Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Taatilah Gembala Yehuwa

Taatilah Gembala Yehuwa

“Taatilah pemimpin kamu dan turutlah perintah mereka. Tanpa mengenal lelah mereka memperhatikan kamu.”IBR. 13:17.

1, 2. Mengapakah Yehuwa menggambarkan diri-Nya sebagai seorang gembala?

YEHUWA menggambarkan diri-Nya sebagai gembala. (Yeh. 34:11-14) Hal ini membantu kita memahami sifat-sifat-Nya. Seorang gembala yang bertanggungjawab akan memelihara kawanan domba yang berada di bawah jagaannya. Dia akan membawa kawanannya ke padang rumput dan sumber air (Mzm. 23:1, 2); memerhatikan mereka siang dan malam (Luk. 2:8); melindungi mereka daripada binatang buas (1 Sam. 17:34, 35); mendukung anak-anak domba (Yes. 40:11); mencari domba yang hilang dan mengubati domba yang sakit.—Yeh. 34:16.

2 Umat Tuhan pada zaman kuno bekerja sebagai gembala dan petani. Maka mereka tahu bahawa domba memerlukan jagaan supaya sihat dan sejahtera. Begitu juga, manusia memerlukan jagaan dan bimbingan daripada Yehuwa. (Mrk. 6:34) Tanpa jagaan dan bimbingan rohani, manusia akan menderita. Mereka terdedah kepada bahaya dan tidak mempunyai bimbingan moral, seperti kawanan domba yang bertempiaran kerana “tidak mempunyai gembala.” (1 Raj. 22:17) Sebaliknya, Yehuwa menyediakan segala keperluan umat-Nya.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Kita juga memahami mengapa Yehuwa menggambarkan diri-Nya sebagai gembala. Dia masih memelihara umat-Nya pada hari ini. Mari kita lihat bagaimana Yehuwa membimbing dan memenuhi keperluan domba-domba-Nya. Kita juga akan membincangkan apa yang harus kita lakukan untuk menerima manfaat daripada bimbangan dan jagaan Yehuwa.

GEMBALA YANG BAIK MELANTIK PARA PENATUA

4. Bagaimanakah Yesus memelihara kawanan domba Yehuwa?

4 Yehuwa melantik Yesus menjadi Kepala sidang Kristian. (Ef. 1:22, 23) Selaku “gembala yang baik,” Yesus mencontohi Bapanya. Dia mengasihi dan menjaga sidang, malah ‘mengorbankan nyawa untuk kawanan domba.’ (Yoh. 10:11, 14, 15) Tebusan Yesus memang bernilai bagi manusia! (Mat. 20:28) Hal ini sememangnya selaras dengan tujuan Yehuwa, iaitu ‘setiap orang yang percaya kepada Yesus tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.’—Yoh. 3:16.

5, 6. (a) Yesus melantik siapa untuk memelihara dombanya? Apakah yang perlu dilakukan oleh domba untuk meraih manfaat? (b) Apakah sebab utama kita ingin mematuhi para penatua?

5 Bagaimanakah domba mengikut Yesus Kristus sebagai Gembala mereka? Yesus berkata, ‘Domba-dombaku mendengarkan suaraku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut aku.’ (Yoh. 10:27, ABB) Domba-domba mendengar Gembala Yang Baik dengan sentiasa mematuhi bimbingannya. Hal ini termasuk bekerjasama dengan penatua yang telah dilantik olehnya. Yesus menyuruh para rasul dan murid-muridnya untuk terus menggembala kawanannya. Mereka harus ‘mengajar’ dan ‘memelihara anak domba Yesus.’ (Mat. 28:20; baca Yohanes 21:15-17.) Seraya berita baik tersebar luas dan bilangan pengikutnya bertambah, Yesus melantik penatua yang matang untuk menggembala sidang.—Ef. 4:11, 12.

6 Dalam suratnya kepada penyelia sidang di Efesus, rasul Paulus menunjukkan bahawa daya aktif telah melantik mereka untuk menyelia dan ‘menjaga jemaah Tuhan.’ (Kis. 20:28) Begitu juga dengan para penatua hari ini. Mereka dilantik berdasarkan syarat-syarat Bible yang diilhami daya aktif Tuhan. Jadi, apabila kita mematuhi para penatua, kita sedang menghormati Yehuwa dan Yesus, dua Gembala yang agung. (Luk. 10:16) Inilah sebab utama kita ingin tunduk kepada para penatua. Tetapi, ada juga sebab lain kita perlu berbuat demikian.

7. Bagaimanakah penatua membantu anda memelihara hubungan yang baik dengan Yehuwa?

7 Galakan, bimbingan, dan nasihat yang diberikan oleh para penatua kepada rakan seiman selalunya didasarkan pada Bible. Mereka tidak ingin mengongkong saudara saudari. (2 Kor. 1:24) Sebaliknya, mereka membantu saudara saudari untuk membuat keputusan yang bijak berdasarkan prinsip Bible. Hasilnya, sidang dapat terus aman dan bersatu. (1 Kor. 14:33, 40) Para penatua sedang ‘memperhatikan kita,’ iaitu dengan membantu kita memelihara hubungan yang baik dengan Yehuwa. Jadi, mereka cepat membantu saudara saudari yang hampir-hampir atau telah “melakukan sesuatu yang salah.” (Gal. 6:1, 2; Yud. 22) Bukankah hal ini menggerakkan kita untuk mentaati saudara yang mengambil pimpinan?—Baca Ibrani 13:17.

8. Bagaimanakah penatua melindungi kawanan Tuhan?

8 Paulus yang juga seorang gembala menulis kepada sidang Kolose, “Berwaspadalah supaya tidak seorang pun memperhamba kamu dengan falsafah manusia, yang tidak berguna dan menyesatkan. Ajaran itu bukan daripada Kristus, melainkan ajaran manusia yang diturunkan dari generasi ke generasi, dan ajaran daripada roh-roh yang menguasai alam semesta.” (Kol. 2:8, ABB) Amaran ini memberikan satu lagi alasan yang baik untuk mendengarkan nasihat penatua yang berdasarkan Bible. Penatua melindungi saudara saudari daripada orang yang ingin melemahkan iman mereka. Rasul Petrus memberikan amaran tentang “nabi-nabi palsu” dan “guru-guru palsu” yang ingin memerangkap “orang yang lemah iman” untuk melakukan dosa. (2 Ptr. 2:1, 14) Jika perlu, penatua akan memberikan amaran sedemikian. Para penatua yang matang secara rohani mempunyai pengalaman hidup. Sebelum dilantik, mereka juga menunjukkan bahawa mereka memahami Bible dengan mendalam dan layak mengajarkan kebenaran Bible. (1 Tim. 3:2; Tit. 1:9) Kematangan mereka, sikap yang tidak keterlaluan dan kebijaksanaan yang berdasarkan Bible membantu mereka membimbing kawanan dengan mahir.

Sepertimana gembala menjaga domba, para penatua menjaga kawanan Tuhan (Lihat perenggan 8)

GEMBALA YANG BAIK MEMELIHARA DOMBA-DOMBANYA

9. Bagaimanakah Yesus membimbing dan memelihara sidang hari ini?

9 Melalui organisasi-Nya, Yehuwa menyediakan makanan rohani yang berlimpah bagi saudara saudari di seluas dunia. Bahan bacaan kita mengandungi banyak nasihat Bible. Kadangkala, organisasi Yehuwa memberikan arahan kepada para penatua melalui surat atau daripada penyelia lawatan. Dengan ini, kawanan dapat menerima bimbingan yang jelas.

10. Apakah tanggungjawab penatua jika terdapat domba yang menyimpang?

10 Para penatua bertanggungjawab untuk menjaga, merawat dan melindungi kawanan domba, terutamanya mereka yang lemah ataupun sakit secara rohani. (Baca Yakobus 5:14, 15.) Ada yang menyimpang dari sidang dan berhenti menyembah Tuhan. Dalam situasi ini, penatua yang pengasih akan berusaha sedaya upaya untuk mencari domba yang sesat itu dan menggalakkannya untuk kembali ke sidang. Yesus menjelaskan, ‘Bapa kamu yang di syurga tidak mahu salah seorang pengikutku yang kecil ini sesat.’—Mat. 18:12-14.

BAGAIMANA KITA MEMANDANG KETIDAKSEMPURNAAN PENATUA

11. Mengapakah sesetengah orang berasa susah untuk mematuhi para penatua?

11 Yehuwa dan Yesus ialah Gembala yang sempurna. Tetapi mereka melantik para penatua yang tidak sempurna untuk menjaga sidang. Hakikat ini membuatkan sesetengah orang berasa susah untuk mematuhi para penatua. Mereka mungkin berfikir, “Penatua juga manusia yang tidak sempurna seperti kita. Mengapakah kita perlu mendengar nasihat mereka?” Memang benar para penatua tidak sempurna. Tetapi kita perlu mempunyai pandangan yang sepatutnya terhadap kelemahan dan ketidaksempurnaan mereka.

12, 13. (a) Pada masa dahulu, apakah kesilapan yang dilakukan oleh orang yang digunakan Yehuwa untuk memimpin umat-Nya? (b) Mengapakah kesilapan mereka dicatatkan dalam Bible?

12 Bible mendedahkan kesilapan orang yang digunakan oleh Yehuwa untuk memimpin umat-Nya pada zaman kuno. Contohnya, Daud telah dilantik sebagai raja dan pemimpin orang Israel. Namun dia berdosa terhadap Yehuwa dengan berzina dan membunuh. (2 Sam. 12:7-9) Fikirkan juga rasul Petrus. Walaupun diberikan tanggungjawab yang berat untuk memimpin sidang Kristian abad pertama, dia melakukan kesilapan yang serius. (Mat. 16:18, 19; Yoh. 13:38; 18:27; Gal. 2:11-14) Selain daripada Yesus, tiada manusia yang sempurna sejak Adam dan Hawa.

13 Mengapakah Yehuwa membenarkan penulis Bible untuk mencatatkan kesilapan orang yang dilantik-Nya? Salah satu sebab adalah kerana Yehuwa ingin menunjukkan bahawa Dia boleh menggunakan manusia yang tidak sempurna untuk memimpin umat-Nya. Sebenarnya Yehuwa sentiasa berbuat demikian. Maka kita tidak seharusnya memandang ketidaksempurnaan penatua sebagai alasan untuk bersungut atau menolak bimbingan mereka. Yehuwa menghendaki kita untuk menghormati dan mematuhi mereka.—Baca Keluaran 16:2, 8.

14, 15. Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Yehuwa berkomunikasi dengan umat-Nya pada zaman kuno?

14 Amatlah penting untuk mematuhi mereka yang mengambil pimpinan hari ini. Fikirkan cara Yehuwa berkomunikasi dengan orang Israel kuno pada saat-saat genting. Semasa meninggalkan Mesir, Yehuwa membimbing mereka melalui Musa dan Harun. Jika mereka ingin selamat mengharungi tulah kesepuluh, mereka perlu mengikut arahan. Orang Israel telah disuruh untuk mengadakan jamuan yang istimewa, lalu mengambil sedikit darah binatang dan menyapukannya pada tiang dan ambang pintu rumah. Mereka tidak mendengar suara dari syurga menyampaikan arahan ini. Sebaliknya mereka mendengar orang tua-tua yang menerima arahan terperinci daripada Musa. (Kel. 12:1-7, 21-23, 29) Musa dan orang tua-tua memainkan peranan sebagai wakil yang menyampaikan arahan Tuhan. Hari ini, penatua Kristian memainkan peranan yang sama.

15 Anda mungkin dapat memikirkan beberapa kisah Bible yang menunjukkan bahawa Yehuwa membimbing dan menyelamatkan umat-Nya menerusi manusia atau malaikat. Dia mahu melantik wakil-wakil ini dan memberi mereka kekuasaan untuk menyampaikan arahan yang dapat menyelamatkan umat-Nya. Kemungkinan besar Yehuwa juga akan berbuat demikian semasa Armagedon. Sudah pasti, para penatua hari ini yang diamanahkan tanggungjawab untuk mewakili Yehuwa atau organisasi-Nya patut berhati-hati supaya tidak menyalahgunakan kekuasaan.

‘SATU KAWANAN, SATU GEMBALA’

16. ‘Suara’ yang disebutkan di Yesaya 30:21 merangkumi apa?

16 Umat Yehuwa membentuk “satu kawanan” di bawah “satu gembala,” iaitu Yesus Kristus. (Yoh. 10:16) Yesus berkata bahawa dia akan bersama pengikutnya sehingga penghujung sistem dunia ini. (Mat. 28:20) Sebagai Raja di syurga, Yesus dapat mengawal semua peristiwa yang berlaku sekarang sehingga dia datang untuk memusnahkan dunia Syaitan. Bagaimanakah kita dapat tetap bersatu dan selamat dalam organisasi Yehuwa? Bible menjawab, ‘Dengarkanlah suara-Nya di belakang kamu yang berfirman, “Inilah jalannya, ikutlah jalan ini!”’ ‘Suara’ ini merangkumi ajaran Yehuwa yang disampaikan melalui Bible dan apa yang dikatakan oleh Yehuwa dan Yesus melalui gembala yang dilantik oleh mereka.—Baca Yesaya 30:21; Wahyu 3:22.

Para penatua berusaha untuk melindungi keluarga tunggal daripada pergaulan buruk (Lihat perenggan 17, 18)

17, 18. (a) Apakah yang membahayakan kawanan, dan kita dapat yakin akan apa? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Syaitan seperti “singa yang mengaum sambil mencari mangsa.” (1 Ptr. 5:8) Sebagai pemangsa yang rakus, Syaitan sedang merayau-rayau dan menunggu masa yang sesuai untuk melahap mereka yang lemah atau yang meninggalkan kawanan. Inilah sebabnya kita perlu sentiasa berada di dalam sidang dan di sisi Yehuwa, iaitu “Gembala dan Pemelihara jiwa” kita. (1 Ptr. 2:25) Mengenai orang yang selamat mengharungi kesengsaraan besar, Wahyu 7:17 berkata, ‘Anak Domba, Yesus, akan menggembalakan mereka, dan dia akan memimpin mereka ke sumber air yang memberikan hidup. Tuhan akan menyapu air mata mereka.’ Betapa baiknya harapan ini!

18 Selepas membincangkan peranan penting para penatua sebagai gembala, para penatua harus bertanya, “Sebagai saudara terlantik, bagaimanakah saya dapat memastikan bahawa domba Yesus dilayan dengan baik?” Jawapannya akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya.