Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tuhan Yehuwa—“Sumber Kedamaian Kita”

Tuhan Yehuwa—“Sumber Kedamaian Kita”

Tuhan Yehuwa​—“Sumber Kedamaian Kita”

‘Semoga Tuhan, sumber kedamaian kita, menyertai kamu semua.’​—RM. 15:33, ABB.

1, 2. Apakah kisah yang digambarkan di Kejadian bab 32 dan 33, dan apakah hasilnya?

PERISTIWA berikut berlaku dekat Peniel, yang terletak berhampiran Sungai Yabok, di timur Sungai Yordan. Apabila Esau mendapat berita bahawa adiknya Yakub akan kembali, Esau membawa 400 orang anak buahnya untuk bertemu dengan Yakub. Dua puluh tahun telah berlalu semenjak Esau menjual haknya sebagai anak sulung kepada Yakub. Tetapi Yakub takut bahawa abangnya masih marah dan mahu membunuh dia. Jadi Yakub menghantar hamba-hambanya untuk membawa binatang ternakan sebagai hadiah kepada abangnya. Setiap kali hamba Yakub berjumpa dengan Esau, mereka memberitahu Esau bahawa binatang yang dibawa merupakan hadiah daripada Yakub. Yakub menghantar lebih daripada 550 ekor binatang kepada Esau.

2 Akhirnya, Yakub dan Esau bertemu. Yakub memperlihatkan keberanian dan sikap rendah diri. Dia berjalan menuju abangnya dan bersujud sebanyak tujuh kali! Tetapi sebelum itu, dia telah melakukan perkara yang sangat penting. Dia telah berdoa kepada Yehuwa dan meminta perlindungan-Nya. Adakah Yehuwa mengabulkan doanya? Ya, Bible memberitahu kita bahawa “Esau berlari mendapatkan Yakub, lalu memeluk dan mencium dia.”​—Kej. 32:11-20; 33:1-4.

3. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah Yakub dan Esau?

3 Kisah Yakub dan Esau menunjukkan bahawa kita harus berusaha secara bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah yang mungkin mengancam perpaduan dan kedamaian dalam sidang. Yakub telah berusaha untuk berdamai dengan Esau. Adakah Yakub berbuat demikian kerana dia bersalah? Tidak! Bible menunjukkan bahawa Esau tidak menghargai haknya sebagai anak sulung, dan dia telah menjualnya untuk semangkuk makanan. (Kej. 25:31-34; Ibr. 12:16) Teladan Yakub menunjukkan betapa banyaknya usaha yang perlu dicurahkan untuk mengekalkan kedamaian dengan saudara saudari kita. Teladan dia juga menunjukkan bahawa semasa kita meminta bantuan Yehuwa untuk mengekalkan kedamaian, Dia mendengarkan doa kita. Bible mengandungi banyak teladan lain yang menunjukkan bagaimana kita dapat mengekalkan kedamaian. Mari kita bincangkan beberapa contoh.

Teladan Terbaik bagi Kita

4. Apakah yang dilakukan oleh Yehuwa untuk menyelamatkan umat manusia daripada dosa dan kematian?

4 Sebagai “sumber kedamaian,” Yehuwa merupakan teladan terbaik bagi kita. (Rm. 15:33) Fikirlah tentang segala-gala yang dilakukan oleh Yehuwa agar kita dapat menikmati hubungan yang damai dengan-Nya. Sebagai keturunan Adam dan Hawa, kita semua berdosa dan patut mati. (Rm. 6:23) Namun demikian, oleh sebab Yehuwa sangat mengasihi kita, Dia telah mengutus Anak kesayangan-Nya dari syurga untuk dilahirkan sebagai manusia yang sempurna. Yesus pula menurut kehendak Bapanya dengan rela hati. Dia mengorbankan nyawanya untuk menebus dosa kita. (Yoh. 10:17, 18) Kemudian, Yehuwa membangkitkan Anak-Nya ke syurga dan Yesus mempersembahkan nilai darahnya kepada Yehuwa. Dengan tebusan ini, orang yang bertaubat daripada dosa mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya.​—Baca Ibrani 9:14, 24.

5, 6. Bagaimanakah korban tebusan Yesus membantu kita untuk menikmati hubungan yang damai dengan Tuhan?

5 Disebabkan dosa, kita telah menjadi musuh Tuhan. Jadi, bagaimanakah korban tebusan Yesus membantu umat manusia? Yesaya 53:5 menyatakan, “Kita diselamatkan kerana hukuman yang ditanggungnya, kita disembuhkan kerana luka-lukanya.” Ya, korban tebusan Yesus membolehkan manusia yang patuh kepada Tuhan untuk menikmati hubungan yang damai dengan-Nya. ‘Dengan kematian Kristus kita dibebaskan; maknanya Tuhan sudah mengampunkan dosa kita.’​—Ef. 1:7.

6 Bible memberitahu kita bahawa Tuhan menggunakan Yesus untuk melaksanakan tujuan-Nya. Dan apakah tujuan Tuhan? Tujuan Yehuwa adalah supaya semua manusia berdamai dengan-Nya. ‘Tuhan mengambil keputusan untuk membawa segala sesuatu, baik yang di bumi mahupun yang di syurga, kembali kepada-Nya melalui kematian [Yesus Kristus].’ “Segala sesuatu, baik yang di bumi mahupun yang di syurga” merujuk kepada apa?​—Baca Kolose 1:19, 20.

7. Apakah ‘segala sesuatu di syurga’ dan ‘segala sesuatu di bumi’?

7 Korban tebusan Kristus membolehkan orang Kristian terurap untuk ‘berbaik semula dengan Tuhan’ dan menikmati ‘kedamaian dengan Tuhan’ sebagai anak-anak-Nya. (Baca Roma 5:1.) Bible memanggil mereka ‘segala sesuatu di syurga’ kerana mereka mempunyai harapan untuk naik ke syurga dan berkhidmat sebagai raja dan imam. (Why. 5:10) ‘Segala sesuatu di bumi’ pula merujuk kepada umat manusia yang telah bertaubat daripada dosa dan berpeluang untuk hidup selama-lamanya di bumi.​—Mzm. 37:29.

8. Semasa timbulnya masalah di sidang, bagaimanakah teladan Yehuwa dapat membantu anda?

8 Paulus meluahkan kesyukurannya untuk korban tebusan Kristus semasa dia menulis kepada orang Kristian terurap di Efesus. Dia berkata, ‘Tuhan sangat berbelas kasihan. Sementara kita mati secara rohani kerana pelanggaran kita, Dia menghidupkan kita semula bersama-sama Kristus. Kamu sudah diselamatkan oleh rahmat Tuhan.’ (Ef. 2:4, 5) Kita semua, tidak kira yang akan naik ke syurga atau yang akan tinggal di bumi, patut bersyukur atas belas kasihan dan rahmat Tuhan. Kita menghargai segala-gala yang dilakukan oleh Tuhan agar kita dapat berdamai dengan-Nya. Maka, jika timbulnya keadaan yang mana perpaduan dan kedamaian di sidang terancam, kita harus berfikir tentang teladan terbaik yang disediakan oleh Yehuwa, dan mengekalkan kedamaian dengan saudara saudari kita.

Tirulah Teladan Abraham dan Ishak

9, 10. Bagaimanakah Abraham menunjukkan bahawa dia mahu mengekalkan kedamaian dengan orang lain?

9 Bible menyatakan, ‘“Abraham percaya kepada Tuhan, dan kerana imannya Tuhan menerima dia sebagai orang yang melakukan kehendak-Nya.” Itulah sebabnya Abraham disebut sahabat Tuhan.’ (Yak. 2:23) Salah satu cara Abraham memperlihatkan iman kepada Yehuwa adalah dengan berdamai dengan orang lain. Hal ini dapat dilihat semasa timbulnya pertengkaran antara para gembala Abraham dengan para gembala anak saudaranya, Lot. (Kej. 12:4, 5; 13:7) Abraham dan Lot sedar bahawa jalan penyelesaian yang terbaik adalah untuk berpindah ke tempat lain. Perhatikan bahawa Abraham tidak membuat keputusan muktamad hanya kerana dia lebih tua dan mempunyai persahabatan yang istimewa dengan Yehuwa. Sebaliknya, dia menunjukkan bahawa dia mahu berdamai dengan Lot.

10 Abraham memberitahu Lot, “Kita ini bersaudara; orangmu dan orangku tidak sepatutnya bertengkar.” Dia juga berkata, “Pilihlah bahagian tanah yang kamu suka. Jika kamu pergi ke sebelah sini, aku akan pergi ke sebelah sana.” Walaupun Lot memilih kawasan yang paling subur, Abraham tidak menaruh dendam terhadapnya. (Kej. 13:8-11) Bible menyatakan bahawa apabila Lot ditawan oleh musuh, Abraham tidak teragak-agak untuk menyelamatkan anak saudaranya.​—Kej. 14:14-16.

11. Bagaimanakah Abraham mengekalkan kedamaian dengan orang Filistin?

11 Fikirkan juga tentang cara Abraham berdamai dengan orang Filistin, iaitu jirannya di negeri Kanaan. Walaupun orang Filistin telah merampas perigi yang digali oleh hamba-hamba Abraham di Bersyeba, Abraham membuat keputusan untuk berdiam diri. Kemudian, raja Filistin telah melawat Abraham untuk membuat perjanjian supaya dapat terus berdamai dengannya. Hanya selepas Abraham bersetuju untuk berbuat baik terhadap keturunan raja Filistin, barulah dia mengungkit masalah tentang perigi yang telah dirampas. Raja itu berasa sangat terkejut dan memulangkan perigi Abraham. Selepas itu Abraham tinggal lama di negeri orang Filistin dengan aman dan damai.​—Kej. 21:22-31, 34.

12, 13. (a) Bagaimanakah Ishak mengikut teladan bapanya? (b) Bagaimanakah Yehuwa memberkati usaha Ishak untuk mengekalkan kedamaian?

12 Seperti Abraham, anaknya Ishak juga mengasihi kedamaian. Dia telah mencuba sedaya upaya untuk berdamai dengan orang Filistin. Oleh sebab kebuluran berlaku, Ishak dan keluarganya telah berpindah dari Negeb ke Gerar, iaitu kawasan orang Filistin yang mempunyai tanah yang lebih subur. Di sana, Yehuwa telah memberkati Ishak dengan hasil tanaman dan binatang ternakan yang banyak. Tetapi orang Filistin berasa iri hati. Mereka tidak mahu Ishak menjadi makmur. Jadi mereka menimbus semua perigi milik Ishak. Akhirnya, raja Filistin menyuruh Ishak untuk ‘meninggalkan negeri mereka,’ dan Ishak tunduk kepada kehendaknya.​—Kej. 24:62; 26:1, 12-17.

13 Selepas Ishak dan keluarganya berpindah, para gembalanya telah menggali sebuah lagi perigi. Tetapi gembala Filistin mula bertengkar dan mendakwa bahawa air itu kepunyaan mereka. Seperti bapanya, Ishak tidak mahu berlawan. Dia menyuruh hamba-hambanya menggali sebuah perigi lagi. Sekali lagi, orang Filistin membuat dakwaan yang sama. Untuk mengekalkan kedamaian, Ishak telah membawa keluarganya dan segala harta miliknya ke tempat yang lain. Hamba-hambanya menggali sebuah perigi di situ dan Ishak “menamakan perigi itu ‘Kebebasan.’” Selepas itu, dia berpindah ke kawasan Bersyeba yang lebih subur. Di sana, Yehuwa memberitahu dia, “Janganlah takut; Aku akan melindungi engkau. Aku akan memberkati engkau dan mengurniai engkau keturunan yang banyak kerana janji-Ku kepada hamba-Ku Abraham.”​—Kej. 26:17-25.

14. Semasa raja Filistin pergi berjumpa dengan Ishak untuk membuat perjanjian dengannya, bagaimanakah Ishak menunjukkan bahawa dia mahu berdamai dengan raja Filistin?

14 Sudah tentu, jika Ishak mahu, dia mampu melawan orang Filistin untuk mengambil kembali semua perigi yang telah dirampas. Tetapi Ishak membuat keputusan untuk berpindah banyak kali bagi mengekalkan kedamaian. Raja Filistin juga tahu bahawa Yehuwa memberkati Ishak dalam segala sesuatu yang dilakukan olehnya. Semasa raja dan para pegawainya pergi berjumpa dengan Ishak di Bersyeba untuk membuat perjanjian, dia berkata, ‘Sekarang kami tahu bahawa Yehuwa melindungi tuan.’ Pada kesempatan ini, Ishak juga menunjukkan bahawa dia mahu berdamai. Bible menyatakan, ‘Ishak menyediakan jamuan untuk tetamunya, lalu mereka pun makan dan minum. Keesokan harinya pagi-pagi lagi, mereka membuat perjanjian yang disahkan dengan sumpah lalu mereka berpisah sebagai sahabat.’​—Kej. 26:26-31, ABB.

Belajar daripada Teladan Yusuf

15. Mengapakah abang-abang Yusuf tidak dapat bercakap kepadanya dengan damai?

15 Bible menyatakan bahawa anak Ishak, iaitu Yakub, ialah seorang lelaki yang “bersifat tenang.” (Kej. 25:27) Seperti yang telah kita pelajari, Yakub berusaha sedaya upaya untuk berdamai dengan Esau. Ya, Yakub meniru teladan baik bapanya. Tetapi adakah anak-anak Yakub belajar daripada teladannya? Antara 12 orang anak lelakinya, Yusuflah yang paling disayangi Yakub. Yusuf seorang anak prihatin yang mematuhi dan menghormati bapanya. (Kej. 37:2, 14) Tetapi abang-abang Yusuf sangat iri hati terhadapnya dan tidak dapat bercakap kepadanya dengan damai. Mereka begitu membenci Yusuf sehingga menjualnya sebagai hamba. Kemudian mereka berbohong kepada bapa mereka bahawa Yusuf sudah mati dibunuh binatang.​—Kej. 37:4, 28, 31-33.

16, 17. Bagaimanakah Yusuf menunjukkan bahawa dia mahu berdamai dengan abang-abangnya?

16 Yehuwa memberkati Yusuf. Beberapa lama kemudian, Yusuf menjadi perdana menteri Mesir—iaitu orang yang kedua penting selepas Firaun. Apabila kebuluran teruk menimpa negeri mereka, abang-abang Yusuf terpaksa pergi ke Mesir untuk membeli makanan. Mereka tidak dapat mengecam Yusuf yang mengenakan pakaian orang Mesir. (Kej. 42:5-7) Jika Yusuf mahu, dia tentu dapat membalas kekejaman abang-abangnya. Sebaliknya, Yusuf berusaha untuk berdamai dengan mereka. Selepas dia tahu bahawa mereka telah insaf, dia memperkenalkan diri kepada mereka lalu berkata, “Jangan takut atau salahkan diri kerana kamu menjual aku. Sebenarnya, [Tuhan] sendiri yang menghantar aku ke sini lebih dahulu daripada kamu untuk menyelamatkan banyak orang.” Kemudian sambil menangis, Yusuf memeluk semua abangnya dan mencium mereka.​—Kej. 45:1, 5, 15, ABB.

17 Selepas kematian bapa mereka, abang-abang Yusuf takut bahawa Yusuf akan membalas dendam terhadap mereka. Semasa mereka meluahkan kekhuatiran mereka, Yusuf menangis sambil menjawab, “Jangan khuatir. Aku akan mencukupi keperluan kamu dan anak-anak kamu.” Dia “menenteramkan hati mereka dengan kata-kata yang ramah, sehingga mereka terharu.” Yusuf menunjukkan bahawa dia suka akan kedamaian.​—Kej. 50:15-21, ABB.

‘Ditulis untuk Mengajar Kita’

18, 19. (a) Apakah yang telah anda pelajari daripada teladan yang dibincangkan dalam rencana ini? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana yang seterusnya?

18 Paulus menulis, “Segala yang tertulis di dalam Alkitab adalah untuk mengajar kita, supaya kita mempunyai harapan kerana ajaran daripada Alkitab menyebabkan kita bersabar dan berteguh hati.” (Rm. 15:4, ABB) Apakah yang telah kita pelajari daripada teladan Yehuwa, Abraham, Ishak, Yakub, dan Yusuf?

19 Jika kita berfikir tentang segala-gala yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk membolehkan kita berdamai dengan-Nya, kita akan berusaha sedaya upaya untuk berdamai dengan orang lain. Teladan Abraham, Ishak, Yakub, dan Yusuf juga menunjukkan bahawa ibu bapa boleh menetapkan teladan yang baik bagi anak-anak mereka. Tambahan lagi, kita telah belajar bahawa Yehuwa akan memberkati mereka yang berusaha untuk berdamai. Itulah sebabnya Paulus menyatakan bahawa Yehuwa ialah “sumber kedamaian kita”! (Baca Roma 15:33; 16:20.) Dalam rencana seterusnya, kita akan bincangkan mengapa Paulus mengatakan bahawa kita perlu berdamai, dan bagaimana kita dapat berbuat demikian.

Apakah yang Telah Anda Pelajari?

• Sebelum Yakub bertemu dengan Esau, bagaimanakah Yakub menunjukkan bahawa dia mahu berdamai dengannya?

• Yehuwa telah membolehkan kita mempunyai hubungan yang damai dengan-Nya. Apakah kesan teladan-Nya ke atas anda?

• Apakah yang telah anda pelajari daripada teladan Abraham, Ishak, Yakub, dan Yusuf?

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 23]

Apakah langkah terpenting yang diambil oleh Yakub untuk berdamai dengan Esau?