RENCANA PEMBELAJARAN 35
LAGU 123 Tunduk kepada Aturan Teokratik dengan Setia
Bantuan untuk Mereka yang Dikeluarkan daripada Sidang
“Seorang pendosa yang bertaubat akan mendatangkan sukacita yang lebih besar di syurga berbanding dengan 99 orang yang melakukan apa yang benar, yang tidak perlu bertaubat.”—LUK. 15:7.
FOKUS
Mengapa sesetengah orang perlu dikeluarkan daripada sidang dan bagaimana para penatua dapat membantu mereka untuk bertaubat dan berbaik semula dengan Yehuwa.
1-2. (a) Apakah pandangan Yehuwa terhadap dosa? (b) Yehuwa berharap pendosa melakukan apa?
YEHUWA tidak tutup sebelah mata terhadap dosa. (Mzm. 5:4-6) Dia mahu kita mematuhi standard-Nya yang tercatat dalam Bible. Sudah tentu, Yehuwa tidak mengharapkan kesempurnaan daripada manusia yang tidak sempurna. (Mzm. 130:3, 4) Pada masa yang sama, Dia tidak bertoleransi terhadap ‘orang yang tidak menghormati-Nya dan menjadikan kebaikan hati-Nya yang unggul sebagai alasan untuk melakukan perbuatan yang buruk tanpa rasa malu.’ (Yud. 4) Bible kata bahawa “orang yang tidak menghormati Tuhan” akan dibinasakan semasa perang Armagedon.—2 Ptr. 3:7; Why. 16:16.
2 Namun, Yehuwa tidak ingin seorang pun dibinasakan. Seperti yang sudah kita bincangkan dalam rencana-rencana sebelumnya, Bible jelas menyatakan bahawa Yehuwa “ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.” (2 Ptr. 3:9) Para penatua mahu meniru teladan Yehuwa. Maka dengan sabar, mereka akan berusaha membantu pendosa untuk berubah dan berbaik semula dengan Yehuwa. Namun, bukan semua pendosa sudi dibantu. (Yes. 6:9) Mereka terus berbuat dosa meskipun para penatua sudah berkali-kali cuba membantu mereka bertaubat. Jika begitu, apakah yang perlu para penatua lakukan?
KELUARKANLAH ORANG JAHAT
3. (a) Menurut Bible, apakah yang harus dilakukan terhadap pendosa yang enggan bertaubat? (b) Mengapakah kita dapat berkata bahawa pendosa itu sendiri yang memilih untuk dikeluarkan daripada sidang?
3 Jika seorang pendosa enggan bertaubat, para penatua mesti mengikut arahan di 1 Korintus 5:13 yang menyatakan bahawa orang jahat dalam kalangan kita harus dikeluarkan. Sebenarnya, pendosa itu sendiri yang memilih untuk dikeluarkan daripada sidang. Mengapakah kita berkata demikian? Dia sedang menuai apa yang ditanamnya sendiri. (Gal. 6:7) Dia enggan mengikut standard Yehuwa, dan dia enggan menerima bantuan para penatua untuk bertaubat. Maka, keputusannya menunjukkan bahawa dia memilih untuk dikeluarkan daripada sidang.—Ul. 30:19, 20; 2 Raj. 17:12-15.
4. Mengapakah pengumuman akan dibuat di sidang semasa seorang pendosa yang enggan bertaubat dikeluarkan daripada sidang?
4 Semasa seorang pendosa yang enggan bertaubat dikeluarkan daripada sidang, pengumuman akan dibuat di sidang bahawa dia bukan lagi seorang Saksi-Saksi Yehuwa. a Tujuan pengumuman itu dibuat bukanlah untuk memalukan pendosa itu, tetapi untuk memaklumkan hal itu kepada saudara saudari supaya mereka “tidak lagi bergaul” dengan orang itu dan ‘bahkan tidak makan bersama dengannya.’ (1 Kor. 5:9-11) Mengapakah Bible memberikan arahan ini? Rasul Paulus menulis, “Sedikit ragi membuat seluruh adunan naik.” (1 Kor. 5:6) Jika seorang pendosa yang enggan bertaubat dibenarkan terus berada dalam sidang, dia mungkin melemahkan tekad orang lain untuk mematuhi standard Yehuwa.—Ams. 13:20; 1 Kor. 15:33.
5. Apakah sepatutnya pandangan kita terhadap rakan seiman yang telah dikeluarkan daripada sidang? Mengapa?
5 Apakah sepatutnya pandangan kita terhadap rakan seiman yang telah dikeluarkan daripada sidang? Walaupun kita tidak lagi bergaul dengan mereka, kita menganggap mereka sebagai biri-biri yang sesat, dan bukannya kambing yang jahat. Biri-biri yang sesat masih berpeluang untuk kembali ke kawanan. Ingatlah, rakan seiman kita itu sudah membaktikan diri kepada Yehuwa. Biarpun dia berada dalam bahaya sekarang kerana tidak hidup selaras dengan ikrar pembaktiannya, selagi Yehuwa masih berbelas kasihan terhadapnya, kita berharap dia akan berubah. (Yeh. 18:31) Bagaimanakah para penatua dapat membantu pendosa yang telah dikeluarkan daripada sidang?
BAGAIMANA PARA PENATUA MEMBANTU MEREKA YANG DIKELUARKAN DARIPADA SIDANG
6. Apakah yang akan dilakukan oleh para penatua untuk membantu orang yang dikeluarkan daripada sidang?
6 Apabila seseorang dikeluarkan daripada sidang, adakah para penatua tidak lagi berusaha untuk membantunya kembali kepada Yehuwa? Tidak. Semasa jawatankuasa penatua memberitahu pendosa itu bahawa dia akan dikeluarkan daripada sidang, mereka juga akan menjelaskan langkah-langkah yang dapat diambilnya untuk kembali ke dalam sidang. Selain itu, biasanya para penatua akan memberitahu pendosa itu bahawa mereka ingin berjumpa dengannya lagi selepas beberapa bulan untuk melihat sama ada dia berubah hati atau tidak. Jika dia sudi bertemu lagi dengan para penatua, mereka akan berusaha menggalakkannya untuk bertaubat. Biarpun pada masa itu dia masih belum berubah hati, para penatua akan berusaha untuk berjumpa dengannya pada kesempatan lain.
7. Bagaimanakah para penatua meniru belas kasihan Yehuwa semasa membantu orang yang telah dikeluarkan daripada sidang? (Yeremia 3:12)
7 Para penatua berusaha meniru belas kasihan Yehuwa semasa membantu orang yang telah dikeluarkan daripada sidang. Sebagai contoh, Yehuwa mengambil inisiatif untuk membantu orang Israel yang suka memberontak, bahkan sebelum mereka bertaubat. Seperti yang dibincangkan dalam rencana kedua dalam majalah ini, Yehuwa menunjukkan betapa besarnya belas kasihan-Nya melalui contoh Nabi Hosea. Dia menyuruh Hosea untuk berbaik semula dengan isterinya yang masih berzina. (Hos. 3:1; Mal. 3:7) Dengan meniru teladan Yehuwa, para penatua menunjukkan bahawa mereka benar-benar ingin membantu si pendosa, dan bukannya membuatnya berasa susah untuk kembali kepada Yehuwa.—Baca Yeremia 3:12.
8. Bagaimanakah cerita Yesus tentang anak yang sesat membantu kita memahami perasaan Yehuwa terhadap orang yang dikeluarkan daripada sidang? (Lukas 15:7)
8 Fikir kembali cerita Yesus tentang anak yang sesat, yang dibincangkan dalam rencana kedua dalam majalah ini. Semasa bapa itu melihat anaknya dari jauh, dia “berlari ke arahnya, memeluknya, dan menciumnya.” (Luk. 15:20) Dia tidak menunggu anaknya untuk meminta maaf. Sebaliknya, dia mengambil inisiatif untuk berlari ke arahnya dan menyambutnya kembali. Itulah perasaan Yehuwa terhadap orang yang telah dikeluarkan daripada sidang. Para penatua berusaha untuk meniru pandangan Yehuwa dan berharap agar bebiri yang sesat kembali ke kawanan. (Luk. 15:22-24, 32) Apabila seorang pendosa bertaubat, Yehuwa, Yesus, para malaikat, dan seluruh sidang, pasti berasa sangat gembira!—Baca Lukas 15:7.
9. Apakah galakan Yehuwa kepada orang yang berdosa?
9 Setakat ini, kita sudah belajar bahawa Yehuwa tidak mengizinkan pendosa yang enggan bertaubat untuk terus berada di dalam sidang. Namun Yehuwa tetap mahu membantu mereka untuk kembali. Perhatikan bagaimana Nabi Hosea menggambarkan perasaan Yehuwa apabila umat-Nya bertaubat. Hosea 14:4 kata, “Aku akan menyembuhkan umat-Ku, dan mereka tidak akan berlaku curang terhadap-Ku lagi. Aku akan mengasihi mereka dari lubuk hati-Ku, kerana Aku tidak lagi murka terhadap mereka.” Memandangkan inilah perasaan Yehuwa, sudah pasti para penatua ingin mencari tanda-tanda yang menunjukkan bahawa seorang pendosa sudah mula bertaubat. Kata-kata Yehuwa ini juga patut meyakinkan orang yang telah meninggalkan-Nya bahawa Dia mengasihi mereka dan mahu mereka kembali kepada-Nya tanpa berlengah-lengah.
10-11. Bagaimanakah para penatua berusaha untuk membantu individu yang sudah lama dikeluarkan daripada sidang?
10 Bagaimana pula dengan individu yang sudah lama dikeluarkan daripada sidang? Mereka mungkin telah berhenti melakukan dosa yang menyebabkan mereka dikeluarkan daripada sidang, dan ada yang bahkan tidak ingat mengapa mereka telah dikeluarkan. Tidak kira apa situasinya, para penatua akan berusaha mencari dan mengunjungi mereka. Semasa mengunjungi mereka, para penatua boleh berdoa dengan mereka dan menggalakkan mereka untuk kembali. Jika seseorang sudah lama meninggalkan sidang, sudah pasti dia sangat lemah secara rohani. Maka, jika dia ingin kembali ke dalam sidang, para penatua mungkin mengaturkan seseorang untuk mengadakan pembelajaran Bible dengannya biarpun para penatua belum memutuskan bahawa dia boleh diterima kembali ke dalam sidang. Pembelajaran Bible sebegini hanya boleh diaturkan oleh para penatua.
11 Seperti Yehuwa yang berbelas kasihan, para penatua mahu membantu sebanyak orang yang mungkin untuk tahu bahawa pintu untuk kembali masih terbuka. Sebaik sahaja seorang pendosa membuktikan bahawa dia sudah bertaubat dan meninggalkan haluan buruknya, dia boleh diterima kembali ke dalam sidang.—2 Kor. 2:6-8.
12. (a) Para penatua akan lebih berhati-hati dalam situasi apa? (b) Mengapakah kita tidak patut berfikir bahawa pendosa tertentu tidak mungkin menerima belas kasihan Yehuwa? (Lihat juga nota kaki.)
12 Namun, para penatua akan lebih berhati-hati semasa memutuskan sama ada pendosa tertentu boleh diterima kembali ke dalam sidang atau tidak. Contohnya, jika seseorang pernah mendera kanak-kanak, menyebarkan ajaran murtad, atau menggunakan cara yang licik untuk mengakhiri perkahwinannya, para penatua perlu memastikan bahawa dia benar-benar bertaubat, kerana mereka diberi tanggungjawab untuk melindungi sidang. (Mal. 2:14; 2 Tim. 3:6) Pada masa yang sama, jika seorang pendosa bertaubat dengan ikhlas dan menghentikan perbuatannya yang salah, Yehuwa pasti menerimanya kembali. Jadi, walaupun para penatua akan lebih berhati-hati dengan pendosa yang pernah bertindak dengan licik, mereka sama sekali tidak akan berfikir bahawa pendosa sebegini tidak mungkin menerima belas kasihan Yehuwa. b—1 Ptr. 2:10.
APA YANG BOLEH DILAKUKAN SAUDARA SAUDARI
13. Apakah perbezaan antara cara kita melayan seseorang yang diberi teguran dengan seseorang yang dikeluarkan daripada sidang?
13 Seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelumnya, ada kalanya pengumuman akan dibuat bahawa seseorang telah diberi teguran. Dalam situasi sebegini, kita masih boleh bergaul dengannya kerana dia telah bertaubat dan meninggalkan haluan buruknya. (1 Tim. 5:20) Dia masih merupakan sebahagian daripada sidang dan memerlukan galakan dan pergaulan. (Ibr. 10:24, 25) Namun, jika seseorang dikeluarkan daripada sidang, kita “tidak lagi bergaul” dengannya dan ‘bahkan tidak makan bersama dengannya.’—1 Kor. 5:11.
14. Berkenaan orang yang dikeluarkan daripada sidang, apakah keputusan yang boleh dibuat oleh setiap orang Kristian dengan menggunakan hati nurani yang dilatih Bible? (Lihat juga gambar.)
14 Adakah ini bermaksud kita langsung tidak mempedulikan seseorang yang telah dikeluarkan daripada sidang? Tidak. Kita memang tidak akan bergaul dengannya. Namun, jika kita mempunyai saudara-mara atau sahabat yang telah dikeluarkan daripada sidang, kita boleh menggunakan hati nurani yang dilatih Bible untuk memutuskan jika kita akan menjemput mereka untuk menghadiri perjumpaan. Bagaimana pula jika mereka datang? Dahulu, kita tidak akan menyapa mereka. Kini, setiap orang Kristian harus menggunakan hati nurani yang dilatih Bible untuk memutuskan jika mereka mahu menyapa individu itu di Dewan Perjumpaan. Tetapi, kita tidak akan berbual panjang atau meluangkan masa dengan mereka.
15. Siapakah pendosa yang dimaksudkan di 2 Yohanes 9-11? (Lihat juga kotak “ Adakah Yohanes dan Paulus Menyebut tentang Dosa yang Sama?”)
15 Sesetengah orang mungkin berfikir, “Namun Bible ada kata kita tidak boleh bersalam dengan orang yang dikeluarkan daripada sidang. Jika kita bersalam dengan mereka, kita sudah mengambil bahagian dalam perbuatan jahat mereka.” (Baca 2 Yohanes 9-11.) Siapakah pendosa yang dimaksudkan dalam ayat ini? Konteks ayat ini menunjukkan bahawa arahan tersebut berkaitan dengan orang yang terus menyebarkan ajaran murtad dan mereka yang menggalakkan orang untuk berbuat dosa. (Why. 2:20) Para penatua tidak akan mengunjungi orang sebegini. Sudah pasti kita berharap mereka akan bertaubat. Tetapi selagi mereka belum bertaubat, kita tidak akan bersalam dengan mereka ataupun menjemput mereka untuk menghadiri perjumpaan.
MENIRU KASIH DAN BELAS KASIHAN YEHUWA
16-17. (a) Yehuwa mahu pendosa melakukan apa? (Yehezkiel 18:32) (b) Bagaimanakah para penatua dapat bekerjasama dengan Yehuwa?
16 Apakah yang telah kita pelajari daripada lima rencana dalam majalah ini? Yehuwa tidak mahu sesiapa pun dibinasakan! (Baca Yehezkiel 18:32.) Dia mahu pendosa berbaik semula dengan-Nya. (2 Kor. 5:20) Itulah sebabnya sepanjang sejarah manusia, Yehuwa berkali-kali menggalakkan umat-Nya yang menyimpang untuk kembali kepada-Nya. Para penatua diberi penghormatan untuk bekerjasama dengan Yehuwa semasa mereka membantu pendosa untuk bertaubat.—Rm. 2:4; 1 Kor. 3:9.
17 Bayangkan sukacita di syurga semasa ada pendosa yang bertaubat! Yehuwa, Bapa kita yang di syurga, merasai sukacita ini setiap kali seekor bebiri yang sesat kembali ke pangkuan-Nya. Semoga kasih kita untuk Yehuwa menjadi lebih dalam apabila kita merenungkan belas kasihan dan kebaikan hati-Nya yang unggul!—Luk. 1:78.
LAGU 111 Sebab-Sebab Kita Bersukacita
a Mulai sekarang, kita akan merujuk kepada mereka sebagai “orang yang dikeluarkan daripada sidang” dan bukannya “orang yang disingkirkan.”
b Bible menyatakan bahawa sesetengah orang tidak akan diampuni. Sikap orang sebegini sudah keras dan mereka mahu selalu menentang Tuhan. Hanya Yehuwa dan Yesus yang boleh memutuskan bahawa seorang pendosa tidak akan diampuni.—Mrk. 3:29; Ibr. 10:26, 27.