CARA MENANGANI STRES
Anda Dapat Hidup Tanpa Stres
Nasihat yang bijak dalam Bible dapat membantu kita mengelakkan banyak stres. Sudah pasti, kita tidak dapat melenyapkan semua penyebab stres, tetapi Pencipta kita mampu melakukannya. Dia sudah melantik Yesus Kristus untuk membantu kita. Semasa Yesus berada di bumi, dia pernah melakukan mukjizat untuk membantu manusia. Pada masa depan, dia akan melakukan perkara yang lebih menakjubkan di seluruh bumi. Perhatikan beberapa contoh:
YESUS AKAN MENYEMBUHKAN ORANG SAKIT.
“Semua orang yang menderita kerana menghidap pelbagai penyakit dibawa kepadanya . . . , lalu dia menyembuhkan mereka.”—MATIUS 4:24.
YESUS AKAN MENYEDIAKAN TEMPAT TINGGAL DAN MAKANAN UNTUK SEMUA.
“Orang akan membina rumah dan mendiaminya; mereka akan mengusahakan ladang anggur dan memakan hasilnya. Rumah yang dibina oleh mereka tidak akan didiami oleh orang lain, dan apa yang ditanam oleh mereka tidak akan dimakan oleh orang lain.”—YESAYA 65:21, 22.
PEMERINTAHAN YESUS AKAN MEMBAWA KEDAMAIAN DAN KESELAMATAN SEDUNIA.
“Di bawah pemerintahannya, orang yang baik akan hidup makmur dan menikmati kedamaian yang melimpah selagi bulan bercahaya. Dia akan memerintah dari laut ke laut, dan dari Sungai Efrat sampai ke hujung bumi. . . . Musuh-musuhnya akan dikalahkan.”—MAZMUR 72:7-9.
YESUS AKAN MELENYAPKAN KETIDAKADILAN.
“Dia akan mengasihani orang yang miskin dan orang yang lemah, dan dia akan menyelamatkan nyawa orang yang papa kedana. Dia akan menyelamatkan mereka daripada keganasan dan penindasan.”—MAZMUR 72:13, 14.
YESUS BAHKAN AKAN MELENYAPKAN PENDERITAAN DAN KEMATIAN.
“Kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi.”—WAHYU 21:4.