Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kata-kata Anda—‘Ya tetapi Tidak’?

Kata-kata Anda—‘Ya tetapi Tidak’?

Fikirkan situasi ini: Seorang penatua yang merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Perhubungan Hospital telah merancang untuk bekerja bersama seorang saudara muda dalam aktiviti penyebaran pada hari minggu. Tetapi pada pagi itu, penatua ini menerima panggilan kecemasan. Isteri seorang saudara mengalami kemalangan dan dibawa ke hospital. Saudara itu meminta bantuan untuk mencari doktor yang dapat memberikan rawatan tanpa darah. Jadi, penatua ini membatalkan rancangannya dengan saudara muda itu agar dia dapat memberi bantuan kepada keluarga yang menghadapi kecemasan.

Fikirkan satu lagi situasi: Sepasang suami isteri menjemput seorang balu bersama dua orang anak ke rumah untuk bergaul bersama. Balu ini memberitahu anaknya mengenai jemputan ini. Mereka berasa sangat gembira. Namun, pasangan itu membatalkan rancangan mereka dengan balu ini kerana ada urusan lain. Kemudian balu ini mendapat tahu mengapa mereka membatalkannya. Rupa-rupanya, pasangan itu telah dijemput ke rumah rakan mereka pada hari yang sama.

Sebagai seorang Kristian, kita patut menunaikan janji kita. Kita tidak patut mengatakan ‘ya tetapi tidak.’ (2 Kor. 1:18) Seperti dua contoh tadi, bukan semua situasi adalah sama. Kadangkala kita seolah-olah tiada pilihan dan terpaksa membatalkan rancangan kita. Rasul Paulus pernah mengalami situasi sebegini.

PAULUS DITUDUH CEPAT BERUBAH HATI

Pada 55 M, semasa perjalanannya yang ketiga, Paulus berada di Efesus. Dia merancang untuk melintasi Laut Aegean ke Korintus dan kemudian ke Makedonia. Semasa pulang ke Yerusalem, dia merancang untuk melawat sidang Korintus buat kali kedua untuk membawa sumbangan dari sana kepada sidang Yerusalem. (1 Kor. 16:3) Hal ini tercatat di 2 Korintus 1:15, 16, (ABB) yang menyatakan, “Aku begitu yakin akan semua itu, sehingga pada mulanya aku bercadang hendak melawat kamu, supaya kamu boleh menerima berkat dua kali ganda. Aku bercadang hendak melawat kamu dalam perjalananku ke Makedonia dan juga dalam perjalanan kembali supaya kamu dapat membantu aku meneruskan perjalanan ke Yudea.”

Nampaknya, Paulus sudah memberitahu rancangannya kepada sidang Korintus melalui surat yang sebelumnya. (1 Kor. 5:9) Tidak lama selepas menulis surat itu, Paulus mendengar daripada keluarga Kloe bahawa terdapat pertengkaran di sidang Korintus. (1 Kor. 1:10, 11) Oleh itu, Paulus mengubah rancangannya. Maka dia menulis surat 1 Korintus kepada mereka. Dalam surat ini, Paulus memberikan nasihat dan teguran. Dia juga menulis tentang perubahan rancangannya dan memberitahu mereka bahawa dia akan pergi ke Makedonia dahulu sebelum ke Korintus.1 Kor. 16:5, 6. *

Selepas sidang Korintus menerima surat Paulus, nampaknya ‘rasul-rasul yang istimewa’ di sana menuduh bahawa dia cepat berubah hati kerana tidak menunaikan janji. Untuk membela diri, Paulus berkata, “Aku mengubah rancanganku. Adakah hal itu bererti bahawa pendirianku tidak tetap? Semasa aku mencadangkan sesuatu, adakah aku mementingkan diri sendiri sahaja, kerana sebentar berkata ‘Ya’ dan sebentar ‘Tidak’?”2 Kor. 1:17; 11:5.

Kita mungkin tertanya, “Adakah pendirian Paulus tidak tetap?” Sudah tentu tidak! Perkataan yang diterjemahkan sebagai “tidak tetap” boleh membawa maksud cepat berubah hati, seolah-olah orang itu tidak boleh dipercayai dan tidak menunaikan janjinya. Jadi, Paulus menjawab mereka dengan menanya soalan, “Adakah aku mementingkan diri sendiri sahaja?” Orang Kristian di Korintus sepatutnya tahu bahawa Paulus mengubah rancangannya bukan kerana dia tidak boleh dipercayai.

Paulus menjawab tuduhan itu dengan tegas, ‘Demi Tuhan yang dapat dipercayai, janjiku kepada kamu bukanlah “Ya” dan “Tidak.”’ (2 Kor. 1:18, ABB) Pastinya Paulus mengambil berat tentang saudara saudari di Korintus semasa mengubah rancangannya. Ayat di 2 Korintus 1:23 menyatakan bahawa Paulus mengubah rancangannya untuk ke Korintus kerana ‘dia tidak mahu menyedihkan hati mereka.’ Paulus memberi mereka peluang untuk membetulkan keadaan sebelum melawat mereka. Semasa di Makedonia, Paulus mendapat berita dari Titus mengenai sidang Korintus. Seperti yang dia harapkan, selepas menerima suratnya, mereka menyesal dan bertaubat. Hal ini membawa sukacita kepada Paulus.2 Kor. 6:11; 7:5-7.

KATA “AMIN” YANG DIUCAP KEPADA TUHAN

Tuduhan bahawa Paulus cepat berubah hati mungkin menunjukkan bahawa janji-janji dan kerja penyebarannya tidak boleh dipercayai. Walaupun demikian, Paulus mengingatkan orang Kristian di Korintus bahawa dia telah menginjil mengenai Yesus Kristus kepada mereka. ‘Yesus Kristus, Anak Tuhan yang diisytiharkan kepada kamu oleh Silas, Timotius dan aku sendiri bukanlah “Ya” dan “Tidak.” Sebaliknya dia itu jawapan “Ya” daripada Tuhan.’ (2 Kor. 1:19) Adakah Yesus Kristus tidak boleh dipercayai? Tidak! Sepanjang hidupnya, Yesus sentiasa bercakap benar. (Yoh. 14:6; 18:37) Jika Paulus mengikut contoh Yesus, sudah tentu dia juga menyebarkan berita yang boleh dipercayai.

Sudah tentu Yehuwa ialah ‘Tuhan yang tidak berdusta.’ (Tit. 1:2) Paulus menulis, ‘Melalui Kristus, Tuhan sudah mengatakan “Ya” kepada semua janji-Nya.’ Kesetiaan Yesus yang sempurna semasa di bumi membuktikan bahawa semua janji Yehuwa adalah benar. Paulus meneruskan, ‘Itulah sebabnya melalui Yesus Kristus, kata “Amin” kita ucapkan untuk memuliakan Tuhan.’ (2 Kor. 1:20) Ayat ini membuktikan bahawa Yesus ialah “Amin” atau jaminan bahawa semua janji Yehuwa pasti ditunaikan.

Seperti Yesus dan Yehuwa, Paulus juga bercakap benar. (2 Kor. 1:19) Dia tidak mudah berubah hati atau membuat janji demi ‘kepentingan diri sendiri sahaja.’ (2 Kor. 1:17) Sebaliknya, dia ‘membiarkan daya aktif Tuhan memimpin hidupnya.’ (Gal. 5:16) Semasa berurusan dengan orang lain, dia mengutamakan kepentingan mereka. Apabila dia berkata Ya, memang Ya!

ADAKAH KATA-KATA ANDA YA BERMAKSUD YA?

Hari ini, orang yang tidak mengikut prinsip Bible selalu berjanji dan kemudian membatalkannya apabila masalah kecil atau sesuatu yang lebih menarik timbul. Dalam dunia perniagaan, kata “ya” tidak selalunya bermaksud “ya,” walaupun terdapat perjanjian bertulis. Ramai tidak lagi memandang perkahwinan sebagai ikatan seumur hidup. Oleh itu, kadar perceraian melambung tinggi. Mereka memandang perkahwinan sebagai perkara biasa yang boleh ditinggalkan begitu sahaja.2 Tim. 3:1, 2.

Bagaimana pula dengan anda? Adakah kata-kata anda Ya bermaksud Ya? Kadangkala anda terpaksa membatalkan sesuatu rancangan seperti contoh di perenggan pertama. Hal ini bukan bererti anda mudah berubah hati, tetapi mungkin disebabkan oleh keadaan yang tidak dapat dielakkan. Namun, sebagai seorang Kristian, anda patut berusaha untuk menunaikan janji yang telah dibuat. (Mzm. 15:4; Mat. 5:37) Dengan demikian, anda akan menjadi seorang yang dapat dipercayai dan sentiasa bercakap benar. (Ef. 4:15, 25; Yak. 5:12) Apabila orang melihat bahawa anda boleh dipercayai, mereka mungkin lebih sudi untuk mendengar berita Kerajaan Tuhan. Semoga kita berkata Ya pasti bermaksud Ya!

^ per. 7 Tidak lama selepas menulis surat 1 Korintus, Paulus memang pergi ke Makedonia melalui Troas. Di sana dia menulis surat 2 Korintus. (2 Kor. 2:12; 7:5) Kemudian, barulah dia melawat sidang Korintus.