“Buatlah Rancanganmu dengan Teliti” untuk Berjaya
SEMASA orang Israel meninggalkan kota Babilon pada 537 SM, Yehuwa memastikan perjalanan mereka lancar. Dia memberitahu mereka, “Binalah jalan bagi orang kamu yang pulang dari pembuangan. Binalah sebatang lebuh raya; buanglah batu-batu!” (Yes. 62:10) Bayangkan tugas yang perlu mereka lakukan. Mereka perlu berjalan terlebih dahulu untuk membina jalan dengan menimbus lubang serta meratakan tanah. Dengan demikian, perjalanan menjadi lebih senang bagi orang Israel yang lain untuk pulang ke tanah air.
Peristiwa ini boleh disamakan dengan perjalanan kita untuk mencapai matlamat rohani. Yehuwa ingin semua umat-Nya membuat kemajuan rohani tanpa halangan. Bible menggesa, “Buatlah rancanganmu dengan teliti supaya apa sahaja yang kamu lakukan akan berjaya.” (Ams. 4:26) Nasihat ini memang bermanfaat bagi orang yang muda dan yang dewasa.
RANCANGLAH DENGAN BIJAK
Mungkin anda pernah mendengar orang berkata tentang seorang pemuda, “Dia mempunyai masa depan yang cerah,” atau “Dia ada banyak potensi.” Ya, kaum muda memang mempunyai kesihatan yang baik, minda yang cergas, serta keinginan untuk berjaya. Bible menyatakan, “Orang muda dikagumi kerana kekuatan” mereka. (Ams. 20:29) Kaum muda yang menggunakan bakat serta tenaga untuk menyembah Yehuwa dan mengejar matlamat rohani boleh menikmati kebahagiaan sejati.
Namun, kebolehan kaum muda juga diperhatikan oleh dunia. Apabila kaum muda yang merupakan Saksi mendapat pencapaian baik di sekolah, guru-guru serta rakan sekolah biasanya akan menggesa mereka untuk mendapatkan pengajian tinggi. Jika seorang saudara atau saudari muda mahir bersukan, dia akan diberikan tawaran yang menarik dalam kerjaya sukan. Pernahkah anda
mengalaminya, atau mengenal orang lain yang menghadapi situasi ini? Bagaimanakah seorang Kristian dapat merancang dengan bijak?Ajaran Bible dapat membantu seseorang untuk memiliki kehidupan yang terbaik. Pengkhutbah 12:1 menyatakan, “Ingatlah Pencipta kamu semasa kamu masih muda.” Bagaimanakah kaum muda dapat ‘mengingat Pencipta’ mereka?
Perhatikanlah kisah Eric * dari Afrika Barat. Dia gemar bermain bola sepak. Pada umur 15 tahun, dia dipilih untuk menyertai pasukan bola sepak kebangsaan. Maksudnya, dia berpeluang untuk mendapatkan latihan di Eropah, lalu memulakan kerjaya dalam sukan tersebut. Namun, apakah pandangannya terhadap nasihat untuk ‘mengingat Penciptanya’? Apakah yang boleh kita pelajari daripada kisahnya?
Semasa masih bersekolah, Eric mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dia belajar bahawa Pencipta akan menyelesaikan segala masalah manusia untuk selama-lamanya. Dia sedar betapa pentingnya menggunakan masa dan tenaga untuk melakukan kehendak Tuhan. Maka, Eric membuat pilihan bijak dengan tidak mengejar kerjaya sukan. Sebaliknya, dia dibaptis dan membuat kemajuan rohani. Lama-kelamaan, dia menjadi pembantu sidang serta dijemput ke Sekolah Bible untuk Saudara Bujang.
Katakan Eric telah mengejar kerjaya sukan, dia mungkin menjadi masyhur dan kaya. Tetapi Erik memahami kata-kata Bible, “Orang kaya menyangka bahawa harta yang melindungi mereka seperti tembok tinggi dan kuat di sekeliling kota.” (Ams. 18:11) Ya, apa sahaja jaminan daripada kekayaan hanyalah khayalan. Tambahan pula, orang yang mengejar kekayaan biasanya akan “menderita serta berdukacita” pada akhirnya.—1 Tim. 6:9, 10.
Ramai kaum muda menikmati sukacita sejati kerana menceburi khidmat sepenuh masa. Eric berkata, “Saya telah menyertai ‘pasukan’ besar penyembah Yehuwa yang berkhidmat sepenuh masa. Itulah pasukan terbaik, dan saya bersyukur kepada Yehuwa kerana menunjukkan satu-satunya jalan yang membawa kejayaan dan kebahagiaan sejati.”
Bagaimana pula dengan anda? Anda juga boleh membuat rancangan untuk menceburi khidmat perintis, dan bukannya mengejar matlamat dunia.—Lihat kotak “ Manfaat yang Tidak dapat Dicapai di Universiti.”
SINGKIRKAN HALANGAN
Semasa melawat pejabat cawangan di Amerika Syarikat, sepasang suami isteri melihat bahawa ahli Bethel yang berkhidmat di sana amat gembira. Saudari itu kemudian menulis, “Hidup kami terlalu selesa.” Maka, pasangan itu memutuskan untuk meluangkan lebih banyak masa dan tenaga untuk meningkatkan khidmat kepada Yehuwa.
Pada suatu ketika, mereka berasa bahawa penyesuaian yang harus dilakukan terlalu sukar. Namun, pada suatu hari mereka membaca ayat harian yang dipetik daripada Yohanes 8:31. Mereka merenungkan kata-kata Yesus, ‘Jika kamu taat kepada ajaranku, kamu benar-benar pengikutku.’ Maka, mereka berfikir, “Usaha kami untuk menyederhanakan hidup memang berbaloi.” Mereka menjual rumah yang besar, menyingkirkan halangan yang lain, dan berpindah ke sebuah sidang yang memerlukan bantuan. Kini mereka merintis, membantu membina Dewan Perjumpaan, dan membantu semasa konvensyen distrik. Mereka berkata, “Kami kagum dengan sukacita yang diraih kerana hidup sederhana sepertimana yang digalakkan oleh organisasi Yehuwa.”
HALUAN MENUJU KEMAJUAN ROHANI
Salomo menulis, “Pandanglah ke hadapan dengan keyakinan yang sungguh-sungguh.” (Ams. 4:25) Seperti seorang pemandu yang bertumpu pada jalan raya di hadapannya, kita juga patut bertumpu pada matlamat rohani dan berusaha untuk mencapainya.
Apakah matlamat rohani yang boleh anda tetapkan? Anda boleh menceburi khidmat sepenuh masa. Selain itu, anda boleh membantu *
sidang berdekatan yang mempunyai kawasan penyebaran yang luas. Sebuah sidang yang mempunyai ramai penyiar mungkin tidak mempunyai penatua dan pembantu sidang yang mencukupi. Bolehkah anda membantu? Bincanglah dengan penyelia litar dan mintalah nasihatnya. Jika anda berminat untuk berkhidmat di tempat lain, anda boleh meminta maklumat mengenai sidang-sidang di sana.Fikirkan kembali peristiwa di Yesaya 62:10. Sesetengah orang Yahudi telah bekerja keras untuk meratakan dan membersihkan jalan agar umat Tuhan dapat sampai ke destinasi mereka. Jika anda sedang berusaha untuk mencapai matlamat rohani, janganlah putus asa. Dengan bantuan Tuhan, anda pasti berjaya. Teruslah minta hikmat daripada Yehuwa sementara menyingkirkan segala halangan di hadapan anda. Lama-kelamaan, anda akan melihat bagaimana Dia menjayakan rancangan anda.—Ams. 4:26.