JALAN YANG MENUJU KEBAHAGIAAN
Harapan
“Aku akan memberi kamu kedamaian, bukannya malapetaka. Ya, Aku akan memberi kamu harapan dan masa depan yang baik.”—Yeremia 29:11.
“HARAPAN . . . PENTING UNTUK MEMELIHARA HUBUNGAN BAIK DENGAN TUHAN,” kata buku Hope in the Age of Anxiety, “dan merupakan penawar yang terbaik apabila kita rasa tidak berdaya, dipulaukan, dan takut.”
Bible menyatakan bahawa kita memerlukan harapan. Namun Mazmur 146:3 berkata, “Janganlah berharap kepada pemerintah atau mana-mana manusia. Mereka tidak dapat membawa penyelamatan.” Ya, daripada mengharapkan penyelamatan manusia, lebih baik kita bergantung pada Pencipta kita, yang mampu menunaikan semua janji-Nya. Apakah yang dijanjikan-Nya? Mari kita lihat.
KEJAHATAN AKAN LENYAP; ORANG BAIK AKAN HIDUP AMAN SELAMA-LAMANYA: Mazmur 37:10, 11 kata, “Tidak lama lagi, orang jahat akan dibinasakan . . . Orang yang rendah hati akan memiliki bumi, dan mereka akan menikmati kebahagiaan dan kedamaian yang berlimpah-limpah.” Ayat 29 menyambung, “Orang yang melakukan apa yang benar . . . akan mendiami [bumi] selama-lamanya.”
TIADA LAGI PEPERANGAN: “Yehuwa . . . menghentikan peperangan di seluruh dunia. Dia mematahkan busur dan menghancurkan tombak; Dia menghanguskan semua kereta kuda.”—Mazmur 46:8, 9.
TIADA LAGI PENYAKIT, PENDERITAAN, ATAU KEMATIAN: “Khemah Tuhan ada bersama manusia . . . Dia akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi.”—Wahyu 21:3, 4.
MAKANAN YANG MELIMPAH: “Bumi akan melimpah dengan biji-bijian, dan puncak gunung akan mengeluarkan hasil yang lumayan.”—Mazmur 72:16.
HANYA SATU KERAJAAN YANG MEMERINTAH SELURUH BUMI—KERAJAAN KRISTUS: Yesus Kristus “diberi kuasa pemerintahan, kemuliaan, dan sebuah kerajaan agar orang dari semua bangsa, suku, dan bahasa melayaninya. Pemerintahannya kekal dan tidak akan berakhir, dan kerajaannya tidak akan dibinasakan.”—Daniel 7:14.
Adakah semua janji itu akan ditepati? Semasa di bumi, Yesus telah membuktikan kebolehannya sebagai bakal raja. Dia menyembuhkan orang sakit, memberi orang miskin makanan, dan membangkitkan orang mati. Lebih penting lagi, ajarannya mengandungi prinsip yang membantu orang hidup aman dan bersatu untuk selama-lamanya. Yesus juga menyatakan peristiwa pada masa depan, termasuk hal yang akan berlaku pada penghujung dunia ini.
BERSUSAH-SUSAH DAHULU
Yesus telah menyatakan bahawa hari-hari terakhir bukanlah masa yang aman dan selamat. Sebaliknya, tanda “penghujung sistem ini” merangkumi perang antarabangsa, kebuluran, wabak penyakit, dan gempa bumi yang dahsyat. (Matius 24:3, 7; Lukas 21:10, 11; Wahyu 6:3-8) Yesus juga berkata, “Oleh sebab kejahatan semakin bertambah, kasih kebanyakan orang akan mendingin.”—Matius 24:12.
Sikap dingin itu dapat dilihat melalui banyak cara. Menurut 2 Timotius 3:1-5, pada “hari-hari terakhir” kebanyakan orang akan mementingkan diri, wang, dan kesenangan. Mereka juga akan angkuh dan garang. Kasih dalam keluarga akan berkurang, dan anak-anak akan mengingkari ibu bapa. Ramai orang juga tidak akan hidup sesuai dengan ajaran agama mereka.
Semua kesusahan itu ialah bukti bahawa akhir dunia ini sudah dekat, dan bahawa Kerajaan Tuhan akan membawa kedamaian tidak lama lagi. Dalam nubuat Yesus tentang hari-hari terakhir, dia juga menyatakan, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.”—Matius 24:14.
Berita baik itu merupakan amaran kepada orang jahat dan meyakinkan orang baik bahawa berkat-berkat yang dijanjikan Tuhan akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Adakah anda ingin belajar lebih lanjut tentang berkat-berkat itu? Jika ya, sila lihat bahagian belakang majalah ini.