Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Thomas Emlyn—Penentang atau Pendukung Kebenaran?

Thomas Emlyn—Penentang atau Pendukung Kebenaran?

SIAPAKAH Thomas Emlyn? Apakah yang mendorongnya untuk berpihak pada kebenaran? Bagaimanakah kita dibantu melalui teladannya?

Bagi mendapatkan jawapannya, mari kita lihat apa yang berlaku pada zaman lewat abad ke-17 dan awal abad ke-18 di England dan Ireland. Pada masa itu, Gereja England (Church of England) mempunyai pengaruh yang luas. Beberapa kumpulan Protestan serta individu lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan gereja.

SIAPAKAH DIA?

Thomas Emlyn dilahirkan pada 27 Mei 1663 di Stamford, Lincolnshire, England. Semasa berumur 19 tahun, dia menyampaikan khutbah pertamanya. Kemudian, dia menjadi paderi kepada seorang wanita bangsawan yang tinggal di London. Selepas itu, dia berpindah ke Belfast, Ireland.

Di Belfast, dia menjalankan upacara gereja. Kemudian, dia menjadi paderi di beberapa kawasan, termasuk di Dublin.

MENGAPAKAH DIA DITUDUH SEBAGAI PENENTANG?

Pada mulanya, Emlyn mempercayai ajaran Tritunggal. Namun, apabila dia mempelajari Bible dengan teliti, dia mula memiliki keraguan. Seraya menyelidiki buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, dia yakin bahawa pemahamannya benar.

Emlyn tidak terus mendedahkan pemahamannya. Namun, beberapa orang di gereja Dublin sedar bahawa dia tidak lagi menyebutkan ajaran Tritunggal semasa berkhutbah. Dia tahu bahawa pemahamannya tidak akan diterima oleh orang lain. Oleh itu dia menulis, “Saya tidak berharap untuk terus berkhidmat di sini selepas mendedahkan pemahaman saya.” Pada Jun 1702, dua rakan sejawatnya ingin mengetahui sebab dia tidak menyebutkan ajaran Tritunggal semasa berkhutbah. Emlyn mengaku bahawa dia tidak lagi mempercayai ajaran Tritunggal dan ingin meletakkan jawatan.

Buku Emlyn memberikan bukti daripada Bible yang menunjukkan mengapa Yesus bukannya Tuhan Yang Maha Agung

Beberapa hari kemudian, dia meninggalkan Dublin, Ireland dan pergi ke England. Namun, selepas 10 minggu, dia kembali ke Dublin untuk menyelesaikan beberapa urusan kerana ingin berpindah ke London secara tetap. Semasa di Dublin, dia mempertahankan pandangannya dengan menerbitkan buku An Humble Inquiry Into the Scripture-Account of Jesus Christ. Buku itu memberikan bukti jelas daripada Bible bahawa Yesus bukan Tuhan Yang Maha Agung. Hal ini menyebabkan ahli-ahli sidang lamanya di Dublin berasa sangat marah. Satu aduan rasmi telah difailkan.

Emlyn ditahan dan dibawa ke Queen’s Bench Court di Dublin pada 14 Jun 1703. Dalam bukunya, True Narrative of the Proceedings, Emlyn menyatakan bahawa dia didakwa “kerana menulis dan menerbitkan buku yang menentang Tuhan, berniat buruk, dan sebagainya. Yesus Kristus juga dikatakan tidak setara dengan Tuhan Bapa.” Perbicaraan itu hanyalah sandiwara. Tujuh uskup daripada gereja Ireland ditugaskan sebagai panel hakim. Emlyn tidak dibenarkan membela diri. Peguam terkemuka iaitu Richard Levins memberitahu Emlyn bahawa dia tidak akan terlepas biarpun membela dirinya. Pada akhir perbicaraan itu, Ketua Hakim Ireland, Richard Pyne memberitahu para juri bahawa mereka akan dihukum jika keputusan tidak seperti yang dijangkakan.

“Saya menderita demi kepercayaan saya tentang apa yang benar mengenai Tuhan dan kemuliaan-Nya.”—Thomas Emlyn

Semasa didapati bersalah, peguamcara mencadangkan agar Emlyn menarik balik kenyataannya. Emlyn enggan. Dia didenda dan dijatuhkan hukuman penjara selama setahun. Tetapi kerana gagal membayar denda, dia dipenjarakan selama dua tahun sehingga seorang rakan meyakinkan pihak berkuasa untuk mengurangkan jumlah dendanya. Emlyn dibebaskan pada 21 Julai 1705. Hinaan yang dialami mendorongnya berkata, “Saya menderita demi kepercayaan saya tentang apa yang benar mengenai Tuhan dan kemuliaan-Nya.”

Emlyn berpindah ke London. Di sana, dia bersahabat dengan William Whiston, cendekiawan Bible yang juga dipulaukan kerana menerbitkan apa yang dianggap kebenaran Bible. Whiston menghormati Emlyn dan mengelarnya “‘orang pertama’ yang ‘mengakui ajaran Kristian awal.’”

MENGAPAKAH DIA MENOLAK AJARAN TRITUNGGAL?

Seperti William Whiston dan cendekiawan yang disegani Isaac Newton, Emlyn mendapati bahawa Bible tidak menyokong doktrin Tritunggal. Dia menjelaskan, “Selepas berfikir dengan mendalam dan mempelajari Kitab Suci, . . . saya menemui alasan munasabah . . . untuk mengubah pandangan lama saya tentang ajaran Tritunggal.” Kesimpulannya, “Tuhan dan Bapa kepada Yesus Kristus, ialah satu-satunya Peribadi Tertinggi.”

Mengapakah Emlyn membuat kesimpulan ini? Dia menemui banyak ayat Bible yang menunjukkan perbezaan antara Yesus dan Bapa. Berikut adalah beberapa contoh (komen Emlyn tentang ayat-ayat itu bercetak dalam huruf condong):

  •  Yohanes 17:3: “Kristus tidak pernah disebut sebagai Tuhan, Tuhan Yang Maha Kuasa, atau satu-satunya Tuhan.” Hanya Bapa yang disebut ‘satu-satunya Tuhan yang benar.’

  •  Yohanes 5:30: “Anak tidak melakukan kehendaknya tetapi kehendak Bapa.”

  •  Yohanes 5:26: “Kehidupannya diberikan oleh Bapa.”

  •  Efesus 1:3: “Yesus Kristus sering kali digelar Anak Tuhan, kita tidak pernah menemui Bapa digelar Bapa Tuhan, walaupun dia sering kali dipanggil Bapa Tuan Yesus.”

Selepas mempertimbangkan semua bukti ini, Emlyn dengan tegas berkata, “Tiada satu petikan pun di dalam Kitab Suci yang menjelaskan bahawa Bapa, Anak, dan Roh Kudus ialah individu yang sama.”

APAKAH YANG DAPAT KITA PELAJARI?

Hari ini, banyak orang tidak berani untuk berpihak pada kebenaran Bible. Tetapi, Emlyn rela berbuat demikian. Dia membangkitkan soalan ini, “Jika seseorang tidak mengakui kebenaran terpenting biarpun telah menemui bukti yang jelas dalam Kitab Suci, sampai bilakah dia perlu terus membaca dan mencarinya?” Emlyn tidak akan berkompromi demi kebenaran.

Teladan Emlyn dan orang lain dapat mendorong kita untuk memikirkan sama ada kita rela berpihak pada kebenaran walaupun dicela. Tanyalah diri sendiri, “Manakah yang lebih penting—penghormatan dan perkenan masyarakat ataupun menyanjung kebenaran Firman Tuhan?”