Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Mengapakah Tuhan “sedih apabila orang yang setia kepada-Nya mati”?

▪ Seorang pemazmur bernyanyi, ‘Yehuwa sangat sedih apabila orang yang setia kepada-Nya mati.’ (Mzm. 116:15, ABB) Nyawa setiap penyembah Yehuwa adalah sangat berharga di mata-Nya. Tetapi, ayat ini mempunyai maksud yang lebih mendalam.

Semasa menyampaikan ceramah pengebumian, Mazmur 116:15 tidak sesuai digunakan bagi seorang saudara atau saudari yang telah meninggal. Mengapa? Kerana ayat ini sebenarnya merujuk kepada umat Yehuwa sebagai suatu kelompok. Yehuwa tidak akan mengizinkan semua umat-Nya yang setia untuk mati kerana mereka sangat berharga di mata-Nya.​—Lihat Mazmur 72:14; 116:8.

Mazmur 116:15 memberikan jaminan bahawa Yehuwa tidak akan mengizinkan segenap hamba-Nya yang setia untuk dilenyapkan dari bumi. Sejarah moden kita menunjukkan bagaimana kita telah bertahan meskipun menghadapi penganiayaan dan cubaan yang teruk. Hal ini jelas membuktikan bahawa Yehuwa tidak akan mengizinkan umat-Nya dihapuskan begitu sahaja.

Yehuwa mempunyai kuasa yang tidak terbatas dan tujuan-Nya tidak mungkin gagal. Itulah sebabnya Yehuwa tidak akan mengizinkan kita dilenyapkan dari muka bumi. Kalau tidak, musuh Tuhan akan kelihatan lebih berkuasa daripada-Nya dan tujuan Tuhan agar bumi dipenuhi dengan orang yang setia tidak akan menjadi kenyataan. Ya, Yehuwa tidak akan membenarkan hal ini berlaku! (Yes. 45:18; 55:10, 11) Sekiranya hamba-hamba-Nya dilenyapkan, penyembahan dan khidmat suci kepada Yehuwa di halaman Rumah-Nya di bumi tidak akan wujud lagi! Asas kepada “bumi baru,” iaitu masyarakat manusia yang adil benar tidak akan wujud. (Why. 21:1) Tambahan lagi, tanpa rakyat di bumi, Pemerintahan Seribu Tahun Kristus tidak boleh menjadi kenyataan!​—Why. 20:4, 5.

Kedudukan Tuhan dan nama baik-Nya akan dipersoalkan jika Dia mengizinkan musuh-musuh-Nya untuk membanteras umat-Nya dari bumi. Kedudukan Yehuwa sebagai Pemerintah Yang Berdaulat akan terjejas. Memandangkan Dia menghormati diri-Nya dan nama-Nya, Dia tidak akan mengizinkan pembinasaan hamba-Nya secara tuntas. Dan jangan lupa, Bible memberitahu kita bahawa “tidak ada kecurangan pada-Nya.” Jadi, Dia tentu akan menyelamatkan umat-Nya yang setia. (Ul. 32:4; Kej. 18:25) Lagipun, ‘Tuhan sudah bersumpah bahawa Dia tidak akan meninggalkan umat-Nya.’ Mustahil Dia memungkiri janji-Nya. (1 Sam. 12:22) Sudah tentu, ‘Yehuwa tidak akan meninggalkan umat-Nya; Dia tidak akan mengabaikan orang yang menjadi milik-Nya.’​—Mzm. 94:14, ABB.

Tidakkah anda berasa lega untuk mengetahui bahawa umat Tuhan tidak akan dibinasakan dari bumi? Semoga kita terus menjadi penyembah Tuhan yang setia dan mempercayai janji-Nya yang berikut: “Tiada senjata yang dapat mencederakan kamu; semua tuduhan terhadap kamu akan kamu buktikan salah. Aku akan membela hamba-hamba-Ku, serta memberi mereka kemenangan.”​—Yes. 54:17.

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 22]

Tuhan tidak akan mengizinkan umat-Nya dilenyapkan