Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Hargai Sifat Yehuwa dengan Sepenuhnya

Hargai Sifat Yehuwa dengan Sepenuhnya

‘Kerana kamu anak-anak Tuhan yang dikasihi-Nya, kamu mesti berusaha mengikut teladan-Nya.’—EF. 5:1, ABB.

1. (a) Apakah sifat-sifat Tuhan yang anda tahu? (b) Apakah manfaat yang diperoleh daripada mempelajari sifat-sifat Yehuwa?

SEMASA merenung tentang Yehuwa, apakah sifat-sifat-Nya yang akan anda fikirkan? Anda mungkin mengenali sifat-sifat-Nya seperti kasih, keadilan, kebijaksanaan, dan kuasa. Namun, Yehuwa memiliki banyak lagi sifat-sifat yang baik. Bahan bacaan kita pernah mengupas lebih daripada 40 sifat Tuhan yang menarik. Maka dengan melakukan pembelajaran peribadi atau penyembahan keluarga, kita dapat meneroka semua sifat Yehuwa ini. Dengan berbuat demikian kita akan lebih mengenali Yehuwa dan semakin menghargai sifat-Nya. Oleh itu, kita akan didorong untuk menghampiri-Nya serta meniru sifat baik-Nya.—Yos. 23:8; Mzm. 73:28.

2. (a) Berikan contoh tentang bagaimana kita dapat lebih menghargai sifat Yehuwa. (b) Apakah yang akan kita pelajari?

2 Untuk menghargai sesuatu, kita perlu menyedari nilainya. Penghargaan kita biasanya akan meningkat secara beransur-ansur. Sebagai contoh, bayangkan anda mencuba suatu makanan yang baru. Semasa mencium baunya, anda mula menghargai makanan tersebut. Kemudian anda menikmati betapa enaknya makanan itu. Akhirnya anda sendiri akan menyediakan makanan itu. Begitu juga, kita semakin menghargai Yehuwa dengan berusaha mengenali sifat-Nya, merenungkan sifat itu, dan meniru cara Dia menunjukkan sifat tersebut. (Ef. 5:1) Rencana ini dan dua rencana yang seterusnya akan menghuraikan lebih banyak tentang sifat Yehuwa yang lain. Kita akan membincangkan cara Yehuwa memperlihatkan sifat tersebut, dan cara kita boleh meniru sifat-Nya.

YEHUWA MUDAH DIHAMPIRI

3, 4. (a) Bagaimanakah kita tahu jika seseorang itu mudah dihampiri? (b) Bagaimanakah Yehuwa meyakinkan kita bahawa Dia mudah dihampiri?

3 Bagaimanakah kita tahu jika seseorang itu mudah dihampiri? Barangkali dia baik hati, rela meluangkan masa bersama anda, dan ramah semasa berbual dengan anda. Seorang yang mudah dihampiri dapat dikenali melalui cara percakapan, raut muka, dan gerak-gerinya yang lain.

4 Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa dia mudah dihampiri? Fikirlah tentang doa. Walaupun Yehuwa Pencipta alam semesta, Dia rela meluangkan masa untuk mendengar doa kita serta menjawabnya. (Baca Mazmur 145:18; Yesaya 30:18, 19.) Kita boleh berdoa kepada Yehuwa di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa, dan tidak kira berapa lama. Yehuwa tidak marah walaupun kita kerap menghampiri-Nya melalui doa. (Mzm. 65:3; Yak. 1:5) Firman Tuhan menggambarkan Yehuwa sebagai Tuhan yang senang didekati. Contohnya, Daud menulis bahawa ‘Yehuwa memperhatikan orang yang salih,’ dan ‘tangan-Nya yang kuat menopang kita.’ (Mzm. 34:16; 63:9) Yesaya pula berkata bahawa Yehuwa “akan menjaga umat-Nya seperti seorang gembala; Dia akan mengumpulkan dan mendukung anak-anak domba.” (Yes. 40:11) Bayangkanlah! Yehuwa mahu kita berada dekat dengan-Nya seperti domba yang selesa dalam dakapan gembala yang penyayang. Bapa Yehuwa memang mudah dihampiri! Jadi, bagaimanakah kita boleh meneladani sifat-Nya?

SIFAT YANG SANGAT BERNILAI

5. Mengapakah penting supaya para penatua mudah dihampiri?

5 Kebelakangan ini beberapa orang Saksi dari negara yang berbeza ditanya, “Apakah sifat yang paling anda hargai dalam seorang penatua?” Kebanyakannya menjawab, “Sifat mudah dihampiri.” Sebagai orang Kristian, kita semua perlu memperlihatkan sifat ini terutamanya para penatua. (Yes. 32:1, 2) Seorang saudari menekankan mengapa sifat ini sangat penting dengan berkata, “Jika seorang penatua mudah dihampiri, kita boleh mendapat manfaat daripada sifat-sifatnya yang lain.” Kata-katanya memang benar. Bagaimanakah kita boleh memupuk sifat ini?

6. Apakah caranya untuk menjadi seorang yang mudah dihampiri?

6 Satu cara penatua boleh menjadi seorang yang mudah dihampiri adalah dengan mengambil berat tentang saudara saudari. Dia rela meluangkan masa untuk membantu rakan seiman. Saudara saudari lain, serta anak-anak muda dapat melihat teladan baik penatua. (Mrk. 10:13-16) Carlos yang berumur 12 tahun berkata, “Saya suka apabila melihat penatua di sidang senyum dan baik hati.” Maka, tidak cukup sekiranya penatua hanya berkata bahawa dia mudah dihampiri. Dia harus membuktikannya melalui perbuatan. (1 Yoh. 3:18) Bagaimana?

7. Mengapakah orang berasa senang untuk berbual dengan kita semasa kita menggunakan lencana konvensyen? Apakah pengajarannya?

7 Fikirlah tentang persamaan ini. Tidak lama dahulu seorang saudara telah menghadiri konvensyen di luar negara. Semasa dia menaiki kapal terbang untuk balik ke rumah, dia masih menggunakan lencana konvensyen “Datanglah Kerajaan Tuhan!” Seorang pramugara nampak lencana itu dan berkata kepadanya, “Ya, datanglah Kerajaan Tuhan! Harap kita boleh berbual nanti.” Kemudian mereka berpeluang berbual dan pramugara itu berasa gembira untuk menerima beberapa majalah kita. Jadi apakah pengajarannya? Ya, semasa kita menggunakan lencana konvensyen, kita bagaikan memberitahu orang bahawa mereka boleh mendekati kita dan berbual dengan kita. Kita menunjukkan bahawa kita rela mengongsi kepercayaan dengan mereka. Begitu juga, para penatua perlu menunjukkan bahawa mereka mudah dihampiri. Apakah caranya?

8. Bagaimanakah penatua menunjukkan minat terhadap rakan seiman? Apakah perasaan saudara saudari di sidang?

8 Budaya di setiap negara mungkin berbeza. Namun biasanya penatua boleh menunjukkan minat terhadap saudara saudari dengan memberi senyuman yang tulus, sapaan yang mesra, dan berjabat tangan. Yesus telah meninggalkan teladan baik dengan mengambil langkah pertama untuk mendekati murid-muridnya. Bible menyatakan, “Yesus menghampiri mereka lalu berkata . . . ” (Mat. 28:18) Begitu juga, penatua hari ini boleh mengambil langkah pertama untuk mendekati rakan seiman dan berbual dengan mereka. Apakah perasaan saudara saudari di sidang? Seorang saudari perintis yang berumur 88 tahun berkata, “Senyuman mesra dan komen-komen yang menggalakkan daripada penatua membuatkan saya menyayangi mereka.” Saudari lain pula berkata, “Apabila penatua menyambut saya dengan senyuman mesra di Dewan Perjumpaan, saya berasa sangat terharu.”

RELA MELUANGKAN MASA

9, 10. (a) Mengapakah Yehuwa merupakan teladan baik bagi kita? (b) Bagaimanakah para penatua boleh meniru teladan Yehuwa?

 9 Jika kita ingin orang senang mendekati kita, kita harus rela meluangkan masa bersama mereka. Yehuwa merupakan teladan yang baik. Bible menyatakan ‘Tuhan tidak jauh daripada kita.’ (Kis. 17:27) Penatua boleh meneladani Yehuwa dengan meluangkan masa bersama saudara saudari, tidak kira tua atau muda, sebelum dan selepas perjumpaan. Seorang saudara yang merintis berkata, “Apabila penatua meluangkan masa untuk bertanya khabar dan rela mendengar jawapan saya, saya berasa dihargai.” Seorang saudari yang menyembah Yehuwa selama hampir 50 tahun pula berkata, “Penatua yang mengambil masa selepas perjumpaan untuk berbual dengan saya membuat saya berasa sangat bernilai.”

10 Memang para penatua mempunyai banyak tanggungjawab yang lain. Namun apabila mereka berada di perjumpaan, domba-domba Yehuwalah yang seharusnya diutamakan.

YEHUWA TIDAK BERAT SEBELAH

11, 12. (a) Apakah maksud “tidak berat sebelah”? (b) Mengapakah Yehuwa merupakan teladan yang baik?

11 Satu lagi sifat Yehuwa yang mengagumkan ialah Dia tidak berat sebelah. Namun apakah maksud “tidak berat sebelah”? Hal ini bermaksud kita memperlakukan semua orang dengan sama rata. (Kis. 10:34) Kita harus percaya bahawa semua orang perlu diperlakukan dengan adil, barulah tindakan kita akan menunjukkan bahawa kita tidak berat sebelah. Seseorang yang tidak berat sebelah tidak akan mengutamakan bahagian luaran ataupun kedudukan orang lain, contohnya sama ada mereka miskin atau kaya. Sebaliknya dia akan mementingkan watak sebenar orang itu.

12 Yehuwa merupakan teladan terbaik dalam memperlihatkan sifat tidak berat sebelah. Bible menyatakan bahawa Dia “memperlakukan semua orang dengan sama rata.” (Baca Kisah 10:34, 35; Ulangan 10:17.) Marilah kita lihat sebuah contoh.

Anak perempuan Zelafehad menghargai sifat Yehuwa yang tidak berat sebelah (Lihat  perenggan 13, 14)

13, 14. (a) Apakah masalah yang dihadapi oleh lima orang anak perempuan Zelafehad? (b) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia tidak berat sebelah?

 13 Sebelum memasuki Tanah yang Dijanjikan, lima anak perempuan Zelafehad yang masih bujang menghadapi masalah merunsingkan. Mereka tahu bahawa semua keluarga Israel akan menerima sebidang tanah. (Bil. 26:52-55) Tetapi bapa mereka, Zelafehad, telah meninggal. Tanah itu pula hanya akan diserahkan kepada waris lelaki. Namun mereka tiada adik-beradik lelaki. (Bil. 26:33) Jadi, adakah mereka akan terlepas peluang untuk memiliki tanah tersebut? Adakah tanah itu akan diberikan kepada saudara lelaki tetapi bukannya kepada mereka?

14 Lima adik-beradik perempuan itu pergi kepada Musa dan bertanya, “Mengapakah namanya [Zelafehad] lenyap daripada umat Israel hanya kerana dia tidak mempunyai anak lelaki? Berilah kami bahagian tanah bersama dengan sanak saudara bapa kami.” Adakah Musa menjawab “Tidak boleh. Hal sebegini tidak pernah berlaku”? Tidak. Sebaliknya dia ‘menyampaikan perkara mereka itu kepada Yehuwa.’ (Bil. 27:2-5) Apakah perintah Yehuwa? Yehuwa berkata, “Permintaan anak-anak perempuan Zelafehad itu memang wajar; berilah mereka tanah bersama dengan sanak saudara bapa mereka. Warisan Zelafehad harus diwariskan kepada semua anak perempuannya.” Dia juga menetapkan hukum baru dengan berkata, “Beritahulah umat Israel bahawa apabila seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak lelaki, tanah pusakanya harus diwariskan kepada anak perempuannya.” (Bil. 27:6-8; Yos. 17:1-6, ABB) Sejak masa itu, Yehuwa memastikan bahawa golongan wanita di Israel juga mendapat warisan tanah.

15. (a) Bagaimanakah Yehuwa memperlakukan umat-Nya, termasuk mereka yang amat memerlukan bantuan-Nya? (b) Apakah contoh lain dalam Bible yang menunjukkan bahawa Yehuwa memang tidak berat sebelah?

15 Yehuwa memang tidak berat sebelah! Dia telah memperlakukan lima adik-beradik perempuan itu dengan adil, sepertimana Dia memperlakukan orang Israel yang lain. (Mzm. 68:6) Namun, ini hanyalah satu contoh daripada banyak contoh lain dalam Bible yang membuktikan bahawa Yehuwa memang memperlakukan umat-Nya dengan sama rata.—1 Sam. 16:1-13; Kis. 10:30-35, 44-48.

TIRULAH TELADAN YEHUWA

16. Bagaimanakah kita boleh meniru teladan Yehuwa yang tidak berat sebelah?

16 Bagaimanakah kita boleh meniru teladan Yehuwa? Ingatlah, sifat tidak berat sebelah terdiri daripada dua aspek. Kita harus percaya bahawa semua orang patut dilayan dengan sama rata, barulah kita akan bertindak dengan tidak berat sebelah. Namun, bagaimanakah kita tahu sama ada kita benar-benar memiliki sifat ini? Mungkin susah untuk bersikap jujur dengan diri sendiri. Yesus pernah bertanya kepada kawan-kawannya, “Menurut kata orang siapakah Anak Manusia itu?” (Mat. 16:13, 14) Ya, kita boleh meniru teladan Yesus. Tanyalah seorang kawan yang boleh dipercayai, “Adakah saya bersifat adil?” Mungkin dia menjawab bahawa anda dipengaruhi oleh bangsa, kedudukan kewangan, ataupun tahap pendidikan seseorang. Kalau begitu, apakah yang harus anda lakukan? Berdoalah kepada Yehuwa dan mohonlah bantuan-Nya untuk memperbaiki sikap anda.—Mat. 7:7; Kol. 3:10, 11.

17. Bagaimanakah kita boleh memperlakukan orang lain dengan tidak berat sebelah?

 17 Dalam sidang, kita boleh meniru teladan Yehuwa dengan memperlakukan semua saudara saudari dengan hormat dan baik hati. Contohnya, semasa menjemput orang ke rumah, cubalah menjemput orang daripada segala latar belakang, termasuk orang yang miskin, balu, serta anak yatim. (Baca Galatia 2:10; Yakobus 1:27.) Semasa aktiviti penyebaran pula, kita akan menginjil kepada semua orang, termasuk orang yang berasal dari negara lain. Organisasi Yehuwa telah menyediakan bahan bacaan dalam kira-kira 600 bahasa yang berbeza. Ini merupakan bukti besar bahawa hamba Yehuwa tidak berat sebelah!

18. Apakah yang akan berlaku jika kita merenungkan sifat-sifat Yehuwa?

18 Jika kita merenungkan sifat-sifat Yehuwa bahawa Dia mudah dihampiri dan tidak berat sebelah, kita akan lebih menghargai Yehuwa. Hal ini pula akan mendorong kita untuk mencerminkan sifat-sifat Yehuwa dengan sepenuhnya semasa bersama saudara saudari dan dengan orang yang kita jumpa dalam kerja penyebaran.

Yehuwa “dekat dengan orang yang berseru kepada-Nya.”—Mzm. 145:18 (Lihat  perenggan 9)

‘Yehuwa, Tuhan kamu tidak berat sebelah.’—Ul. 10:17 (Lihat  perenggan 17)