah diingatkan berkali-kali tentang pakaian dan dandanan, masih ada sebilangan Saksi yang berpakaian ketat dan menjolok mata, bahkan di pertemuan Kristian. Ada juga yang menggayakan rambut dengan cara yang ekstrem. (1 Tim. 2:9, 10) Akibat itu, orang lain mungkin susah untuk mengenal pasti sama ada mereka itu milik Yehuwa atau “sahabat dunia.”​—Yak. 4:4.

13 Selain itu, sesetengah Saksi tidak menolak kelakuan duniawi. Contohnya, kelakuan dan tarian mereka di parti melanggar batas Kristian. Mereka memaparkan gambar atau membuat komen di media sosial yang tidak berpadanan dengan orang yang berfikiran rohani. Individu sedemikian mungkin tidak terjebak dalam dosa serius atau tidak diberi disiplin dalam sidang, tetapi mereka merupakan pengaruh negatif kepada rakan sebaya yang berusaha memelihara kelakuan yang murni.​—Baca 1 Petrus 2:11, 12.

Janganlah dipengaruhi oleh orang yang tidak berpihak sepenuhnya kepada Yehuwa

14. Apakah yang mesti kita lakukan untuk memelihara hubungan istimewa kita dengan Yehuwa?

14 Pengaruh dunia ini membuat orang berfokus kepada “keinginan tubuh yang berdosa, keinginan mata, dan sikap suka menunjuk-nunjukkan harta milik sendiri.” (1 Yoh. 2:16) Namun, oleh sebab kita ialah milik Yehuwa, kita perlu “menolak keinginan duniawi dan segala sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Tuhan.” Kita juga perlu “menunjukkan fikiran yang sihat, melakukan apa yang benar, dan mengabdikan diri kepada Tuhan, sementara kita hidup dalam sistem dunia ini.” (Tit. 2:12) Segala hal yang kita lakukan, termasuk tutur kata, pakaian dan dandanan, tabiat makan dan minum, dan sikap terhadap kerja, harus menunjukkan dengan jelas bahawa kita sudah membaktikan diri dengan sepenuhnya kepada Yehuwa.​—Baca 1 Korintus 10:31, 32.

“KASIHILAH SATU SAMA LAIN DENGAN MENDALAM”

15. Mengapakah kita harus menunjukkan kasih dan kebaikan hati kepada rakan seiman?

15 Cara kita melayan rakan seiman mencerminkan penghargaan kita terhadap persahabatan kita dengan Yehuwa. Jika kita selalu ingat bahawa saudara saudari kita juga milik Yehuwa, kita akan sentiasa menunjukkan kasih dan kebaikan hati kepada mereka. (1 Tes. 5:15) Yesus memberitahu para pengikutnya, “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.”​—Yoh. 13:35.

16. Bagaimanakah peraturan dalam Hukum Musa menunjukkan perasaan Yehuwa terhadap umat-Nya?

16 Peraturan dalam Hukum Musa dapat membantu kita memahami bagaimana kita sepatutnya melayan satu sama lain. Perkakas dalam Rumah Yehuwa hanya boleh digunakan untuk ibadat sejati, dan terdapat peraturan yang terperinci untuk menjaga semua perkakas itu. Sesiapa yang melanggar peraturan itu akan dihukum mati. (Bil. 1:50, 51) Jika barang yang digunakan dalam ibadat pun begitu penting bagi Yehuwa, apatah lagi dengan para penyembah-Nya yang telah membaktikan diri sebagai umat-Nya! Yehuwa memberitahu umat-Nya, “Sesiapa yang menyentuh kamu, menyentuh biji mata-Ku.”​—Za. 2:8.

17. Apakah yang diperhatikan Yehuwa?

17 Maleakhi juga menulis bahawa Yehuwa “mendengar dengan penuh perhatian” dan memperhatikan bagaimana umat-Nya melayan satu sama lain. (Mal. 3:16) Yehuwa “mengenal mereka yang merupakan milik-Nya.” (2 Tim. 2:19) Dia mengetahui setiap perbuatan dan kata-kata kita. (Ibr. 4:13) Oleh itu, Dia akan tahu jika kita tidak melayan rakan seiman dengan baik hati. Tetapi apabila kita bersikap ramah, bermurah hati, rela memaafkan, dan baik hati terhadap mereka, Yehuwa juga memperhatikan usaha kita.​—Ibr. 13:16; 1 Ptr. 4:8, 9.

“YEHUWA TIDAK AKAN MENINGGALKAN UMAT-NYA”

18. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai penghormatan untuk menjadi umat Yehuwa?

18 Kita tentu ingin menunjukkan kepada Yehuwa bahawa kita menghargai penghormatan untuk menjadi umat-Nya. Kita sedar bahawa membaktikan diri dan menjadi milik-Nya merupakan tindakan yang bijak. Walaupun kita hidup “dalam kalangan generasi yang jahat dan menyeleweng,” kita ingin menunjukkan bahawa kita “tulus dan murni, . . . [dan] bersinar seperti cahaya di dalam dunia ini.” (Flp. 2:15) Kita bertekad untuk menolak apa sahaja yang jahat. (Yak. 4:7) Selain itu, kita mengasihi dan menghormati rakan seiman kita kerana mereka juga merupakan milik Yehuwa.​—Rm. 12:10.

19. Bagaimanakah Yehuwa memberkati mereka yang menjadi milik-Nya?

19 Bible menyatakan, “Yehuwa tidak akan meninggalkan umat-Nya.” (Mzm. 94:14) Janji ini tetap kukuh dan terjamin tidak kira apa yang terjadi. Bahkan maut pun tidak dapat memisahkan kita daripada kasih Yehuwa. (Rm. 8:38, 39) “Jika kita hidup, kita hidup untuk Yehuwa. Jika kita mati, kita mati untuk Yehuwa. Sama ada kita hidup atau mati, kita milik Yehuwa.” (Rm. 14:8) Kita menanti-nantikan masanya Yehuwa membangkitkan semua sahabat-Nya yang telah meninggal. (Mat. 22:32) Bahkan pada masa kini, kita dikurniai banyak berkat. Sesungguhnya, “berbahagialah bangsa yang mengakui Yehuwa sebagai Tuhan mereka! Berbahagialah bangsa yang dipilih sebagai milik-Nya!”​—Mzm. 33:12.