Biskut untuk Anjing Terrier Saya
NICK, yang tinggal di Oregon, A.S., menulis, “Pada musim bunga tahun 2014, saya mula membawa dua ekor anjing terrier saya untuk bersiar-siar di pusat bandar. Saksi-Saksi Yehuwa biasanya berada di situ bersama rak kesaksian awam mereka. Mereka berpakaian kemas, dan mereka selalu senyum dengan mesra kepada orang yang lalu-lalang.
“Saksi-Saksi Yehuwa bukan sahaja baik kepada orang tetapi juga kepada anjing saya. Suatu hari, Elaine, yang berdiri berhampiran rak kesaksian, memberikan biskut kepada dua ekor anjing saya. Tidak lama kemudian, setiap kali saya lalu di situ, anjing saya akan menarik saya ke arah mereka untuk mendapatkan biskut.
“Untuk beberapa bulan seterusnya, dua anjing saya menikmati biskut, dan saya menikmati perbualan singkat dengan para Saksi. Namun, saya tidak mahu terlalu rapat dengan mereka. Saya sudah berumur lebih daripada 70 tahun, dan saya tidak berapa tahu tentang kepercayaan Saksi. Lagipun, saya pernah ikut gereja Protestan, dan saya rasa kecewa. Jadi, saya fikir lebih baik saya kaji Bible seorang diri.
“Semasa saya pergi ke kawasan lain di bandar, saya nampak Saksi-Saksi lain yang juga sedang menggunakan rak kesaksian awam. Mereka pun sangat mesra, dan mereka selalu guna Bible untuk menjawab soalan saya. Hasilnya, saya semakin mempercayai mereka.
“Suatu hari, Elaine tanya saya, ‘Adakah kamu percaya bahawa binatang adalah hadiah daripada Tuhan?’ Saya menjawab, ‘Ya, sudah tentu!’ Elaine pun mengongsikan ayat Bible di Yesaya 11:6-9 dengan saya. Sejak itu, saya mula berminat untuk belajar Bible. Namun, saya masih tidak mahu menerima bahan bacaan Saksi.
“Pada hari-hari berikutnya, saya menikmati perbualan yang singkat tetapi menarik bersama dengan Elaine dan suaminya, Brent. Mereka mencadangkan agar saya membaca buku Matius sehingga Kisah untuk memahami apa maksudnya menjadi orang Kristian sejati. Jadi saya pun melakukannya. Tidak lama selepas itu, pada musim panas tahun 2016, saya mula belajar Bible dengan Brent dan Elaine.
“Saya menikmati pembelajaran Bible saya dan perjumpaan setiap minggu. Saya sangat gembira kerana dapat mengetahui apa sebenarnya ajaran Bible. Maka, kira-kira setahun kemudian, saya telah dibaptis. Sekarang saya berumur 79 tahun, dan saya tahu saya sedang mengikut haluan yang benar. Yehuwa telah memberkati saya kerana mengizinkan saya menyertai keluarga antarabangsa-Nya.”