JALAN YANG MENUJU KEBAHAGIAAN
Kasih
MANUSIA MAHU DIKASIHI. Tanpa kasih, perkahwinan, keluarga, atau persahabatan akan hancur. Kasih juga amat penting untuk kesihatan mental dan kebahagiaan kita. Namun, apakah yang terangkum dalam “kasih”?
Kasih yang dimaksudkan itu bukanlah cinta romantik. Kasih itu lebih unggul dan akan mendorong seseorang untuk mengambil berat terhadap orang lain dan bahkan mengutamakan kesejahteraan mereka. Kasih itu dibimbing oleh prinsip Tuhan dan melibatkan perasaan yang mendalam.
Bible menjelaskan, ‘Kasih itu sabar dan baik hati. Kasih tidak cemburu, tidak bercakap besar, tidak menjadi angkuh, tidak bersikap biadab, tidak mementingkan diri sendiri, dan tidak cepat naik marah. Kasih tidak menyimpan dendam. Kasih tidak bersukacita atas perkara yang salah, tetapi bersukacita atas perkara yang benar. Kasih menanggung segala sesuatu, tidak hilang harapan terhadap segala sesuatu, dan menghadapi segala sesuatu dengan tabah. Kasih itu abadi.’—1 Korintus 13:4-8.
Kasih sebegitu akan sentiasa wujud dan akan bertambah kuat dengan berlalunya masa. Memandangkan kasih itu sabar, baik hati, dan rela memaafkan, kasih itu dapat “menyatupadukan orang dengan sempurna.” (Kolose 3:14) Hubungan yang disatukan dengan kasih sebegini akan kekal dan bahagia, biarpun individu yang terlibat tidak sempurna. Fikirkan contoh perkahwinan.
“IKATAN YANG MENYATUPADUKAN ORANG DENGAN SEMPURNA”
Mengenai perkahwinan, Yesus Kristus pernah mengajar, “‘Seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu’ . . . Oleh itu, mereka yang telah disatukan oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.” (Matius 19:5, 6) Kata-katanya mengandungi dua prinsip yang penting.
“MEREKA BERDUA AKAN MENJADI SATU.” Perkahwinan merupakan hubungan yang paling rapat antara manusia, dan kasih dapat mencegah suami atau isteri daripada berlaku curang. (1 Korintus 6:16; Ibrani 13:4) Perbuatan curang merosakkan perkahwinan dan kepercayaan antara suami isteri. Jika anak-anak terlibat, perbuatan itu mungkin mengakibatkan trauma emosi dan menyebabkan mereka berasa tidak dikasihi, tidak selamat, dan bahkan mula berdendam.
‘MEREKA TELAH DISATUKAN OLEH TUHAN.’ Suami isteri yang sedar bahawa perkahwinan itu suci akan berusaha mengukuhkan hubungan mereka. Ketika masalah timbul, mereka tidak akan berfikir untuk bercerai. Sebaliknya, kasih mereka kuat dan kukuh. Oleh itu, mereka dapat “menanggung segala sesuatu” dan berusaha mengatasi masalah supaya perkahwinan mereka damai dan bahagia.
Apabila ibu bapa saling mengasihi dan tidak mementingkan diri, anak-anak mendapat manfaat yang amat besar. Seorang wanita muda bernama Jessica berkata, “Mak dan Ayah saling mengasihi dan menghormati. Apabila saya nampak Mak menghormati Ayah, saya sangat kagum dan mahu menjadi seperti Mak.”
Kasih ialah sifat utama Tuhan. Bible menyatakan, “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Bible juga menyatakan bahawa Yehuwa ialah “Tuhan yang gembira.” (1 Timotius 1:11) Maka, jika kita berusaha meniru kasih Pencipta kita, kita juga akan gembira. Efesus 5:1, 2 menyatakan, ‘Ikutlah teladan Tuhan. Hendaklah hidup kamu sentiasa disertai kasih.’