Gandakan Usaha Anda untuk Memberikan Amaran
Sebuah filem senyap yang bertajuk A Trip Down Market Street memukau penonton dengan kehidupan seharian orang di San Francisco, A.S. pada awal abad ke-20. Sebuah kamera telah dipasang pada hadapan kereta kabel yang sedang bergerak. Kamera ini merakam aktiviti di sepanjang jalan besar yang sibuk. Filem ini memaparkan kereta kuda dan kereta model awal, serta orang yang sibuk membeli-belah, dan penjual surat khabar yang lalu-lalang.
Filem ini disulami rasa tragedi kerana rakamannya mungkin dibuat pada April 1906, sebelum kejadian gempa bumi dan kebakaran yang dahsyat pada 18 April yang telah meragut ribuan nyawa dan hampir memusnahkan pusat bandar. Kemungkinannya, wajah-wajah riang yang muncul di hadapan kamera terkorban beberapa hari selepas itu. “Saya nampak orang di dalam filem,” kata Scott Miles, salah seorang keturunan pembuat filem, “mereka tidak sedar apa yang bakal menimpa. Kesiannya mereka.”
Begitu juga dengan hari ini. Tragedi bakal menimpa. Kita bersimpati terhadap orang di sekeliling. Mereka menjalankan aktiviti harian tanpa menyedari bahaya di depan mata, iaitu kemusnahan sistem dunia ini. Tidak seperti gempa bumi yang tidak dapat diduga, kita berpeluang memberikan amaran kepada mereka tentang hari penghakiman Yehuwa yang bakal berlaku. Anda semestinya sudah menjadualkan masa setiap minggu untuk menginjil dari rumah ke rumah, tetapi bolehkah anda menggandakan usaha?
YESUS SENTIASA BERSEDIA
Kita patut mencontohi Yesus kerana dia sentiasa bersedia memberikan kesaksian. Dia menginjil kepada semua orang, tidak kira pemungut cukai di tepi jalan atau wanita yang menimba air dari perigi. (Luk. 19:1-5; Yoh. 4:5-10, 21-24) Yesus bahkan sudi mengorbankan masa rehatnya untuk mengajar orang. Rasa belas kasihan menggerakkan Yesus untuk memberikan kesaksian dengan penuh semangat. (Mrk. 6:30-34) Bagaimanakah umat Tuhan hari ini mencontohi sikap mendesak Yesus?
MEREKA MENGGUNAKAN SETIAP KESEMPATAN
Melika tinggal di bangunan berkawalan ketat. Ramai jirannya ialah pelajar asing. Nombor telefon bimbit mereka tidak tersenarai di panduan telefon.
Nama mereka juga tidak tersenarai di lobi pangsapuri. Maka, dia mengambil kesempatan untuk memberikan kesaksian kepada mereka di lobi atau dalam lif. Dia berkata, “Inilah kawasan penyebaran saya.” Melika membawa bahan bacaan dalam beberapa bahasa bersamanya, dan ramai yang menerima risalah dan majalah. Dia juga menghalakan perhatian mereka ke laman Web kita, jw.org. Hasilnya, dia dapat memulakan beberapa pembelajaran Bible.Sonia juga peka memberikan kesaksian. Dia bekerja di klinik dan menetapkan matlamat untuk memberikan kesaksian kepada setiap rakan kerjanya. Pada mulanya, dia meluangkan masa untuk mengetahui keperluan dan minat setiap orang. Kemudian, dia menggunakan masa rehatnya untuk berjumpa dengan mereka dan membincangkan hal-hal rohani. Hasilnya, Sonia dapat memulakan dua pembelajaran Bible. Dia juga merancang untuk menggunakan masa rehatnya untuk bercakap dengan orang yang menunggu di lobi klinik.
GUNAKANLAH SETIAP KESEMPATAN
Seorang lelaki yang selamat mengharungi gempa bumi pada tahun 1906 menggambarkannya sebagai “bencana paling teruk yang pernah menimpa sebuah negeri atau kota.” Tetapi, tiada bencana yang dapat menandingi hari Yehuwa yang ‘menghukum orang yang tidak mahu mengakui-Nya.’ (2 Tes. 1:8) Yehuwa ingin agar manusia mengubah hati dan minda serta mendengarkan amaran yang diberikan oleh Saksi-Saksi-Nya.—2 Ptr. 3:9; Why. 14:6, 7.
Dapatkah anda menggunakan setiap kesempatan untuk memberikan kesaksian semasa menjalankan aktiviti harian?
Anda diberikan peluang istimewa untuk menyedarkan orang tentang masa yang genting ini. Anda juga berpeluang membantu mereka meninggalkan kepentingan sendiri, dan kembali kepada Yehuwa. (Zef. 2:2, 3) Dapatkah anda menggunakan setiap peluang untuk memberikan kesaksian kepada rakan kerja, jiran tetangga, dan orang yang anda jumpai semasa menjalankan kegiatan harian? Adakah anda akan menggiatkan usaha untuk berbuat demikian?