Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Berusaha untuk Mencerminkan Teladan yang Baik

Berusaha untuk Mencerminkan Teladan yang Baik

Saya bertanya, “Kamu tahu umur saya berapa?” Izak Marais yang menelefon dari Paterson, New York, menjawab, “Ya, sudah tentu saya tahu.” Marilah saya jelaskan bagaimana perbualan tersebut bermula.

SAYA dilahirkan di Wichita, Kansas, A.S. pada 10 Disember 1936. Saya ialah anak sulung antara empat orang adik-beradik. Ibu bapa saya, William dan Jean sangat mengasihi Yehuwa. Bapa merupakan hamba sidang, gelaran yang digunakan bagi mereka yang mengambil pimpinan dalam sidang pada masa itu. Ibu mendapat kebenaran daripada nenek saya, Emma Wagner. Nenek telah mengajarkan kebenaran kepada ramai individu termasuk Gertrude Steele yang telah lama berkhidmat sebagai mubaligh di Puerto Rico. Jadi saya mempunyai banyak teladan baik untuk dicontohi.

MENGINGATI TELADAN BAIK

Ayah berdiri di jalanan sambil menawarkan majalah kepada orang yang lalu-lalang

Pada suatu Sabtu petang, apabila saya berumur lima tahun, saya dengan ayah menawarkan majalah Menara Pengawal dan Consolation (kini Sadarlah!) kepada orang yang lalu-lalang di jalan. Pada masa itu, Perang Dunia Kedua sedang berlangsung. Seorang doktor yang mabuk datang dan menuduh bahawa ayah seorang pengecut yang mengelakkan khidmat tentera. Doktor itu berdepan dengan ayah dan berkata, “Pengecut! Cubalah tumbuk aku!” Saya berasa takut, tetapi sangat kagum dengan ayah. Ayah tetap menawarkan majalah kepada orang yang datang berkumpul di sana. Kemudian, seorang askar melalui sana dan doktor itu menjerit, “Buatlah sesuatu kepada pengecut ini!” Askar itu tahu bahawa doktor itu mabuk dan memberitahunya, “Baliklah rumah!” Mereka berdua beredar. Saya sedar bahawa Yehuwa yang memberi ayah keberanian. Ayah memiliki dua kedai gunting rambut di Wichita, dan doktor itu ialah salah seorang pelanggannya!

Bersama ibu bapa semasa bertolak ke konvensyen di Wichita pada tahun 1940

Apabila saya lapan tahun, ibu bapa menjual rumah dan kedai-kedai mereka. Mereka membina sebuah rumah mudah alih dan berpindah ke tempat yang memerlukan bantuan di Colorado. Kami tinggal berdekatan Grand Junction di mana ibu bapa merintis sambil bekerja separuh masa di ladang. Dengan kerja keras dan berkat Yehuwa, sebuah sidang ditubuhkan di sana. Pada 20 Jun 1948, ayah membaptis saya di sungai bersama orang lain seperti Billie Nichols dan isterinya. Pasangan ini kemudiannya melakukan kerja litar. Begitu juga dengan anak lelaki mereka dan isterinya.

Kami menikmati pergaulan rohani yang membina bersama ramai orang yang bergiat dalam kerja Tuhan, terutamanya keluarga Steele, iaitu Don dan Earlene, Dave dan Julia, serta Si dan Martha. Teladan mereka telah mempengaruhi saya. Mereka menunjukkan bahawa dengan mengutamakan Kerajaan Tuhan, mereka menikmati hidup yang gembira dan bermakna.

BERPINDAH LAGI

Apabila berumur 19 tahun, Bud Hasty, kawan keluarga saya, menjemput saya untuk merintis bersamanya di bahagian selatan Amerika Syarikat. Penyelia litar meminta kami berpindah ke Ruston, Louisiana. Di sana, terdapat segelintir Saksi yang tidak aktif. Kami diminta untuk mengadakan semua perjumpaan setiap minggu tidak kira berapa yang menghadirinya. Kami menjumpai sebuah tempat sesuai untuk perjumpaan dan membaiki tempat itu. Kami mengadakan setiap perjumpaan, tetapi hanya kami berdua yang menghadirinya. Oleh itu, seorang mengendalikan bahagian perjumpaan, manakala seorang lagi menjawab semua soalan. Jika terdapat bahagian demonstrasi, kami berdua akan menyampaikannya di atas pentas tetapi tiada hadirin! Akhirnya, seorang saudari yang berusia mula menghadiri perjumpaan. Lambat laun, beberapa pelajar Bible dan penyiar tidak aktif mula menghadiri perjumpaan. Tidak lama kemudian, kami mempunyai sidang yang membuat kemajuan.

Pada suatu hari, saya dan Bud berjumpa dengan seorang penginjil Church of Christ. Dia berbincang tentang ayat-ayat Bible yang saya tidak ketahui. Hal ini mengganggu saya dan membuat saya berfikir dengan mendalam tentang kepercayaan saya. Selama seminggu, saya bertungkus lumus mencari jawapan kepada soalan-soalan yang dibangkitkannya. Hal itu membantu menyebatikan kebenaran dalam diri saya dan saya tidak sabar untuk bertemu dengan penginjil yang lain.

Tidak lama selepas itu, penyelia litar meminta saya untuk membantu sidang di El Dorado, Arkansas. Di sana, saya sering balik ke Colorado untuk berjumpa lembaga kerahan tentera. Pernah sekali, saya dan beberapa rakan perintis membuat perjalanan menggunakan kereta. Kami mengalami kemalangan di Texas dan kereta saya tidak boleh digunakan lagi. Kami memanggil seorang saudara, dia membawa kami ke rumahnya dan kemudian ke perjumpaan. Mereka mengumumkan bahawa kami mengalami kemalangan. Saudara saudari di situ membantu kami secara kewangan. Saudara itu juga menjual kereta saya dengan harga $25.

Kami dapat tumpang ke Wichita, di mana Saudara McCartney merintis. Anak kembar lelakinya, iaitu Frank dan Francis merupakan kawan baik saya. Mereka menjual kereta lama mereka kepada saya sebanyak $25. Itulah harga jualan kereta saya yang rosak! Saya benar-benar merasai Yehuwa memenuhi keperluan saya kerana mengutamakan Kerajaan-Nya. Keluarga McCartney telah memperkenalkan seorang saudari menawan yang bernama Bethel Crane. Ibunya, Ruth, merupakan seorang Saksi bersemangat di Wellington, Kansas. Dia merintis sehingga berumur 90-an. Saya dan Bethel berkahwin kurang setahun kemudian, pada tahun 1958. Kemudian, dia merintis bersama saya di El Dorado.

JEMPUTAN YANG MENGGEMBIRAKAN

Selepas memperhatikan banyak teladan baik semasa membesar, kami ingin merelakan diri untuk melakukan apa jua tugasan dalam organisasi Yehuwa. Kami ditugaskan sebagai perintis khas di Walnut Ridge, Arkansas. Pada tahun 1962, kami sangat gembira kerana menerima jemputan menghadiri kelas Gilead yang ke-37. Kami teruja kerana Don Steele juga menghadiri kelas itu. Selepas tamat sekolah Gilead, saya dan Bethel ditugaskan ke Nairobi, Kenya. Walaupun kami sedih sewaktu meninggalkan New York, kami bersukacita apabila dialu-alukan oleh saudara saudari di lapangan terbang Nairobi!

Semasa kerja penyebaran di Nairobi bersama Mary dan Chris Kanaiya

Kami menyukai Kenya dan menikmati kerja penyebaran di sana. Pelajar Bible kami yang pertama ialah Chris dan Mary Kanaiya. Mereka masih setia berkhidmat sepenuh masa di Kenya. Pada tahun seterusnya, kami diminta untuk pergi ke Kampala, Uganda. Kami menjadi mubaligh yang pertama di negara itu. Saat-saat di sana sangat menyeronokkan kerana banyak orang berminat dalam kebenaran dan menjadi saudara saudari kita. Namun, selepas tiga setengah tahun di Afrika, kami mempunyai anak. Oleh itu, kami balik ke Amerika Syarikat. Apabila kami meninggalkan Afrika, hati kami lebih sedih berbanding masanya kami meninggalkan New York. Kami sangat mengasihi orang di Afrika dan berharap dapat kembali suatu hari nanti.

MENERIMA TUGAS BAHARU

Kami berpindah ke tempat yang berdekatan ibu bapa saya di Colorado. Tidak lama kemudian, Kimberly dilahirkan dan 17 bulan kemudian, Stephany dilahirkan. Kami memandang serius tugas baharu kami sebagai ibu bapa dan ingin menyemai kebenaran dalam hati anak-anak kami. Sepertimana kami mendapat manfaat daripada teladan baik orang, kami juga ingin mencerminkan teladan yang baik kepada anak-anak. Walaupun teladan baik boleh membawa kesan yang besar terhadap kehidupan anak, hal ini tidak menjamin bahawa mereka akan menyembah Yehuwa. Adik perempuan dan adik lelaki saya meninggalkan kebenaran. Kami berharap bahawa mereka akan meniru teladan yang baik dan kembali ke kebenaran.

Kami menikmati saat-saat membesarkan anak-anak kami dan selalu meluangkan masa bersama. Memandangkan kami tinggal berdekatan Aspen, Colorado, kami sekeluarga belajar bermain ski. Rekreasi sebegini membuka peluang untuk berbual-bual bersama anak-anak. Kami juga sering pergi berkhemah dan menikmati perbualan bersama sambil duduk di sekeliling unggun api. Walaupun muda, anak kami menanya soalan seperti “Apakah yang akan saya lakukan apabila dewasa?” dan “Siapakah pasangan yang sesuai bagi saya?” Kami berusaha untuk memupuk nilai-nilai rohani dalam hati dan minda mereka. Kami menggalakkan mereka untuk berkhidmat sepenuh masa dan mengahwini teman yang mempunyai matlamat sama. Kami juga membantu mereka faham bahawa tidak baik untuk berkahwin terlalu muda. Kami selalu berkata, “Bujanglah sehingga umur 23.”

Kami mengikut teladan ibu bapa kami dengan menghadiri perjumpaan serta menginjil bersama keluarga. Kami juga mengatur supaya pekhidmat sepenuh masa tinggal di rumah kami. Selain itu, kami menceritakan sukacita yang dinikmati semasa berkhidmat sebagai mubaligh. Kami berharap bahawa kami sekeluarga boleh mengunjungi Afrika. Anak-anak kami juga ingin melakukan hal itu.

Kami selalu mengadakan penyembahan keluarga. Kami akan melakonkan situasi yang berlaku di sekolah dan anak-anak kami akan menjawab soalan kami. Mereka menyukai cara ini dan menjadi lebih yakin. Apabila mereka membesar, mereka mula merungut tentang penyembahan keluarga. Pernah sekali, saya berasa terdesak lalu menyuruh mereka masuk ke dalam bilik mereka. Mereka terkejut dan mula menangis lalu berkata bahawa mereka ingin belajar. Itulah masanya kami sedar bahawa kami benar-benar telah memupuk cinta akan kebenaran dalam hati mereka. Mereka menikmati penyembahan keluarga dan kami membiarkan mereka meluahkan isi hati mereka. Kadangkala, mereka tidak setuju dengan sesetengah ajaran Bible dan hal ini sangat susah bagi kami. Namun, kami mengetahui apa yang terpendam dalam hati mereka. Selepas berbincang tentang hal itu, mereka menerima pandangan Yehuwa.

MENYESUAIKAN DIRI TERHADAP PERUBAHAN

Projek membesarkan anak-anak kami berlalu dengan cepat. Dengan bantuan dan bimbingan organisasi Tuhan, kami berusaha membesarkan anak-anak yang mengasihi Yehuwa. Kami bersukacita apabila kedua-dua anak kami mula merintis selepas tamat persekolahan. Mereka juga telah mempelajari kemahiran agar dapat menyara diri. Mereka berpindah ke Cleveland, Tennessee, bersama dua orang saudari untuk berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan. Kami sangat merindui mereka tetapi gembira kerana mereka berkhidmat sepenuh masa. Saya dan Bethel kemudian mula merintis dan hal ini membolehkan kami menikmati peluang istimewa lain seperti membantu dalam kerja litar dan kerja konvensyen.

Sebelum berpindah ke Tennessee, anak-anak kami melancong dan melawat pejabat cawangan di London, England. Di sana, Stephany yang berumur 19 tahun pada masa itu, berjumpa dengan Paul Norton, seorang ahli Bethel yang muda. Semasa mengunjungi London sekali lagi, Kimberly berjumpa dengan Brian Llewellyn, rakan sekerja Paul. Paul dan Stephany berkahwin selepas Stephany berumur 23 tahun. Pada tahun seterusnya, apabila Kimberly berumur 25 tahun, dia mengahwini Brian. Jadi, mereka benar-benar tetap bujang sehingga berumur 23 tahun. Kami turut gembira dengan pilihan pasangan mereka.

Bersama Paul, Stephany, Kimberly, dan Brian di pejabat cawangan Malawi pada tahun 2002

Anak-anak kami memberitahu bahawa teladan kami dan datuk nenek mereka membantu mereka mentaati perintah Yesus untuk “sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan.” (Mat. 6:33) Pada April 1998, Paul dan Stephany dijemput ke kelas Gilead yang ke-105. Mereka kemudian ditugaskan ke Malawi, Afrika. Pada masa yang sama, Brian dan Kimberly dijemput untuk berkhidmat di Bethel London dan kemudian ditugaskan ke Bethel Malawi. Kami gembira kerana mereka menggunakan masa muda dengan cara yang terbaik.

SATU LAGI JEMPUTAN YANG ISTIMEWA

Pada Januari 2001, saya menerima panggilan seperti yang disebut pada permulaan rencana. Saudara Marais, iaitu penyelia Bahagian Khidmat Penterjemahan menjelaskan bahawa kursus pemahaman bahasa Inggeris sedang diatur bagi para penterjemah di seluas dunia. Saya yang berumur 64 tahun pada masa itu dipilih untuk dilatih sebagai seorang pengajar kursus. Saya dan Bethel berdoa tentang hal ini dan berbincang dengan kedua-dua ibu kami yang lanjut usia. Mereka ingin kami menerima tugas itu walaupun mereka akan hidup tanpa bantuan kami. Jadi, saya menelefon saudara itu dan mengatakan bahawa kami gembira menerima tugas ini.

Ibu saya kemudiannya disahkan menghidap kanser. Saya memberitahunya bahawa kami tidak akan pergi dan akan membantu adik saya, Linda, untuk menjaganya. Tetapi ibu berkata, “Saya akan berasa lebih sedih jika kamu tidak pergi.” Linda juga berasa begitu. Kami sangat menghargai semangat rela berkorban mereka dan bantuan kawan-kawan di sana! Jadi kami bertolak ke Pusat Pendidikan Watchtower, Paterson. Pada hari keesokan, Linda menelefon dan memberitahu bahawa ibu telah meninggal. Seperti apa yang diingini ibu, kami tetap sibuk dalam tugas baharu kami.

Kami sangat teruja kerana tugas pertama kami adalah di pejabat cawangan Malawi di mana kedua-dua anak kami serta suami mereka berkhidmat. Kami gembira kerana dapat bertemu semula! Selepas itu, kami mengadakan kursus di Zimbabwe dan kemudiannya di Zambia. Selepas mengajar kursus itu selama tiga setengah tahun, kami diminta kembali ke Malawi untuk mencatatkan pengalaman para Saksi yang pernah dianiaya kerana mengekalkan keneutralan Kristian. *

Menginjil bersama cucu kami

Pada tahun 2005, kami berasa sedih lagi kerana meninggalkan Afrika dan kembali ke Basalt, Colorado. Saya dan Bethel terus merintis. Pada tahun 2006, Brian dan Kimberly berpindah ke sebelah rumah kami untuk membesarkan dua anak perempuan mereka, Mackenzie dan Elizabeth. Paul dan Stephany masih berkhidmat di Malawi, dan Paul merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Cawangan. Sekarang, umur saya sudah dekat 80 tahun dan saya berasa gembira melihat saudara muda yang pernah bekerja bersama saya mengambil alih tanggungjawab yang dahulunya saya pikul. Sukacita yang kami rasai ialah hasil daripada teladan baik orang lain dan usaha kami untuk mencerminkan teladan tersebut demi manfaat anak-anak dan cucu kami.

^ per. 30 Contohnya, lihat kisah hidup Trophim Nsomba dalam majalah Menara Pengawal terbitan 15 April 2015, muka surat 14-18.