Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pupuklah Belas Kasihan terhadap “Segala Macam Orang”

Pupuklah Belas Kasihan terhadap “Segala Macam Orang”

SEMASA mengajar murid-muridnya cara menyebarkan berita baik, Yesus menyatakan bahawa bukan semua orang akan rela mendengar. (Luk. 10:3, 5, 6) Sesetengah orang mungkin bersikap kasar dan bahkan bertindak ganas terhadap kita. Reaksi sebegini mungkin membuat kita berasa susah untuk terus berbelas kasihan terhadap orang di kawasan penyebaran.

Orang yang berbelas kasihan akan peka terhadap keperluan dan kesusahan orang lain, mengasihani mereka, dan ingin membantu mereka. Jika kita tidak lagi berbelas kasihan terhadap orang di kawasan penyebaran, semangat dan kecekapan kita semasa menginjil mungkin mula berkurang. Sebagaimana oksigen dapat memarakkan api, sifat belas kasihan dapat memarakkan semangat kita untuk menginjil.​—1 Tes. 5:19.

Bagaimanakah kita dapat memupuk belas kasihan, bahkan semasa kita berasa susah untuk melakukannya? Mari kita memikirkan contoh Yehuwa, Yesus, dan Rasul Paulus.

TIRULAH BELAS KASIHAN YEHUWA

Nama Yehuwa telah dicela selama ribuan tahun. Namun, Dia tetap “baik hati bahkan terhadap orang yang tidak tahu bersyukur dan orang yang jahat.” (Luk. 6:35) Bagaimanakah Tuhan menunjukkan kebaikan hati-Nya? Dia bersabar terhadap semua orang kerana ingin “segala macam orang” diselamatkan. (1 Tim. 2:3, 4) Walaupun Tuhan membenci kejahatan, Dia menghargai nyawa manusia dan tidak mahu sesiapa pun dibinasakan.​—2 Ptr. 3:9.

Yehuwa tahu bahawa Syaitan telah membutakan ramai orang. (2 Kor. 4:3, 4) Mereka mungkin susah menerima kebenaran kerana diajar kepercayaan dan sikap yang salah sejak kecil lagi. Namun, Yehuwa ingin membantu mereka. Bagaimanakah kita tahu?

Fikirkan pandangan Yehuwa terhadap orang Niniwe. Meskipun mereka sangat ganas, Tuhan memberitahu Yunus, ‘Tidak patutkah Aku berasa kasihan terhadap Niniwe, kota besar itu? Ada lebih daripada 120,000 orang di kota itu yang tidak tahu membezakan apa yang benar daripada apa yang salah.’ (Yun. 4:11) Ya, Yehuwa mengasihani orang Niniwe yang tidak mengenali-Nya, maka Dia mengutus Yunus untuk memberi mereka amaran.

Kita ingin meniru Yehuwa dan menghargai nyawa manusia. Kita mahu membantu sesiapa sahaja untuk mengenali-Nya, walaupun mereka nampaknya tidak berminat.

TIRULAH BELAS KASIHAN YESUS

Seperti Bapanya, Yesus juga mengasihani orang yang “ditindas dan diabaikan seperti biri-biri tanpa gembala.” (Mat. 9:36) Yesus memahami penyebab di sebalik situasi mereka​—mereka diajar hal yang salah dan ditindas oleh para pemimpin agama. Meskipun Yesus tahu bahawa ramai antara mereka tidak akan menjadi pengikutnya atas pelbagai sebab, dia masih “mengajar mereka banyak hal.”​—Mrk. 4:1-9.

Janganlah kecewa jika seseorang tidak berminat pada mulanya

Keadaan hidup orang dapat berubah, begitu juga dengan sikap mereka terhadap kebenaran

Semasa orang tidak ingin mendengar mesej kita, cubalah memahami sebab di sebalik reaksi mereka. Ada yang berpandangan negatif terhadap Bible atau agama Kristian kerana kelakuan buruk sesetengah pihak yang mengaku diri Kristian. Ada pula yang diberitahu maklumat palsu tentang kepercayaan kita. Ada yang risau mereka akan diejek oleh ahli masyarakat atau ahli keluarga jika mereka menyambut kita dengan mesra.

Sesetengah orang tidak sudi menyambut berita baik akibat parut emosi daripada pengalaman ngeri mereka. Seorang saudari mubaligh bernama Kim berkata, “Ramai penduduk di sebuah tempat dalam kawasan kami ialah mangsa perang. Setelah kehilangan segala-galanya, mereka putus harapan, kecewa, dan susah mempercayai orang. Di tempat itu, kami sering menemui orang yang menentang berita baik. Pernah sekali, saya diserang semasa menginjil.”

Bagaimanakah Kim terus berbelas kasihan meskipun dilayan dengan buruk? Dia berkata, “Saya cuba ingat Amsal 19:11 yang menyatakan, ‘Orang yang berpengertian lambat naik marah.’ Apabila saya memikirkan latar belakang orang di kawasan kami, saya dibantu untuk memupuk belas kasihan terhadap mereka. Bukan semua orang di situ garang. Kami ada beberapa kunjungan kembali yang baik di kawasan itu juga.”

Kita dapat menanya diri, “Jika saya ialah penghuni rumah, bagaimanakah saya akan menyambut berita baik?” Sekiranya kita sering diberitahu hal yang salah tentang Saksi, kemungkinan besar kita akan menolak mesej itu dan perlu dilayan dengan belas kasihan, bukan? Ingatlah, Yesus menyuruh kita melayan orang sebagaimana kita ingin dilayan. Oleh itu, kita akan bertimbang rasa dan bersabar walaupun kita berasa susah untuk melakukannya.​—Mat. 7:12.

TIRULAH BELAS KASIHAN PAULUS

Rasul Paulus menunjukkan belas kasihan bahkan kepada orang yang menentangnya dengan kuat. Mengapa? Dia ingat akan sikapnya dahulu. Paulus berkata, “Dahulu aku menghina Tuhan, menganiaya umat-Nya, dan bersikap biadab. Walau bagaimanapun, belas kasihan telah ditunjukkan kepadaku, kerana pada waktu itu aku tidak sedar akan perbuatanku dan kerana aku tidak beriman.” (1 Tim. 1:13) Dia sedar bahawa Yehuwa dan Yesus telah menunjukkan belas kasihan yang besar kepadanya, dan sikap para penentang mungkin mengingatkannya tentang dirinya yang dahulu.

Apakah reaksi Paulus semasa melihat kepercayaan palsu yang berurat berakar? Kisah 17:16 melaporkan bahawa semasa di Atena, Paulus “berasa geram kerana melihat kota itu dipenuhi dengan berhala.” Namun begitu, Paulus telah menggunakan berhala yang menyebabkannya geram itu sebagai topik untuk memberikan kesaksian yang baik. (Kis. 17:22, 23) Dia menyesuaikan pendekatannya dengan latar belakang segala macam orang supaya ‘dengan segala cara dia dapat menyelamatkan beberapa orang.’​—1 Kor. 9:20-23.

Semasa berjumpa dengan orang yang bersikap negatif atau yang berpegang pada kepercayaan palsu, bagaimanakah kita dapat meniru Paulus? Gunakanlah pengetahuan yang kita ada tentang mereka sebagai asas untuk memperkenalkan “berita baik tentang sesuatu yang lebih baik.” (Yes. 52:7) Saudari Dorothy berkata, “Ramai di kawasan kami diajar bahawa Tuhan itu kejam dan suka menghakimi. Saya akan puji mereka kerana percaya kepada Tuhan dan kemudian menghalakan perhatian mereka kepada ajaran Bible tentang kasih Yehuwa dan janji-Nya.”

“TERUSLAH KALAHKAN KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN”

Apabila penghujung “hari-hari terakhir” semakin dekat, sikap sebilangan orang di kawasan penyebaran “akan menjadi semakin jahat.” (2 Tim. 3:1, 13) Meskipun begitu, janganlah kehilangan belas kasihan atau sukacita kita. Yehuwa dapat memberi kita kekuatan untuk ‘terus mengalahkan kejahatan dengan kebaikan.’ (Rm. 12:21) Jessica, seorang perintis, berkata, “Saya sering jumpa orang yang sombong. Mereka ejek kami dan mesej kami, dan hal itu mungkin buat saya marah. Semasa saya memulakan perbualan, saya akan berdoa dalam hati kepada Yehuwa dan meminta-Nya membantu saya memandang orang itu sebagaimana Dia memandangnya. Dengan itu, saya tidak akan berfokus kepada perasaan sendiri tetapi akan berfikir bagaimana saya dapat membantunya.”

Kita terus mencari orang yang memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal

Sesetengah orang akhirnya menerima kebenaran apabila kita terus membantu mereka dengan sabar

Kita juga perlu menggalakkan rakan seiman. Jessica berkata, “Jika salah seorang daripada kami ada pengalaman buruk, saya berusaha agar tidak bertumpu kepada hal itu. Saya akan bercakap tentang sesuatu yang positif, contohnya tentang bagaimana kerja menginjil membawa hasil yang baik meskipun sesetengah orang bersikap negatif terhadap kami.”

Yehuwa tahu benar cabaran yang kita hadapi semasa menginjil. Maka Dia pasti sangat gembira semasa kita meniru belas kasihan-Nya! (Luk. 6:36) Sudah pasti, belas kasihan Yehuwa ada hadnya. Dia tahu waktu yang tepat untuk mengakhiri sistem dunia ini. Sebelum waktu itu tiba, teruslah menginjil dengan perasaan mendesak. (2 Tim. 4:2) Teruslah melaksanakan tugas kita dengan bersemangat sambil berbelas kasihan terhadap “segala macam orang.”