Belajarlah Daripada Firman Tuhan
Apakah yang Akan Berlaku pada Hari Penghakiman?
Rencana ini akan menjawab soalan-soalan berkenaan topik ini. Anda boleh merujuk Bible sendiri semasa membacanya. Saksi-Saksi Yehuwa gembira untuk membincangkannya bersama anda.
1. Apakah itu Hari Penghakiman?
Banyak orang fikir bahawa pada Hari Penghakiman, orang mati akan dibawa menghadap takhta Tuhan untuk dihakimi. Mereka fikir orang yang pernah melakukan hal-hal baik akan diberkati dengan kehidupan di syurga dan orang yang pernah berbuat jahat akan diseksa di neraka. Tetapi, Bible menyingkapkan bahawa Hari Penghakiman Tuhan adalah untuk menyelamatkan orang daripada ketidakadilan. (Mazmur 96:13) Tuhan telah melantik Yesus sebagai Hakim yang akan menegakkan keadilan bagi semua orang.—Baca Yesaya 11:1-5; Kisah 17:31.
2. Bagaimanakah keadilan akan ditegakkan semasa Hari Penghakiman?
Apabila Adam memberontak terhadap Tuhan, dia mewariskan dosa, penderitaan, dan kematian kepada semua keturunannya. (Roma 5:12) Agar keadilan ditegakkan, Yesus akan membangkitkan berbilion-bilion orang yang telah mati. Buku Wahyu menyatakan bahawa hal ini akan berlaku semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus.—Baca Wahyu 20:4, 11, 12.
Antara orang yang dibangkitkan termasuk “orang yang baik dan orang yang tidak baik,” kata Rasul Paulus. (Baca Kisah 24:15.) Mereka juga berpeluang belajar tentang Tuhan. Orang yang dibangkitkan tidak akan dihakimi berdasarkan perbuatan mereka sebelum mereka mati. (Roma 6:7) Sebaliknya, mereka akan dihakimi menurut perbuatan mereka selepas dibangkitkan dan menurut “kitab-kitab” yang disebut di Wahyu bab 20.
3. Apakah yang akan berlaku pada Hari Penghakiman?
Orang yang mati sebelum mengenali dan menyembah Yehuwa akan diberi peluang untuk berubah dan melakukan apa yang baik. Jika mereka berbuat baik, mereka dapat “meraih kehidupan kekal.” Tetapi, sesetengah orang yang dibangkitkan enggan mengikut haluan Yehuwa. Maka, mereka “akan dijatuhi hukuman.”—Baca Yohanes 5:28, 29; Yesaya 26:10; 65:20.
Pada akhir Hari Penghakiman yang panjangnya 1,000 tahun, Yehuwa akan memulihkan keadaan sehingga menjadi sempurna seperti pada mulanya. (1 Korintus 15:24-28) Semua yang taat kepada Tuhan akan menikmati kehidupan dengan sepenuhnya! Akhir sekali, Syaitan Si Iblis akan dilepaskan daripada jurang yang dalam selepas 1,000 tahun. Ini adalah ujian yang terakhir bagi manusia. Syaitan akan berusaha untuk memalingkan orang daripada Yehuwa. Tetapi orang yang melawan pengaruh Syaitan akan hidup selama-lamanya di bumi Firdaus.—Baca Yesaya 25:8; Wahyu 20:7-9.
4. Bagaimana pula dengan “hari penghakiman” lain yang disebut dalam Bible?
Ungkapan “hari penghakiman” juga digunakan semasa Bible menggambarkan peristiwa yang membawa akhir sistem dunia ini. Bible mengatakan bahawa hari penghakiman ini akan datang secara tiba-tiba, sama seperti Banjir pada zaman Nuh. Pada masa itu, semua orang jahat telah dilenyapkan. Begitu juga, tidak lama lagi, “orang yang tidak menghormati Tuhan” akan dilenyapkan dan “perkara-perkara yang baik akan berkekalan” di bumi.—Baca 2 Petrus 3:6, 7, 13.